Monday, April 20, 2020

BETUL-SELEPAS HUJAN TERBIT MATAHARI- AWAN TEBAL PENYEBAB MENDUNG

SEBAHAGIAN rakyat Malaysia bersyukur atas tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan; kerana jika kerajaan itu masih wujud ada kemungkinan besar negara ini akan ikut jejak negara Amerika Syarikat dan sesetengah negara Eropah yang terjejas teruk jangkitan Covid-19. 

Melihat statistik jejak covid-19 seluruh dunia, sejumlah 1,088,651 kes positif dengan kadar kematian 102,565 di negara-negara Eropah, manakala di Amerika Syarikat sahaja seramai 762,496 kes positif dengan kematian 40,478 orang. 

Untuk seluruh dunia sejumlah 2,402,980 kes positif dengan kematian 165,641. 

Walaupun di Malaysia hanya ada 5,389 kes positif dengan angka kematian 89, akan tetapi rata-rata rakyat negara ini merasa ketakutan serangan virus pembunuh Covid-19. 

Memang betul After the Rain Comes The Sun atau selepas hujan terbit matahari, namun jangan lupa, awan tebal adalah penyebab mendung. 

Melihat statistik, transmisi covid-19 di Malaysia berjaya dikekang, untuk membolehkan para pesakit menerima perkhidmatan kesihatan terbaik. 

Namun, kejayaan itu masih jauh daripada berakhir, selagi vaksin penawar belum dijumpai. Apa tah lagi, peningkatan transmisi di negara jiran terdekat, Singapura yang hanya dipisahkan dengan Jambatan sedikit di atas 1kilometer, di Sabah dan Sarawak ancaman daripada negara jiran-Indonesia dan Filipina. 

Mungkin benar, di negara kita akan berlaku selepas hujan akan terbit matahari dalam masa terdekat, tetapi kehidupan tidak akan sama lagi untuk tempoh masa yang tidak pasti. 

Sebagai impak kepada Covid-19, mungkin sektor pengeluaran makanan untuk keperluan sendiri akan kembali seperti biasa, walaupun nantinya harga sedikit meningkat, kerana yang bekerja bukan lagi tenaga kerja asing melainkan tempatan, yang sudah tentunya dibayar dengan gaji yang lebih tinggi berbanding tenaga buruh asing. 

Kerana sektor makanan akan berjalan seperti biasa, maka ancaman kebuluran tidak akan menghantui rakyat negara ini. 

Selepas PKP dan pada pasca PKP sektor-sektor lain akan terjejas teruk, khususnya industri pelancongan, industri kelapa sawit; tetapi kabar gembira untuk industri getah, khususnya pengeluar sarung tangan. 

Pengangguran akan berlipat kali ganda, khususnya di sektor pelancongan kerana akan banyak hotel-hotel atau calet-calet bakal ditutup atau menghentikan operasi, atas sebab ketiadaan penginap kerana terhentinya kedatangan pelancong. 

Jika sebelum wabak Covid-19, negara seperti China, Korea, Jepun telah menghidupkan industri pelancongan negara,namun kerana adanya wabak covid-19, kedatangan pelancong daripada negara-negara tersebut memerlukan tempoh masa tertentu sebelum dibenarkan masuk. 

Demikian juga daripada Eropah atau Amerika Syarikat, pelancong daripada negara-negara tersebut memerlukan masa yang cukup panjang mungkin selepas ditemukannya vaksin penawar Covid-19, memandangkan begitu terjejasnya negara-negara tersebut. 

Transmisi virus Covid-19 ini, tidak akan berhenti selagi vaksin penawar belum ditemukan, dan sebab itu lah untuk mengelak wabak itu menjangkiti rakyat negara, maka penutupan pintu masuk kepada pelancong akan terus kekal untuk sementara. 

Kalau melihat statistik, pendapatan negara daripada sektor pelancongan cukup besar, iaitu separuh daripada pendapatan daripada sektor minyak dan gas. Kerana industri pelancongan bakal lumpuh, maka negara akan kehilangan berbilion ringgit pendapatan. 

Cerita di atas hanya sekelumit berkaitan ekonomi untuk menggambarkan keadaan yang bakal dihadapi negara, walaupun kita yakin selepas hujan bakal terbit matahari, akan tetapi kehidupan tidak akan sama lagi (Life will be not the same again). 

Ya-Kehidupan Tidak Aakan Sama Lagi, tetapi di segi politik, kekal sama. Perebutan kuasa akan terus berjalan seperti biasa, bukan sahaja ancaman daripada Pakatan Harapan, akan tetapi dalam kerajaan sendiri, malah sebuah parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang berlaku saling menjatuhkan satu sama lain dalam parti tersebut. Belum lagi ancaman daripada parti Umno khususnya daripada segelintir pemimpin parti itu yang tidak diberikan tempat dalam kerajaan. 

Para pemimpin dalam PN, walaupun untuk sementara kelihatan sedang berpadu, akan tetapi komen-komen negatif daripada pemimpin Umno yang bukan wakil rakyat terhadap kerajaan cukup memperlihatkan bahawa mereka itu tidak senang dengan kerajaan, walaupun visi utama parti itu sebenarnya telah tercapai, iaitu menyertai sebuah kerajaan tanpa DAP. 

Para pemimpin sedemikian seolah-olah menolak kegembiraan rakyat secara umum kerana tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

Juga mereka itu seolah-olah tidak percaya, bahawa kerajaan yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin diterima sebahagian besar daripada rakyat. 

Tindakan para pemimpin yang tidak senang dengan kepimpinan Muhyiddin adalah penyebab mendung selepas hujan terbit matahari. 

Selain itu, Muhyiddin juga berhadapan dengan perebutan jawatan dalam parti beliau sendiri-BERSATU. Penulis tidak dapat merumuskan, apa yang akan berlaku selepas Jun, apabila tamatnya pemilihan BERSATU, kerana kalaupun Muhyiddin menang, masih berhadapan dengan tembok besar iaitu Pengerusi parti itu Tun Dr Mahathir Mohammad. Kalau beliau kalah, lagi lah buntu rumusan penulis, apa kah kesudahannya. 

Sebelum Jun, Muhyiddin bersama kerajaan beliau perlu berhadapan dengan undi tidak percaya, apabila Parlimen bersidang sehari pada 18 Mei. Persidangan sehari tidak menidakkan usul tidak percaya. 

Kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat bergantung pada Speaker, apa kah akan menerima usul tidak percaya semasa sidang parlimen sehari tersebut. 

Jika halangan pertama itu berjaya dilepasi, maka halangan kedua Tan Sri Muyiddin adalah pada pemilihan parti pada Jun. Jika halangan ke-2 itu berjaya direntasi, maka kerajaan PN akan bertahan sehingga PRU-15, itupun, jika parti Umno terus kekal menyokong. 

Penulis yakin betul, dalam politik, yang tidak mungkin akan mungkin, lawan jadi kawan, begitu juga sebaliknya. 

Bagi kita sebagai rakyat, hanya berharap selepas hujan terbit matahari, dan berdoa tiada awan tebal penyebab mendung!!!.

No comments:

Blog Archive