Tuesday, January 04, 2022

GRS AKHIRI TAHUN 2021 DENGAN KUASA 2/3


DUA tahun berturut-turut merupakan langkah kanan bagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Gabungan yang dibentuk semasa penamaan calon PRN-16 Sabah pada September, 2020, juga telah diberi mandat oleh rakyat Sabah membentuk kerajaan pada bulan yang sama.

Memenangi 38 kerusi daripada 73 yang dipertandingkan, kemudian disokong 3 ADUN bebas, telah menidakkan parti Warisan dengan 23 DUN, DAP 6, PKR-2 dan UPKO-1.

Menjelang akhir tahun, selepas mengambil kira 6 ADUN lantikan, dan 5 ADUN parti Warisan yang keluar daripada parti mereka untuk mesra Kerajaan GRS, menyebabkan gabungan tersebut mendapat kuasa 2/3 di DUN Sabah dengan jumlah 53 kerusi.

Dengan mengambil kira ADUN lantikan, Bersatu dan Warisan berkongsi masing-masing dengan 17 kerusi, diiukti Umno 16.

DUN Sabah yang dikembangkan daripada 73 kepada 79 kerusi, kini dikuasai GRS, sementara pembangkang 26.

Pada tahun 2021 juga, ADUN Usukan yang juga Pengerusi Backbencer GRS, telah mencadangkan agar gabungan tersebut dirasmikan sebagai sebuah parti, untuk mengelak pertembungan antara parti-parti seperti mana berlaku pada PRN-15 Melaka. Walaupun pendapat tersebut mendapat respon positif daripada berbagai pihak di Sabah, namun terhalang oleh pendirian Umno Pusat, yang enggan mengadakan sebarang kerjasama dengan Bersatu. Mengingat pada keadaan tersebut, Pengerusi Umno Sabah telah menzahirkan, akan akur dengan pendirian parti. Menerusi pendirian tersebut, jika kekal, maka pada PRU-15 yang hanya melibatkan parlimen di Sabah, pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak dapat dielakkan.

Walaupun GRS mempunyai sokongan 2/3, namun, politik Sabah yang sangat pragmatik, tiada jaminan sebuah gabungan seperti itu akan berterusan, kerana sebelum ini pun Kerajaan Warisan sebelum tumbang pada Julai, 2020, juga mempunyai sokongan 2/3.

Keutuhan kerajaan, sangat bergantung pada hubungan antara para pemimpin. Jika hubungan dapat dikekalkan, selagi itu lah, kerajaan akan kekal kukuh dan stabil. Keadaan tersebut tidak pelik bagi Sabah, kerana pernah berlaku, bermula pada tahun 1990 sehingga tahun 2018, sama-sama kita menyaksikan kestabilan politik, selain itu, komitmen para pemimpin parti dalam GRS untuk menjayakan visi negeri SABAH MAJU JAYA, merupakan pengikat antara parti dan pemimpin, sebagai jawapan pada aspirasi rakyat Sabah.

Pun demikian, hubungan antara parti dalam GRS, akan diketahui selepas PRU-15, dan seterusnya hubungan tersebut dilihat pada PRU-17 negeri menjelang tahun 2025.

No comments:

Blog Archive