Wednesday, May 11, 2022

TOLAK PARTI-JANGAN SALAHKAN RAKYAT

PENULIS masih terbaca, masih ramai pemimpin Umno meletakkan kesalahan pada rakyat, kerana pertama kali parti itu gagal menubuhkan kerajaan Persekutuan sejak penubuhannya pada PRU-14.

Para pemimpin ini, berhujah adalah satu kesilapan rakyat, kerana menolak parti itu, dan menyedarkan mereka untuk tidak mengulanginya pada PRU-15.

Mereka yang meletakkan kesalahan pada rakyat sehingga Umno kehilangan kuasa julung kalinya, mungkin pura-pura tidak sedar, penolakan tersebut terbina kerana perbuatan sesetengah pemimpin parti itu.

Rakyat tidak silap menghukum parti itu, kerana memang pun telah terbukti mereka yang menjadi punca penolakan, akhirnya dibicarakan di mahkamah, malah ada yang sudah dijatuhi hukuman.

Isu-isu yang menyelubungi sesetengah pemimpin parti itu termasuk keluarga terdekat, yang sebelumnya hanya kedengaran samar-samar, kini terdedah dengan meluasnya, apabila dibangkitkan di mahkamah.

Adalah cukup menyedihkan, sementara masih ramai rakyat termasuk penyokong tegar parti masih hidup serba kekurangan, bergelut antara hidup dan mati, para pemimpin yang sepatutnya membela mereka ini, dibicarakan membabitkan sejumlah wang yang cukup besar.

Keputusan rakyat pada PRU-14, sehinggakan Umno kehilangan kuasa, adalah untuk menyedarkan para pemimpin parti yang memerdekakan negara tersebut, tidak terkeluar landasan, termasuk memperkudakan parti demi kepentingan diri,keluarga dan kroni.

Sempena menyambut hari penubuhan ke 76 yang jatuh pada 11 Mei, 2022, semoga para pemimpin parti mengambil iktibar pelbagai liku politik sebelum dan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebaik sahaja kehilangan kuasa, nasib Umno ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila bukan saja kalah pada PRU-14, malah terpaksa mengharungi pergolakan dalaman, termasuk ramainya pemimpin parti keluar beramai-ramai termasuk juga wakil-wakil rakyat.

Pada satu peringkat, ada yang melihat bahawa parti itu tidak relevan lagi dalam politik semasa negara, malah disaingi rapat seteru utamanya iaitu BERSATU yang secara terbuka menawarkan platform menggantikan parti itu sebagai parti baharu orang melayu.

Namun, Umno mula mengorak langkah kanan selepas itu apabila berjaya mewujudkan kerjasama politik kali kedua dengan PAS untuk membentuk Muafakat Nasional (MN).

Kerjasama politik ini membuahkan hasil bukan sekadar memulihkan hubungan kedua-dua parti, tetapi calon yang mendukung kerjasama politik itu berjaya memenangi kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pasca PRU-14.

Pembentukan MN ini membuktikan kerjasama politik sangat diperlukan Umno ketika mana sedang memulakan momentum untuk bangkit semula.

Ketika Umno sedang memulihkan tenaga politiknya, kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Susulan peristiwa itu, Umno bersama PAS, BERSATU dan disokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak melepaskan peluang merintis kerjasama dengan membentuk gabungan politik baharu dinamakan Perikatan Nasional (PN).

Hakikatnya gabungan Ini adalah kunci utama kepada Umno untuk kembali sebagai kerajaan Persekutuan dan di beberapa negeri yang sebelumnya dikuasai PH.

Pembentukan kerajaan PN ini juga sebenarnya berjaya memperkukuhkan dominasi Umno dalam kerajaan, malah kedudukan parti ini semakin kuat apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipilih menerajui kerajaan menggantikan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhiyiddin Yassin.

Perlantikan Ismail Sabri dilihat sebagai nyawa kedua kepada Umno selepas PRU-14 dan mencatatkan sejarah tersendiri apabila untuk kali pertama seorang Naib Presiden dilantik menjawat jawatan berkenaan.

Keadaan ini menuntut Umno perlu menyesuaikan partinya berdasarkan senario politik semasa negara kerana buat kali pertama Naib Presidennya diangkat sebagai Perdana Menteri.

Namun, jangkaan ini meleset apabila Ismail Sabri dilihat berhadapan dengan tekanan secara tidak langsung dalam beberapa isu termasuk lah desakan pembubaran parlimen ketika Perhimpunan Agung Umno 2021.

Tekanan tidak langsung ini merugikan Umno yang sedang menerajui kerajaan. Sewajarnya dukungan penuh kepada pentadbiran Ahli Parlimen Bera ini. Hal ini kerana, pelantikan beliau adalah peluang bernilai kepada Umno untuk memulihkan keyakinan, pengaruh dan imejnya di kalangan rakyat.

Berdasarkan perkembangan politik semasa, Umno perlu bermuhasabah dengan kekalahannya pada PRU-14 dan bersyukur menerima peluang untuk kembali menerajui Persekutuan, meskipun perlu bekerjasama dengan parti politik lain termasuk saingannya, BERSATU.

UMNO perlu berwaspada dengan peluang kedua diperoleh mereka hari ini dengan mengubah pendekatan politik dan bertindak menangani punca masalah dalaman parti daripada terus menyekat pemulihan.

Misalnya menyalahkan rakyat kerana menyebabkan parti itu kehilangan kuasa perlu diketepikan, sebaliknya perlu bertindak pro-aktif termasuk menjauhkan diri daripada isu penolak yang menjadi penyebab atau punca rakyat menolak pada PRU lalu.

Ada lah tindakan jitu, jika parti itu berani bertindak termasuk merehatkan mereka yang terkait isu moral atau mereka yang masih dalam perbicaraan di mahkamah daripada bertanding untuk memberi ruang pada mereka membersihkan nama masing-masing terlebih dahulu, sebagai upaya memastikan imej Umno terus kekal bersih.

Jika keadaan ini dapat dilaksana ia dijangka mengembalikan keyakinan ahli dan rakyat kepada Umno, sekali gus memberi peluang lebih cerah kepada parti untuk menang besar serta kembali menerajui kerajaan.

Kemampuan Umno untuk kembali menang tanpa calon bermasalah dan muka baharu terbukti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta Johor yang lalu.

Formula ini wajar diguna pakai pada peringkat Persekutuan dan kepemimpinan parti perlu berjiwa besar serta terbuka untuk memberikan laluan kepada calon bersih salah laku untuk bertanding pada PRU-15 akan datang.

Kepemimpinan Umno juga perlu berpegang kepada prinsip pemimpin datang dan pergi, namun Umno terus wujud serta diperjuangkan ahlinya selagi masih ada orang melayu di negara ini.

Justeru, sempena sambutan ulang tahun Umno ke-76 dan ketika Umno sedang menerajui kerajaan, parti ini perlu bermuhasabah, berubah dan mengekalkan proses pemulihan parti secara konsisten.

Umno mungkin “nazak” selepas PRU-14, tetapi keajaiban membolehkannya kembali bangkit dalam arena politik negara selepas melalui pelbagai “rawatan” politik mujarab untuk memastikan kelangsungan politiknya.

Jika Umno kembali memberi peluang kepada penyakit lamanya merebak kepada seluruh organisasi, dibimbangkan akan menimbulkan laluan sukar pada PRU-15. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Blog Archive