Wednesday, July 13, 2022

KENAIKAN HARGA BARANG ITU BENAR

KALI ini, benar-benar terasa sangat kenaikan harga barang, jika dibanding kenaikan harga barang pada tahun 2006, impak pengapungan minyak petrol oleh kerajaan semasa Datuk Shahir Samad (kini Tan Sri) menteri perdagangan dalam negeri dan pengguna.

Impak kenaikan barangan pada tahun 2006, walaupun kemudiannya, harga petrol RON95 dikawal semula, tetapi, tiadapun harga barang yang naik tersebut turun semula.

Jika pada tahun 2006, harga barangan pengguna yang naik adalah beras import, barangan yang ditinkan, barangan kesihatan, alat ganti kereta, termasuk minyak pelincir, tetapi pada kali ini adalah menyeluruh, termasuk barangan yang dikira inferior seperti ikan masin, turut naik berkali ganda.

Ikan sulit masin kering, 2 ekor berukuran kecil, sebelum pandemik covid-19 biasa penulis beli di kedai runcit di kejiranan penulis dengan harga RM1.50, kini dijual pada harga RM4.00. Terung kari yang biasa penulis beli 3 biji seringgit, kini 4 biji RM3.00. Manakala cili padi pula 10 biji dijual RM2.00, kerana menurut peruncit, mereka membeli antara RM85-RM120 sekilogram

Minyak masak pula, minyak masak cap buruh, 2kg, biasa penulis beli pada harga RM6.50, kini dijual pada harga RM19.00. Bagi minyak bersubsidi kerajaan minyak paket 1kg, penulis tidak pernah nampak lagi sejak awal tahun ini.

Minyak cap kapak ukuran jari, biasa penulis beli RM2.50, kini dijual pada harga RM5.80.

Contoh-contoh di atas adalah barangan yang penulis biasa beli, selain barangan lain seperti makanan laut, daging dan barangan lainnya yang pasti pengguna lain juga merasai kenaikkan luar biasa.

Mungkin harga barangan yang penulis paparkan berbeza berasaskan kawasan, mungkin di pasar besar, atau pasar harian, agak murah.

Apa yang penulis gambarkan, adalah harga barang itu benar-benar naik. Apabila harga barang naik, mereka yang tidak cukup wang untuk tujuan belanja harian, bukan sahaja terkesan, akan tetapi perlu mengurangkan kuantiti yang dibeli. Kata orang, asalkan tekak merasa.

Rakyat negara ini, masih bernasib baik, kerana belum sampai ke tahap kebuluran, seperti 810 juta penduduk dunia.

Kenaikan harga barang keperluan harian, khususnya makanan, kemungkinan besar akan mengajar rakyat negara ini berkaitan pembanjiran makanan. Tanda-tanda itu, memang ada, kerana akhir-akhir ini, tong sampah, tidak lagi dikerumuni lalat, burung, kucing dan anjing, kadang kala tikus. Tanda-tanda demikian, menunjukkan telah berkurangnya baki makanan basi yang dibuang ke tong sampah.

Kadangkala, kejadian meningkatnya harga, ada juga kebaikkannya, walaupun ramai yang mengeluh, kerana wang belanja terpaksa dilipat gandakan.

Walaupun kenaikan harga barang, ada juga kebaikannya, akan tetapi, jangan sampai menyebabkan rakyat yang terkesan, terutama rakyat yang berada dalam kumpulan B40 mengalami kekurangan makanan bergizi, kerana makanan yang termasuk piramid makanan sukar dijangkau, jika pun masih dirasai akan tetapi dengan kuantiti yang tidak mencukupi. Jika ini berlaku, bukan sahaja mempengruhi kualiti kesihatan, akan tetapi juga mempengaruhi tumbesaran bagi mereka yang masih berumur bawah lima tahun (balita), atau bagi pelajar yang memerlukan gizi untuk perkembangan otak.

Penulis tahu, kerajaan berusaha gigih dengan berbagai cara untuk mengawal harga barang, selain memberi bantuan tunai untuk golongan yang amat terkesan.

Kerajaan dengan berbagai strategi, termasuk pengwujudan jawatan kuasa jihad inflasi, walaupun jawatan kuasa itu, tidak akan boleh berbuat banyak, setidak-tidaknya kerajaan memberi tahu rakyat, bahawa kerajaan tidak berpeluk tubuh. Tindakan seperti ini, setidak-tidaknya mengurangkan keresahan rakyat, supaya jangan sampai bertindak seperti rakyat Sri Lanka.

No comments:

Blog Archive