Monday, July 11, 2022

PRU-15: DI SABAH PARTI MANA KAH YANG BAKAL MENYERLAH?

PENGUNDI Sabah, adalah pengundi yang kerap berubah. Jika musim pilihan raya sebelumnya, menyokong parti-parti tertentu, tidak semestinya sokongan itu berulang.

Kerana cepat berubahnya kecenderungan pengundi, maka rekod keputusan pada PRN-16 Sabah kemungkinan besar tidak berulang, apatah lagi rekod PRU-14. Mengapa? kerana situasi dan kondisi berbeza.

Kini, bukan lagi bisik-bisik, akan tetapi terang-terangan, pengundi menyokong calon-calon tertentu pada masa lalu, kerana pada masa itu mereka menunjukkan “kebolehan” yang dinilai daripada segi hujah-hujah, kenyataan-kenyataan, serta pendekatan. Pengundi berfikir, jika pemimpin sedemikian diberi peluang, maka boleh menjadi sandaran untuk membela rakyat, boleh menjadi pemudah cara untuk mempercepat pembinaan kemudahaan asas rakyat, selain boleh memperbaiki perkhidmatan yang berkaitan utiliti elektrik dan bekalan air bersih.

Malangnya rakyat terperangkap dengan tin kosong, kuasa ditanganpun, tidak mampu diterjemahkan membantu/membela rakyat. Keadaan perkhidmatan, agensi yang dinaungi bukan semakin baik, akan tetapi semakin kurang kualiti dan kuantiti.

Kegagalan berkhidmat kerana kelemahan sendiri, mencari jalan pula untuk mengkambing hitam pihak lain, termasuk kuasa alam.

Kumpulan pemimpin yang diberi kuasa ini lah berdegar-degar minta rakyat menyokong, kononnya jika rakyat memberi mandat maka mereka boleh membawa kestabilan dan kemakmuran.

Percaya lah, mana-mana pihak, individu waima pemimpin yang suka menyalahkan pihak lain untuk menutup kelemahan sendiri, sampai bila-bila pun, tidak akan boleh menunaikan harapan rakyat.

Berbeza dengan pemimpin yang memilih rasmi ubi, diam terus berisi, seperti mana telah dibuktikan semasa pentadbiran kerajaan lalu antara tahun 2003-2018, dan kini berulang pada pemerintahan Datuk Seri Hajiji Haji Noor, walaupun masih terdapatnya pemimpin yang menggunakan pendekatan rasmi jagung, bukannya rasmi padi dan ubi. Puncanya, kerana naungan politik yang berlainan.

Jelas, kecenderungan pengundi Sabah pada PRU-15, akan memberi mandat pada parti yang dipimpin pemimpin mengikut rasmi ubi dan rasmi padi, bukan pemimpin yang masih asyik dengan tin kosong dan rasmi jagung. Cuba lah parti-parti mana yang dimaksudkan penulis.

No comments:

Blog Archive