Wednesday, January 19, 2022

FAKTOR KEMENANGAN PARTI POLITIK DI SABAH

TIDAK dinafikan sokongan akar umbi sebagai petanda kuatnya sesebuah parti. Tetapi di Sabah, sudah kerap berlaku, parti yang mempunyai penyokong akar umbi boleh tewas dalam pilihan raya.

Rekod bagi Sabah, parti Usno ditumbangkan oleh parti Berjaya, parti Berjaya ditumbangkan oleh PBS. Kemudian PBS tumbang, impak gabungan berbagai parti menerusi Barisan Nasional. Kemudian itu, BN gagal mendapat majoriti mudah, kerana banyak kerusi ditawan parti baharu yang tiada akar umbi.

Di Sabah sekarang ini, ada yang beranggapan, kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN-16 Sabah kerana sokongan akar umbi Umno, khususnya bagi calon-calon Bersatu (yang asalnya daripada Umno). Di lain pihak pula, ramai calon-calon Umno tewas. Jika benar lah anggapan, bahawa kemenangan calon-calon Bersatu kerana sokongan akar umbi Umno, maka semestinya tiada calon-calon Umno yang tewas.

Hakikatnya di Sabah, mana-mana parti yang mempunyai penyokong akar umbi berasaskan keahlian, tidak menjamin sesebuah parti itu menang dalam pilihan raya, jika berlaku pergolakan dalam sesebuah parti itu.

Untuk melihat apa kah sesebuah parti itu mendapat sokongan rakyat, hanya menerusi pilihan raya sahaja boleh dijadikan bukti.

Jika calon-calon sesebuah parti menang di kawasan-kawasan yang ditandingi, ertinya calon parti itu mendapat sokongan rakyat di kawasan-kawasan sedemikian, walaupun daripada segi keahlian, parti tertentu itu masih rendah.

Politik Sabah berlainan sedikit dengan Semenanjung, kerana di Sabah, parti yang mempunyai penyokong atas kertas berasaskan keahlian, tidak semestinya mendapat sokongan pada pilihan raya.

Rakyat Sabah dalam membuat keputusan, bagi calon-calon recycle, melihat pada calon-calon yang bertanding, sebelum melihat parti yang diwakili. Jika kita melihat pada keputusan pilihan raya lalu, calon-calon yang mempunyai nama, walaupun tidak menang, akan tetapi mendapat undi yang cukup signifikan. Demikian juga, ada calon-calon yang ada nama atau rekod, walaupun mewakili parti yang mempunyai penyokong akar umbi, akan tetapi tewas, kerana rekod yang ada pada calon tersebut lebih banyak negatifnya di mata rakyat.

Berlainan dengan parti baharu, yang dilihat boleh membentuk kerajaan, kerana rakyat melihat pada pemimpin utama parti itu. Dalam keadaan sedemikian, rakyat lebih menilai parti berbanding calon. Atas sebab itu, ada calon-calon parti baharu tersebut menang, walaupun belum mempunyai rekod.

Pada PRU-15 yang hanya melibatkan parlimen di Sabah, calon-calon yang bakal menang, adalah calon-calon yang mempunyai rekod, dan kemudiannya mewakili parti tertentu. Jika pun berlaku pertembungan antara parti, samada parti dalam kerajaan, pemenang ada lah calon-calon yang mempunyai rekod tersebut. Apa tah lagi calon-calon sedemikian disokong oleh wakil-wakil rakyat setempat.

Bagi menjamin politik Sabah yang setabil, syogianya, tiada parti yang bertembung antara satu sama lain yang membabitkan GRS. Atas pertimbangan tersebut, GRS perlu didaftarkan sebagai sebagai parti, untuk mencerminkan kekuatan politik Sabah, seperti mana GPS di Sarawak.

Setiap pemimpin Sabah, perlu mengambil iktibar rekod lampau politik Sabah, bersandar pada rekod sokongan akar umbi, tidak menjamin kemenangan. Kemenangan, hanya tercipta, menerusi kesepakatan antara pemimpin utama. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Blog Archive