Tuesday, August 23, 2022

MAHKAMAH PERSEKUTUAN CATIT SEJARAH LAGI

TAHUN 2013, Mahkamah Persekutuan menghantar Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Penjara Sungai Buloh.

Selepas hampir 10 tahun, mahkamah yang sama menghantar lagi seorang pemimpin kenamaan ke penjara yang sama. Kali ini membabitkan Mantan Perdana Menteri ke-6 negara, Datuk Seri Najib Razak yang dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berkaitan wang SRC International berjumlah RM42 juta.

Jika Datuk Seri Anwar dijatuhi hukuman kerana isu peribadi berkaitan seks luar tabii, tidak merugikan sesiapa, melainkan hubungannya dengan Maha pencipta, akan tetapi Najib berkaitan dana awam, bukan sahaja memberi kesan pada rakyat juga pada negara.

Tiada sesiapa yang bergembira jika seseorang disumbatkan ke penjara, melainkan hukuman itu adalah memberi pengajaran kepada sesiapa jua, jangan terlibat, terkait, dengan perbuatan menyalahi undang-undang.

Undang-undang tidak mengenal warna kulit, tidak mengenal bulu, selagi sesiapa  melanggarnya, maka perlu menerima hukuman.

Penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, jika dilihat daripada segi impaknya pada rakyat dan negara, masih kecil, kerana pelaku adalah pemimpin yang diangkat, disokong, diletakkan pada kedudukan tertinggi, untuk menaungi seluruh rakyat dan negara, termasuk memelihara nama baik negara ke persada dunia.

Namun apa yang berlaku, seperti maksud peribahasa- Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi.

Hukuman terhadap Najib, semoga menjadi sempadan, dan tidak berulang lagi, dan negara dipermudah untuk diperintah oleh para pemimpin yang berintegriti, amanah dan bertanggungjawab.


No comments:

Blog Archive