Saturday, November 13, 2021

PRK MELAKA: ANDAIAN AWAL-PH BOLEH MENANG


ANDAIAN awal pada PRN Melaka ke-15, Pakatan Harapan (PH) boleh menang dan dapat menubuhkan kerajaan negeri selepas 20 November ini.

Kesimpulan para pengandai, bahawa trend pengundian akan seperti PRU-14. Dikatakan penyumbang utama kemenangan PH, kerana pertembungan tiga penjuru antara parti itu dengan BN dan PN.

Walaupun andaian ramalan awal, bahawa PH akan menang, akan tetapi sangat bergantung pada peratusan pengundi yang menunaikan tanggungjawab. Jika peratusan boleh mencapai 70 peratus atau lebih, maka andaian ramalan awal boleh berlaku,namun jika peratusan yang keluar mengundi kurang daripada sasaran atau lebih rendah, maka kemungkinan akan berlaku DUN tergantung.

Melihat sentimen dan kecenderungan pengundi, selepas hampir seminggu tempoh kempen, boleh dikatakan masih berpihak pada PH, diikuti BN. Manakala PN, dilihat kurang menarik perhatian pengundi, entah apa sebabnya. Mungkin, benar seperti mana dakwaan Pengerusi PN, bahawa calon-calon parti itu kurang mendapat liputan media arus perdana, kalau pun mendapat liputan, hanya isu-isu negatif yang dikaitkan dengannya.

Tidak jelas, mengapa PH dikatakan boleh menang, sedangkan, rekod kerajaan yang terajui pakatan tersebut sebelum ini, tidak menyerlah, malah manifesto yang dapat mengabui sokongan pengundi pada PRU-14 bukan sahaja tidak ditunaikan, malah dianggap tidak perlu ditunaikan.

Menjadi tanya juga, rekod lebih 60 tahun BN menerajui negara termasuk di Melaka, juga kurang menyengat, demikian juga pencapaian PN semasa era Tan Sri Muhiyiddin Yassin Perdana Menteri, juga tidak menjadi faktor kelebihan pada calon-calon parti itu. Setidak-tidaknya, pada peringkat awal, senario demikian yang berlaku. Akan tetapi, seperti pengalaman lalu, pada pilihan raya, boleh saja berlaku, berbagai kemungkinan, yang disangka menang tetapi kalah, yang disangka kalah menang pula.

Untuk sementara, tiada ukuran yang boleh diguna untuk meramal dengan tepat keputusan PRN Melaka, kerana bukan sahaja suasana pilihan raya sangat berbeza dengan pilihan raya-pilihan raya lalu, juga pada PRN ke-15 Melaka berhadapan dengan SOP yang ketat, sesuai dengan norma baharu era pandemik Covid-19.

Tidak pasti, pengundi negeri Melaka, akan menguna pakai faktor apa semasa turun mengundi, kerana masing-masing pihak mempunyai kelebihan sendiri jika dilihat pada senarai calon-calon, malah setiap pihak juga telah mengemukan pola pemerintahan masing-masing.

Kalau bersandar pada faktor faktor kestabilan politik, masing-masing pihak juga berkehendakkannya, menerusi kemenangan sebanyak mungkin kerusi. Jika bersandar pada pemerintahan telus, bebas rasuah, bebas salah guna kuasa, masing-masing pihak juga mempunyai visi yang sama. Hanya bezanya, jika dilihat pada segi kepimpinan masing-masing parti, ada parti yang mempunyai pemimpin yang diragui kerana terlibat jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Akan terlihat pada 20 November, ke arah mana hampir setengah juta pengundi negeri Melaka memberikan mandat. Sama-sama kita nantikan.

No comments:

Blog Archive