Tuesday, November 23, 2021

PRU-15 SEGERA: FEEL GOOD FACTOR UMNO MENJADI PENDORONG


PRU-15 seharusnya telah berlaku pada Mei atau Jun tahun lalu, jika permintaan Umno dan Pas mendapat sokongan ahli-ahli parlimen semasa proses memilih Perdana Menteri ke-8.

Apa yang berlaku apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 24 Februari tahun lepas, Perdana Menteri tidak memohon pembubaran Parlimen, sebaliknya hanya meletakkan jawatan dan mencadangkan hendaklah melantik Perdana Menteri yang baharu.

Pada Mac tahun lalu, terbentuk lah kerajaan Persekutuan, bukan berasaskan mandat rakyat, akan tetapi mandat ahli-ahli parlimen dan berterusan hingga sekarang.

Kerana kerajaan yang dibentuk bukan mandat rakyat, maka telah berlaku pergantian Perdana Menteri dalam tempoh kurang 2 tahun.

Juga, atas sebab kerajaan yang ditubuhkan tidak kukuh, maka terpaksa memeterai MOU (persefahaman) dengan Pakatan Harapan (PH) kelompok terbesar ahli parlimen yang tidak menyertai kerajaan, untuk tujuan kelancaran pemerintahan, termasuk meluluskan Bajet tahunan negara.

Kekangan pandemik covid-19, ada lah penghalang utama diadakan pilihan raya untuk mendapatkan mandat rakyat. Akan tetapi, kejayaan mengadakan PRN ke-15 negeri Melaka, pada 20 November, telah mendorong, desakan diadakan PRU-15 dengan segera, walaupun Perdana Menteri terikat dengan MOU, bahawa tiada pembubaran parlimen sebelum Julai, 2022.

Di pihak Umno, feel good factor ekoran kemenangan “landslide” pada PRN Melaka, ada lah dorongan utama untuk mendesak diadakan PRU-15 pada masa terdekat atau sesegera mungkin. Malah, Timbalan Presiden Umno, menurut laporan berbagai media, telah memberitahu Perdana Menteri agar mempertimbangkan PRU-15 disegerakan, sebaik keputusan PRN Melaka diketahui yang dimenangi Barisan Nasional.

Memang benar, seperti kenyataan Setiausaha Agung Pas, yang juga anggota kabinet, bahawa keputusan membubarkan parlimen atas persetujuan kabinet, bukannya parti, akan tetapi Perdana Menteri adalah daripada Umno, dan kebarangkalian mempunyai pendirian yang sama dengan pendirian parti yang beliau wakili.

Perlu difahami politik itu sangat dinamik. Keputusan semalam tidak semestinya kekal pada hari ini. Oleh kerana itu, walaupun ada MOU bahawa parlimen tidak dibubar sebelum Julai, 2022, bukannya statik, akan tetapi berubah mengikut masa dan keperluan atau keutamaan.

Hakikatnya keutamaan MOU tersebut adalah usaha melawan Pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan kestabilan kerajaan, akan tetapi, keperluan mengembalikan mandat pada rakyat juga menjadi pertimbangan, kerana membawa banyak implikasi khususnya pada pemulihan dan perkembangan ekonomi negara. Kerajaan yang stabil hanya lahir,apabila disokong majoriti wakil rakyat yang sehaluan dengan kerajaan.

Tidak dapat dielak, faktor feel good factor di pihak Umno, akan menjadi pendorong diadakan PRU-15 dalam masa terdekat.

PENULIS yakin, ramai sungguh pemimpin Umno yang “berstatus”ditolak pada PRU-14 menanti PRU-15, kerana keyakinan pada feel good factor menjadi pemudah cara bagi parti itu menerajui semula pemerintahan dan kepimpinan negara.

Juga, mereka yang berstatus wakil rakyat daripada parti itu, yang mempunyai kebolehan, berpengalaman, akan tetapi bukan sebahagian pengatur pemerintahan dan pentadbiran, juga mempunyai kecenderungan agar parti yang disokong menjadi peneraju kerajaan di semua peringkat agar mereka berperanaan semula.

Dorongan seperti ini, tidak akan dapat dibendung, kerana adat berpolitik, adalah untuk mendapatkan kuasa.

No comments:

Blog Archive