Wednesday, December 08, 2021

KES SRC INTERNATIONAL NAJIB: MAHKAMAH PERSEKUTUAN TALIAN HAYAT


Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah di atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Tiada kehadiran fizikal daripada pasukan pembelaan berikutan mereka termasuk Najib sendiri menjalani perintah kuarantin berikutan salah seorang peguam didapati positif Covid-19.

Keputusan dibacakan melalui aplikasi Zoom dengan pasukan pendakwaan berada di dalam dewan Mahkamah Rayuan.

Najib, 68, sebelum ini didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC International oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan CBT dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Hakim Abdul Karim ketika membacakan keputusan berkata, Hakim Mahkamah Tinggi tidak tersalah arah ketika mengarahkan Najib untuk membela diri atas dakwaan yang dikenakan terhadapnya.

"Kami bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa perayu mempunyai kepentingan peribadi dalam kelulusan kabinet bagi pinjaman RM4 bilion oleh SRC daripada KWAP.

"Najib diberikan kuasa khas dalam SRC atas peranannya sebagai Perdana Menteri. Najib dalam pembelaannya mendakwa beliau bertindak atas kepentingan nasional,

"Ini bukan kepentingan nasional, ini adalah memalukan nasional," katanya.

Mereka juga bersetuju dengan dapatan Mahkamah tinggi bahawa Najib adalah 'Pengarah Bayangan' dalam SRC.

"Najib adalah satu-satunya yang mempunyai kuasa untuk melantik atau memecat pengarah dalam SRC.

"Bukti menunjukkan bahawa mereka mengikut arahan Najib dan tiada bukti mengatakan mereka tidak," katanya.

Beliau memutuskan bahawa mahkamah tinggi tidak terkhilaf dalam mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes pecah amanah jenayah melampaui keraguan munasabah

"Kami mendapati sabitan mahkamah tinggi terhadap semua tuduhan pengubahan wang haram terhadap perayu juga adalah selamat.

"Secara keseluruhan kami mendapati bahawa hakim mahkamah tinggi tidak terkhilaf dalam mensabitkan semua tuduhan terhadap perayu," katanya.

Nasib mantan Perdana Menteri itu akan terletak di peringkat Mahkamah Persekutuan. 

No comments:

Blog Archive