Monday, January 25, 2021

SETAHUN BERSAMA COVID-19

HARI ini 25 Januari, genap setahun negara kita (kita semua) dibadai pandemik covid-19, apabila 4 pelawat daripada Negara China masuk ke negara ini melalui Johor. Pun demikian, SMS MKN, semakin rancak, memberi amaran “lokasi atau kawasan bertukar zon merah”.

Pada gelombang pertama, majoriti melibatkan kes import, malah kluster terbesar Masjid Jamek, Petaling Jaya, selain disebabkan oleh rakyat kita yang terjangkit di luar negara juga oleh rakyat asing yang sudah terjangkit menyertai perhimpunan besar-besaran pada hujung Februari hingga awal Mac tahun 2020. 

Pada masa gelombang pertama, walaupun rakyat begitu takut akan virus tersebut, akan tetapi kerajaan masa itu, cuba menenangkan rakyat, bahawa ancaman virus tersebut kepada rakyat negara ini tidak serius dan terkawal. 

Apabila berlaku perubahan kerajaan, dan kerajaan baharu melaksanakan PKP, mantan-mantan menteri dan pemimpin parti yang hilang kuasa bukan sahaja mempersoalkan kewajaran PKP, malah menolaknya. Ironinya, mereka yang menolak seorangnya adalah mantan Menteri Kesihatan. 

Pemimpin lain pula, mengeritik kerajaan, kerana melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pelaksanaan PKP. 

PKP pertama yang dilaksanakan pada 18 Mac, 2020 bagaikan racun bagi pemimpin pembangkang, seolah-olah negara menghampiri kiamat. 

Selepas setahun, semalam direkodkan 183,801 kes positif, 141,446 daripadanya sembuh, 678 kes kematian, dan 41,677 kes aktif. 

Setakat semalam KKM telah melaksanakan 4,431,316 saringan, daripada 32,600,114 penduduk negara ini. 

Sebenarnya, negara kita berjaya melandaikan keluk jangkitan gelombang kedua pada Mei lalu. Atas sebab kejayaan tersebut, maka kerajaan melonggarkan kawalan pergerakan, sehingga ke peringkat PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan). 

Mungkin, selepas 6 bulan, kegerunan rakyat terhadap virus tersebut, sudah mengendur, selain keyakinan, bahawa memakai pelitup muka sudah memadai, sehinggakan salah satu SOP- penjarakan fizikal sekurang-kurang 1 meter, atau elakan ruangan sesak, tidak diberi keutamaan, maka “spike” atau mencanak naiknya jangkitan virus tersebut berlaku, lebih-lebih lagi semasa PRN-16 Sabah, yang disebabkan oleh “rakyat” yang menyusup masuk untuk tujuan mengundi, sedangkan mereka itu dijangkiti virus tersebut di negara asal. 

Penulis sendiri memperhatikan, khusus daerah Kota Kinabalu, sejak pertengahan tahun 2020, semasa PKPP, rakyat semacam mengambil mudah ancaman corona virus, apabila bank-bank, pasar-pasar raya sesak, termasuk ada yang membawa anak-anak kecil, tanpa pelitup muka, seolah-olah, keadaan sudah kembali normal. 

Penulis juga memperhatikan semasa tempoh kempen PRN-16 Sabah selepas penamaan calon pada 12 September, sehingga pembuangan undi pada 26 September, majoriti rakyat yang keluar tidak mengamalkan SOP. Kerana keadaan tersebut, biasanya penulis, seperti pengalaman mengundi pada PRN atau PRU lalu, hanya mengambil masa kurang 30 minit, tetapi pada 26 September, penulis hanya dapat memangkah pada pukul 4 petang, selepas menunggu bermula seawal 9 pagi. Sebabnya, penulis sedaya upaya mengelak kerumunan dan memelihara penjarakan fizikal. 

Melihat kepada keadaan tersebut, penulis sudah meramalkan, selepas PRN Sabah, kes jangkitan positif covid-19 akan mencanak naik, walaupun semasa meramal tersebut salah seorang pemimpin Parti Warisan, cuba mempengaruhi rakyat Sabah atau pengundi Sabah, bahawa jangkitan covid-19 yang dilaporkan oleh KKM hanya lakonan. Pemimpin tersebut yang juga salah seorang calon parti Warisan, malah dengan penuh yakin, jumlah jangkitan covid-19 akan menjadi sifar pada 27 September, 2020. 

Akibat penularan covid-19 di negara kita yang mencanak naik, PKP2.0 terpaksa dilaksanakan, dan seterusnya agar PKP tersebut berkesan dan tanpa gangguan serta berjalan lancar, maka dibantu dengan proklamasi darurat. 

Sebenarnya, pakar virus daripada negara China pada 6 Disember, 2020 sudah memberi amaran kepada negara kita, jika tindakan segera mengawal penularan virus tersebut tidak dilakukan, menjelang hari ini 25 Januari, 2021, jumlah kes positif akan mencecah 187,900; sedangkan semasa amaran tersebut jumlah kes positif komulatif di negara kita kurang daripada kes positif daripada negara asal virus tersebut, China (86,000 kes). 

Selepas setahun, pandemik covid-19, kesannya terhadap kehidupan, ekonomi, dan kewangan negara cukup tinggi. Pun demikian, masih ada pemimpin yang cuba menganggu/menghalang kelancaran urusan kerajaan, melawan virus pembunuh ini, memulihkan ekonomi, malah ada pemimpin masih mabuk dengan jawatan Perdana Menteri.

No comments:

Blog Archive