Thursday, March 19, 2020

COVID-19- GELOMBANG KE-3 BAKAL MENYUSUL?

LARANGAN Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri pada 17 Mac, berkuatkuasa 18-31 Mac, selama 14 hari, diambil peluang oleh berbagai pihak pulang kampung, malah kampus/kolej yang diarah tutup, para naib censalor menyuruh pelajar pulang kampung, walaupun sehari kemudian Menteri Pengajian Tinggi, membatalkan arahan tersebut, tetapi, sudah terlambat, ramai sudah pelajar berbondong-bondong pulang kampung.

Di UiTM kampus Kota Kinabalu, setiap satu jam pengumuman dicorong pembesar suara, mengarahkan pelajar mengosongkan bilik masing-masing, dan sesiapa yang engkar, diancam, lampu bilik mereka dipadam dan air ditutup. Dalam suasana kelam kabut itu, pelajar yang tidak sempat keluar dipindahkan pada blok lain, kononnya memudahkan kawalan dan pemantauan. Tetapi keadaan sudah terlambat, hampir 90% pelajar sudah keluar dan dalam perjalanan pulang, sebahagian mereka tersadai di terminal-terminal bas, atau lapangan terbang.

Di bandar-bandar besar, khususnya Kuala Lumpur dan Lembah Klang, selepas pengumuman larangan pergerakan, jalan-jalan raya penuh sesak, terminal-terminal penuh sesak, malah balai polis sesak, kerana mereka yang mahu pulang mahu mendapat kebenaran rentas negeri, walaupun beberapa jam kemudian arahan tersebut dicabut semula.

Semalam Perdana Menteri terpaksa tampil semula dengan membuat rayuan, supaya larangan pergerakan mencapai matlamat... meminta rakyat duduk di rumah, "Just Stay At Home" “Stay put where you are,

Rakyat negara ini, tidak mengambil kira maklumat yang mudah diperolehi, berkaitan penyebaran virus COVID-19, meskipun maklumat dihujung jari, khususnya pengalaman negara Itali, yang terkesan teruk, walaupun awal-awal lagi telah mengeluarkan larangan pergerakan, tetapi rakyat negara itu endah tak endah. Impaknya, di luar negara China, Itali, merupakan negara terteruk dijangkiti virus tersebut, malah negara itu sekarang mengenakan total "lockdown" yang membabitkan 60 juta rakyat negara tersebut.

Oleh kerana di negara ini, larangan pergerakan disambut, sebagai PESTA BESAR-BESARAN pulang kampung, maka ada kemungkinan, gelombang ke-3 serangan COVID-19 akan menyusul. Semoga Allah lindungi rakyat Malaysia, meskipun ada sanggup mati, tetapi ingat lah orang lain.

No comments:

Blog Archive