Saturday, July 09, 2022

ROMBAKAN GLC SABAH MEMBAWA HASIL

AWAL tahun lalu, kerajaan Sabah julungkalinya melakukan rombakan besar-besaran ke atas lebih 200 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun dalam usaha meningkatkan ekonomi negeri dan taraf hidup rakyatnya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor, yang mengetuai tanggungjawab itu, telah menepati janjinya untuk bertindak lebih tegas terhadap GLC yang kurang menyerlah dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk pulih.

Selepas mengambil alih jawatan Ketua Menteri pada September, 2020, mengarahkan semakan segera perjanjian dan kontrak melibatkan semua agensi negeri dan GLC yang kurang menyerlah atau mengalami kerugian.

Hajiji juga telah mengarahkan pegawai undang-undang untuk meneliti setiap perjanjian yang telah ditandatangani.

Pada Jun tahun lalu, Hajiji menyelia rombakan jawatankuasa Pemantauan Dasar Korporat dan Tadbir urus negeri, satu langkah penting untuk meningkatkan pengurusan, tanggungjawab fiskal dan keberkesanan operasi GLC Sabah.

Pada 26 Mei lalu, Ketua Menteri memberi kata dua kepada GLC untuk membayar sekurang-kurangnya RM1 juta dividen kepada kerajaan negeri mulai tahun ini.

Daripada lebih 200 syarikat berkaitan kerajaan, pada tahun lalu, hanya 10 syarikat telah membayar dividen kepada kerajaan negeri. Jumlah dividen daripada 10 syarikat tersebut tahun lalu berjumlah RM114 juta akan tetapi bayaran tersebut menunjukkan peningkatan 12.9% berbanding tahun sebelumnya.

Hajiji juga mengingatkan bahawa beliau akan menegur secara keras terhadap GLC yang gagal menyerlah atau berprestasi kurang baik, termasuk menutup atau menghentikan operasi.

Ketua Menteri itu memberi isyarat pada penjawat awam, bahawa masalah GLC selama berdekad-dekad sebagai gajah putih dan gagal tanpa matlamat, perlu berakhir.

Sebagai tindak balas pada teguran Ketua Menteri tersebut, syarikat GLC pertama yang telah menunjukkan prestasi membanggakan adalah Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB) Anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah yang diterajui Datuk Haji Ghulam Haidar, apabila syarikat tersebut mencatat keuntungan RM424 juta sebelum cukai pada tahun lalu, kutipan tertinggi dalam tempoh 9 tahun.

Penulis percaya, akan banyak lagi syarikat-syarikat akan mengumumkan prestasi masing-masing sebelum penghujung tahun.

Kerajaan negeri memerlukan sumber kewangan untuk memajukan dan membangunkan negeri, apa tah lagi untuk merealisasikan visi kerajaan Sabah Maju Jaya (SMJ).

No comments:

Blog Archive