Wednesday, November 18, 2020

JANGAN POLITIKKAN BAJET 2021

Belanjawan 2021 yang menjadi tumpuan rakyat, lebih awal lagi mendapat panduan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya bajet tahun depan tidak dipolitikkan. 

Tidak lama lagi, selepas beberapa hari berbahas, memberi pendapat, mengkritik atau memberi cadangan, nasib Belanjawan 2021 akan ditentukan.

Sama ada diluluskan ataupun tidak, nasib bergantung kepada 220 Ahli Parlimen (Batu Sapi dan Grik-kosong kerana kematian) yang mengisi Dewan Rakyat, yang dipilih pengundi untuk menjaga kepentingan masyarakat. 

Jika diteliti Bajet 2021, banyak perkara bagus dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu - keperluan berbelanja untuk sektor kesihatan, membela nasib golongan memerlukan dan meringankan beban rakyat yang terkesan angkara virus berbahaya. 

Tumpuan kerajaan juga adalah kepada usaha mencipta peluang pekerjaan, menyalurkan bantuan kewangan kepada kumpulan sasaran dan segala perkara lain yang berkaitan. 

Kalau dilihat secara keseluruhannya, dengan kekangan kewangan dihadapi, kerajaan sudah melakukan yang terbaik untuk meletakkan kembali ekonomi negara kita pada kedudukan yang betul dan memberi bantuan kepada majikan, pekerja dan rakyat daripada bujang sehinggalah yang berkeluarga. 

Secara keseluruhan RM322.5 bilion yang dicadangkan dalam belanjawan tahun depan adalah jelas sasarannya. 

Rata-rata cadangan peruntukan adalah untuk rakyat atau perkhidmatan awam serta sektor ekonomi yang kepentingannya juga adalah rakyat. 

Apa perlunya menjadikan Belanjawan 2021 sebagai mangsa ketika ancaman COVID-19 mengakibatkan rakyat berdepan kesukaran dalam pelbagai bentuk dan sektor ekonomi terjejas teruk. 

Bagi memastikan bajet negara diluluskan, marilah semua berkompromi, usah terlalu berpolitik sehingga kepentingan rakyat pun mahu dijentik. 

No comments:

Blog Archive