Sunday, December 05, 2021

BUDAYA MENGEMBIRAKAN KUMPULAN TERTENTU


PERCAYA atau tidak, masa kini, sedang berlaku budaya mengembirakan kumpulan tertentu dan pada masa sama mengabaikan yang lain.

Tindakan sedemikian tanpa disedari hanya berimpak sementara, dan tidak membawa apa-apa kebaikan pada rakyat secara umumnya.

Memang diakui, perkara tersirat pada tindakan seumpama itu hanya semata-mata mendapat sokongan politik.

Kerana budaya sedemikian, maka tidak hairan, apabila tiba pilihan raya, kumpulan yang digembirakan itu, tidak pun menterjemahkan manafaat yang diperolehi menerusi sokongan.

Seharusnya, pemimpin bertindak adil dan ikhlas menjalankan amanah dan tanggungjawab. Perlu bertindak sesuai aturan “first in first out” bukannya “Last in First out”.

Kerana “budaya” sesetengah pemimpin yang mengamal LIFO, maka mereka ini menjadi liabiti pada sesebuah parti, dan jika ianya melibatkan pucuk pimpinan, maka menyebabkan keseluruhan parti mendapat tempias, sehingga ditolak rakyat pada pilihan raya.

Mungkin sesetengah pemimpin begitu ghairah menerusi sokongan baharu, sehingga terlupakan penyokong lama, yang jatuh bangun bersama.

Masih segar dalam ingatan, para pemimpin kerajaan yang hilang kuasa di masa lalu, malah mereka yang ditolak pada pilihan raya belakangan ini, adalah mereka yang tergolong mengamalkan LIFO, mengabaikan FIFO.

Penulis hanya pemerhati politik, pemerhati pemerintahan dan pemerhati kerajaan. Kerana hanya sebagai pemerhati, maka mencatit kejadian-kejadian, yang orang lain tidak minat, kerana dianggap menjaga tepi kain orang. Tetapi penulis berpandangan, catitan-catitan seumpama itu, membolehkan penulis menganalisis, sejauh mana keikhlasan seseorang atau kumpulan pemimpin dalam perjuangan.

Bagi penulis, adalah afdal, bagi pemimpin dan penyokong seperjuangan, memetik hasil perjuangan, bukan perbuatan menyusukan kera di hutan, anak dipangkuan dibiarkan kelaparan.

Tindakan mengembirakan “penyokong baharu” pada masa sama menyebabkan penyokong lama hanya mampu gigit jari, akan membawa padah luar biasa termasuk tumbang pada pilihan raya.

No comments:

Blog Archive