Friday, November 18, 2022

PRU KALI INI TIADA GELOMBANG KEMARAHAN PADA BN- PETANDA KEBANGKITAN

GARISAN penamat tempoh 14 hari berkempen untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berbaki beberapa jam lagi, sebelum tengah malam 12.01 pagi.

Kita terbaca berbagai ramalan, tetapi bagi penulis, apa yang pasti PRU kali ini jauh berbeza suasananya berbanding PRU-14. 

Kali ini keadaan tenang-tenang saja, tiada gelombang kemarahan pada BN, jika adapun gelombang kemarahan hanya sesesama parti parti politik, terutama berkaitan langkah Sheraton, dan wakil rakyat lompat parti.

Apa yang sangat ketara, apabila BN dan PH menjadikan PN sebagai musuh/lawan, manakala antara BN dan PH walaupun bersaing, akan tetapi lebih kepada pertandingan persahabatan.

Ini berbeza dengan suasana dalam PRU14 apabila rakyat menunjukkan kemarahan kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Razak, di atas isu hangat seperti skandal 1MDB dan pelaksanaan sistem Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST).

Kini semuanya sudah tiada lagi, dengan Najib pun sudah berada di Penjara Kajang dan isu bersangkutan dengan beliau juga sudah tidak lagi hangat dibincangkan, begitu juga GST yang sudah tidak kedengaran lagi setelah dihapuskan setelah berakhirnya PRU14.

Kecaman pemimpin pembangkang mahupun rakyat biasa kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku penyandang Perdana Menteri dan calon Perdana Menteri daripada BN juga tidak begitu kedengaran.

Pemimpin pembangkang tidak mempunyai modal menyerang Ismail Sabri kerana sewaktu zaman pentadbiran beliau tiada perkara kontroversi berlaku, malah banyak perkara dilakukan beliau didokong parti pembangkang, khususnya PH sendiri.

Inilah hikmah kebijaksanaan Ismail Sabri dan rakan-rakan beliau dalam Kerajaan Keluarga Malaysia hingga menyebabkan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan dengan PH pada 13 September tahun lalu.

Hampir kesemua butiran dijanjikan dalam MoU terlaksana dengan sebahagian kecil lagi sedang berada dalam perancangan tidak dapat direalisaskan setelah Parlimen terbubar pada 10 Oktober lalu menyebabkan PH sukar menyerang Ismail Sabri.

Begitu juga pengumuman dan tindakan Ismail Sabri sewaktu menjadi Perdana Menteri sementara yang dilihat masih berada dalam lingkungan bidang kuasa kerajaan sementara dengan tidak ada apa-apa keputusan membabitkan dana kerajaan dibuat.

Masih kita ingat lagi bagaimana rakyat rata-rata meluahkan kemarahan apabila kerajaan waktu itu dilihat mahu menyukarkan mereka daripada keluar mengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei 2018, iaitu Rabu sebagai hari mengundi dalam PRU14.

Sebaliknya kerajaan pimpinan Ismail Sabri sekarang dilihat mahu memudahkan rakyat keluar mengundi beramai-ramai dengan menetapkan esok, iaitu Sabtu sebagai hari mengundi, sekali gus disambut dengan gembira oleh mereka.

Paling mutakhir, pengumuman Ismail Sabri hari ini dan esok ditetapkan sebagai hari kelepasan am, begitu juga pemberian tol percuma oleh 30 syarikat konsesi lebuh raya dari 12.01 tengah malam tadi hingga 11.59 malam esok.

Kesemua ini, selain pemberian gaji penjawat awam dan bayaran pencen untuk pesara bagi bulan ini dibayar lebih awal sudah semestinya akan memudahkan urusan rakyat, khususnya terpaksa balik kampung untuk mengundi, juga menceriakan mood mereka.

Kritikan kononnya kerajaan pimpinan Ismail Sabri gagal memulihkan ekonomi negara juga mudah dipatahkan apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pada 11 November bahawa ekonomi Malaysia tumbuh pada kadar 14.2 peratus pada suku tahun ketiganya.

Satu-satunya senjata utama dimainkan lawan politik bagi menggesa rakyat tidak mengundi BN adalah dengan memainkan isu kononnya jika BN menang dalam PRU15 ini, maka yang akan naik menjadi Perdana Menteri adalah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bukannya Ismail Sabri.

Dari sudut lain, BN juga mempunyai kelebihan kerana menawarkan tawaran menarik dan realistik serta boleh dilaksanakan kepada semua golongan pengundi, termasuk kanak-kanak, belia, wanita, Orang Asli dan orang kurang upaya (OKU).

Kesimpulannya, keputusan PRU15 dijangkakan akan jauh berbeza daripada keputusan PRU14, di mana ketiadaan gelombang kemarahan yang membolehkan BN bangkit semula, walaupun ramai yang menjangkakan , tiada mana-mana blok parti menang majoriti mudah, akan tetapi, kesan pertembungan berbagai parti, mana-mana parti yang teramai ahli dan penyokong tegar, boleh menang, selain mendapat kelebihan SISTEM FIRST PAST THE POST, sepertimana berlaku pada PRN Melaka dan Johor.

Sama-sama kita turun mengundi esok, dan seterusnya, menunggu keputusan.

No comments:

Blog Archive