Wednesday, March 23, 2022

APABILA PELANGI HANYA SATU WARNA

BIARLAH dianggap serkap jarang (kerana penulis sekian lama menikmati kehidupan gua, mungkin juga seperti katak bawah tempurung) dan kini telah keluar dan dan malangnya awal-awal lagi tersempak dengan susana yang berbeza, apabila mendapati Sabah kini bukan lagi negeri yang mempunyai banyak suku bangsa.

Semasa penulis belajar dahulu, sempat membaca apa itu erti merit dan organisasi yang paling mudah di ambil contoh adalah institusi pengajian tinggi. Kedudukan atau jawatan dalam mana-mana institusi pengajian tinggi bukan boleh diperolehi dengan memetik jari atau hanya dengan nota bidai, atas sebab, sebarang jawatan mewajibkan seseorang yang dilantik bukan sahaja mempunyai merit akan tetapi mempunyai ilmu kepakaran. Selain itu perlu bersaing dengan mereka yang sebidang, seilmu, malah hampir memiliki merit yang sama. Ertinya, sesiapa yang terpilih, adalah yang terbaik daripada yang terbaik.

Tetapi penulis mendapati, kaedah yang digunapakai pada institusi pengajian tinggi itu, tidak digunapakai, sebaliknya memilih kaedah “siapa yang kamu kenal” bukannya “apa yang kamu tahu”. Atau “kerana dia suku-sakat” atau “kerana dia sedaerah” atau “kerana dia sekampung” atau “kerana ada hubungan keluarga”. Atau “kerana dia sebahasa”.

Kerana pemulis baharu keluar daripada gua, dan tersesat lalu terpaksa meminta petunjuk jalan atau arah, mendapati mereka yang sepejabat itu berbahasa sama, jika bukan sekampung akan tetapi sedaerah, atau sebangsa.

Kerana penulis seperti rusa masuk kampung, tersangat kagum melihat susunan organisasi yang terpampang di lobi, anda mula bertanya, jika dahulu, mengetahui bahawa Sabah itu mempunyai penduduk berbilang kaum yang mencecah lebih 30,mengapa mereka yang terukir nama pada papan organisasi daripada clan yang sama?

Penulis diberitahu, sudah menjadi trend atau kecenderungan mereka yang ada kuasa berkaitan agensi kerajaan, hanya mengetahui bahawa Sabah ini, mempunyai rakyat yang sebangsa, dan sedaerah. Selain itu, mereka yang mempunyai kebolehan atau katakan merit, hanya mereka yang dalam bangsa atau suku tersebut. Ertinya, sebarang jawatan pada mana-mana agensi atau syarikat, hanya diisi oleh mereka yang sebangsa atau sebahasa, kerana tiada lagi bangsa atau suku lain.

Oleh kerana penulis sudah keluar daripada gua, dan sempat mengoogle, sempat ke perpustakaan membaca surat-surat khabar lama, penulis mencari tahu, benar kah apa yang dipercakapkan? Penulis menyelusuri latar belakang pemimpin itu, dan akhirnya penulis mendapat kesimpulan, dari dahulu kala sifat pemimpin itu, hanya menjaga rumah dan keluarganya, dan menjadikannya kekuatan, dan mengembangnya meliputi daerah asalnya, sebangsa dengannya.

Penulis juga sempat menyegar kembali pengetahuan atau pengertian berkaitan keluarga politik, yakni, mana-mana perorangan yang bernaung pada sesebuah parti politik dan pemimpin yang menjadi pemimpin parti politik itu, menjadikan mana-mana yang sefahaman dengan pemimpin itu adalah keluarga dalam politik. Dengan pengertian tersebut, maka pemimpin seperti itu, mempunyai jalinan atau hubungan semua peringkat, merentasi kaum dan agama, merentasi daerah atau sempadan. Kerana pengertian sedemikian, maka pemimpin seperti itu, bukan sahaja disokong oleh berbagai bangsa dan sukuan, akan tetapi dikelilingi oleh mereka yang terdiri daripada berbagai bangsa, bagaikan warna pelangi. Berbeza dengan pemimpin seorang ini, hanya mengenal satu warna, telah buta pada warna pelangi.

Baru penulis sedar, mengapa pemimpin itu terlalu sukar melayan "orang lain" walaupun sefahaman dalam politik, rupanya bagi beliau pelangi itu sudah menjadi satu warna!!!.

Nota: tulisan ini tidak kena mengena dengan mereka yang masih hidup atau yang telah mati. Tulisan ini hanya satira, selepas keluar daripada pertapaan.

No comments:

Blog Archive