Kerajaan perpaduan - secepat mungkin
Cabaran pertama Anwar adalah untuk menubuhkan kabinet perpaduan.
Bagi sebuah kerajaan stabil, Anwar berdepan tekanan untuk memastikan agihan jawatan kabinet yang saksama.
Jawatan yang paling diperlukan pada masa ini adalah menteri kewangan. Dia perlu membentangkan semula belanjawan 2023.
Setakat ini, ada petanda dua rakan gabungan utama - BN dan Gabungan Parti Sarawak - masing-masing akan mendapat jawatan timbalan perdana menteri.
Anwar juga perlu mencari jalan untuk menggabungkan janji pilihan raya yang dibuat ketiga-tiga gabungan, atau meyakinkan BN dan GPS untuk menerima manifesto PH.
Dua pilihan raya - 4 Disember
Penerimaan terhadap pentadbiran Anwar akan diuji dalam pilihan raya untuk Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman pada 4 Disember ini.
Lebih penting pastinya di Padang Serai.
Walaupun bersama sebagai kerajaan di peringkat persekutuan, BN masih mengekalkan calon, manakala Warisan menarik diri.
Jika juga BN menarik calon, akan dilihat sebagai semangat muhibah antara mereka.
Namun, jika PH tewas di situ, ia boleh dilihat sebagai referendum kecil terhadap Anwar, terutama jika jalon PN - blok pembangkang terbesar - yang menang.
Belanjawan mini - 19 Disember
Anwar menyatakan akan memanggil sidang Dewan Rakyat pada 19 November, dengan agenda awal adalah undi percaya terhadapnya.
Usul itu lebih kepada simbolik memandangkan majoritinya akan diuji apabila ahli parlimen mengundi untuk rang undang-undang (RUU) belanjawan mini bagi meluluskan belanja pengurusan kerajaan, khususnya gaji penjawat awam.
Sidang itu juga hampir pasti menyaksikan usul perdana menteri untuk seorang speaker yang baru.
Kedua-duanya perlu diluluskan dengan majoriti mudah.
Jika ia gagal diluluskan, ini bermakna Anwar tiada majoriti di Dewan Rakyat dan seorang perdana menteri baru perlu dicari.
Perhimpunan Agung Umno - 21 Disember
Jika Anwar berjaya melepasi ujian itu, cabaran seterusnya adalah jika rakan barunya dalam Umno dapat meyakinkan akar umbi parti untuk menyokong kerajaan perpaduan.
Perhimpunan Agung Umno dijadual berlangsung pada 21 hingga 24 Disember ini.
Sejak 1998, acara tahunan ini menjadi medan untuk menyerang Anwar.
Sebagai pembuat keputusan tertinggi dalam Umno, perwakilan parti boleh memutuskan untuk kepimpinan tertinggi menarik diri dari kerajaan perpaduan dan membawa kepada keruntuhannya.
Dengan 26 kerusi, Umno merupakan gabungan ketiga terbesar dalam kerajaan perpaduan.
Perwakilan parti juga boleh menggantung atau menyingkirkan mana-mana pemimpin - seterusnya mengangkat pemimpin yang menentang kerjasama dengan PH.
Bagaimanapun, menentang kerajaan perpaduan membawa kepada risiko menjejaskan hubungan dengan Istana Negara.
Pilihan Raya Negeri (PRN) - bermula Mac 2023
Jika Anwar mampu melepasi cabaran musim tengkujuh ini, cabaran seterusnya yang bakal dihadapinya adalah PRN di enam negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Penang, Selangor dan Negeri Sembilan.
PRN ini akan menguji sama ada PH dapat memeterai kerjasama pilihan raya dengan BN atau tidak.
Jika gagal, dan berdasarkan keputusan PRU15, ia hampir pasti menjamin kemenangan PN di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Ia juga mendedahkan negeri yang ditadbir PH dengan risiko jika berlakunya pertembungan banyak penjuru.
No comments:
Post a Comment