Saturday, December 11, 2021

JAMINAN KERAJAAN PADA SRC-TIDAK MASUK AKAL KATA HAKIM


ADALAH tidak masuk akal bagi kerajaan untuk menjamin pinjaman kepada syarikat korporat berkaitan kerajaan (GLC) dengan mengetahui ia tidak boleh membayar balik pinjaman atau faedah.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil dalam penghakimannya berkata, dengan mendedahkan kerajaan untuk menjamin syarikat korporat yang bermasalah ini bagi mendapatkan pinjaman bukan satu tindakan demi kepentingan negara.

Itu hanyalah pengurusan kewangan dana awam yang buruk. Ia bukan sesuatu yang boleh dikatakan dilakukan demi kepentingan negara. Tiada kepentingan negara di sini, ia cuma memalukan negara, katanya.

Abdul Karim berkata, Najib Razak terbabit secara aktif dalam memastikan pinjaman RM4bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) disalurkan kepada SRC International Sdn Bhd.

Beliau berkata, bagaimanapun, selepas dana dialurkan, Najib bersikap tidak acuh mengenai keberadaan dana itu dan tidak meminta penjelasan daripada SRC apa yang berlaku kepada dana atau bagaimana ia digunakan dan untuk tujuan apa.

Katanya, Najib juga mengarahkan Menteri Kewangan Kedua ketika itu untuk tidak menyentuh SRC.

Kelakuan perayu ini boleh menunjukkan hanya satu perkara iaitu, sebaik sahaja dana itu diperoleh oleh SRC, di mana perayu mempunyai kawalan menyeluruh, dia bebas untuk menggunakkannya bagi faedah peribadinya. Ini ditunjukkan dengan pengaliran RM42juta daripada SRC ke dalam akaun peribadi perayu (Najib).

Kami mendapati bahawa hakim mahkamah tinggi membuat keputusan yang tepat sepenuhnya apabila mendapati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap perayu mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melampaui keraguan munasabah.

Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dan kes pembelaan sudah dipertimbangkan sepenunya oleh hakim mahkamah tinggi, katanya.

Abdul Karim berkata, akhirnya mahkamah tinggi yang bijaksana berpuas hati dan turut dipersetujui oleh panel, bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan menyalahgunakan kedudukan terhadap Najib melampaui keraguan munasabah.

Katanya secara keseluruhan panel mendapati sabitan oleh mahkamah tinggi itu adalah selamat.

Sementara itu Abdul Karim berkata, hakim mahkamah tinggi juga membuat keputusan yang betul apabila mendapati secara keseluruhan bukti menunjukkan bahawa Najib adalah pengarah bayangan SRC yang mengawal keseluruhan Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu.

Hakim itu berkata, keterangan menunjukkan bahawa pengarah pada masa yang material dilantik oleh Najib seperti dinyatakan dalam suratnya bertarikh 1 Ogos 2011.

Beliau berkata, mereka dilantik secara rasmi mengikut Artikel 67 Memorandum dan Artikel persatuan SRC dan Najib sebagai Perdana Menteri ketika itu, adalah satu-satunya orang yang boleh melantik dan memecat mana-mana pengarah SRC.

Katanya, ia bermakna Najib memegang kuasa untuk melantik dan memecat.

Terdapat juga bukti yang menunjukkan perayu mengeluarkan arahan pemegang saham yang perlu dipathui oleh pengarah SRC, bukan sahaja sebagai arahan pemegang saham, tetapi sebagai arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri yang melantik pengarah terbabit.

Selain itu, terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa mereka (pengarah SRC) mengikut arahan perayu dan bertindak mengikut arahan tersebut.

Tiada bukti yang menunjukkan pengarah syarikat itu tidak mengendahkan atau meningkari arahan perayu, katanya.

No comments:

Blog Archive