Friday, November 18, 2022

APABILA KJ BERTANDING DI PARLIMEN SUNGAI BULOH

SOROTAN tinggi pada Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) apabila bertanding di Parlimen Sungai Buloh, bukan sahaja berkategori “underdog” (susah menang), akan tetapi cerita-cerita yang mengiringi peluang mantan Ketua Pemuda Umno tersebut, sangat dipengaruhi kelibat Presiden Umno Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang dibimbangi akan menjadi Perdana Menteri, jika Barisan Nasional (BN) menang. Perasaan dibimbangi, dijadikan alasan sesetengah pihak untuk “tidak” memberi undi walaupun mereka itu “suka” calon tersebut.

Kata peribahasa hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Secara teorinya kelebihan majoriti calon PKR/PH pada PRU-14 lalu, yang berjumlah 26,634 satu setengah kali ganda berbanding undi terdekat (termasuk daripada BN dan Pas) atau undi kedua-kedua calon tersebut digabungkan masih lebih rendah berbanding undi parti penyandang, iaitu PH, boleh diatasi, kerana senario PRU kali ini amat berbeza, kerana pengelibatan undi kali pertama dan undi-18 yang signifikan ramainya, walaupun secara praktikal tidak mudah untuk berlaku.

Kerana keadaan sedemikian, jika KJ tidak menang, bukan kerana berpresidenkan Datuk Ahmad Zahid, akan tetapi, keadaan lah yang menyebabkan beliau kalah.

Demikian juga situasinya, jika BN tidak menang, bukan kerana pengerusinya Ahmad Zahid, akan tetapi memang demikian keadaannya. Juga jika BN menang, bukan kerana Ahmad Zahid, akan tetapi juga demikian keadaannya.

Pengundi menyokong ataupun tidak pada sesebuah parti, bukannya hanya berbangkit pada PRU ini sahaja, akan tetapi sudah dibina lama, dan diterjemahkan menerusi PRU kali ini.

Mungkin kerana pendirian pengundi sedemikian, maka badan-badan bebas termasuk badan-badan pemikir (think tank) membuat kesimpulan, bahawa pada PRU kali ini, tiada mana-mana parti menang majoriti mudah. Maknanya, pengundi yang telah membina keputusan tidak dapat diubah dalam masa kempen atau semasa PRU ini, termasuklah, berlakunya “upset” di Parlimen Sungai Buloh menerusi KJ.

Kajian badan-badan bebas pada hakikatnya berpandukan pada sifat pengundi negara ini dan rekod-rekod lampau, yang sentiasa mengikut pola pengundian tradisional, yang sangat ketara, antara luar bandar,pinggir bandar dan bandar, dan tidak mengikut komposisi kaum. Sebagai contoh, jika sesebuah kawasan mempunyai kompoisi kaum melayu di atas 60%, jika di luar bandar maka menyokong samada Umno atau Pas, akan tetapi jika kompoisi yang sama terletak di pinggir bandar atau bandar, berlaku sebaliknya, seperti keadaan Parlimen Sungai Buloh.

Kajian juga berkaitan kecenderungan pengundi di bawah 50 tahun, kurang terikat lagi dengan parti yang mewakili kaum atau agama, melainkan lebih terbuka, seperti mana ditandai apabila parti DAP menang di kawasan-kawasan yang dahulunya, tidak terfikirkan boleh berlaku.

Apa yang jelas, pencalonan KJ di Sungai Buloh, telah menyentak Umno/BN, bahawa kehadiran Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijadikan senjata oleh pihak lawan, selain keraguan tinggi bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub tidak akan menjadi Perdana Menteri, kerana adanya duluan sebelum ini, seperti Datuk Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan sebagai MB Selangor, berakhir dengan Azmin Ali, Datuk Hasni Mohamad dicalonkan menjadi MB Johor berakhir dengan Onn Hafiz Ghazi.

PRU kali ini cukup unik bagi Umno/BN, kerana julung kali “posterboy” bukannya Pengerusi/Presiden, dan kedudukan ini, dijadikan pula senjata parti-parti lain untuk menimbulkan keraguan, sehinggakan pengundi terutama kaum melayu terperangkap dalam dilemma.

No comments:

Blog Archive