Thursday, January 16, 2020

SIAPA JUNZ WONG KOMEN BERKAITAN USNO

TERBUKTI, betapa mustahaknya, rakyat mengetahui atau 'update" berkaitan senario atau latar belakang politik tanah air, kerana untuk mengelak individu seperti Junz Wong, mantan ADUN Likas daripada DAP, kemudian menjadi ADUN Warisan bagi Tanjung Aru, dan kini Menteri pada kabinet Sabah yang diterajui Datuk Shafie Apdal memberi komen merapuh, tidak berasas kepada keadaan sebenar.

Junz Wong adalah wakil rakyat yang mempunyai rekod menipu sehinggakan pernah digantung selama 6 bulan sebagai ADUN Likas.

Hujah Naib Presiden Warisan itu semasa kempen PRK Kimanis, kononnya pembubaran USNO untuk digantikan UMNO merupakan satu kesilapan besar, merupakan hujah yang tidak bersandar fakta.

USNO merupakan parti yang memerintah Sabah sehingga tahun 1976, dan tidak pernah bangkit lagi selepas itu. Oleh kerana parti itu disokong sebahagian besar bumiputera islam, dan mewakili kawasan-kawasan bumiputera islam dan sentiasa menjadi pembangkang sejak kehilangan kuasa.

Kesediaan Usno dibubarkan untuk digantikan UMNO, maka telah membuka peluang kepada para pemimpin USNO dan bumiputera lain menjadi pemimpin nasional, termasuk lah Datuk Shafie Apdal yang kini menjadi Presiden Warisan dan Ketua Menteri ke-15 Sabah.

Hujah Junz telah menafikan rekod calon parti Warisan Sabah bagi PRK Kimanis-Datuk Karim Bujang yang telah menjadi wakil Usno selama sepenggal bagi tahun 1990-1994, kemudian wakil Umno bagi tempoh 4 penggal berikutnya, 1994-1999, 1999-2004, 2004-2008 dan 2008-2013.

Komen Junz Wong telah memperlekeh keputusan Bapa Kemerdekaan Sabah Allahyarham Tun Mustapha Datu Harun telah berkorban membubarkan Usno semata-mata untuk kemajuan dan pembangunan Sabah.

Untuk rekod, sebelum Umno bertapak di Sabah, kadar kemajuan dan pembangunan Sabah cukup daif sekali, kadar kemiskinan yang mencecah hampir 40%, malah bajet tahun negeri masih di bawah RM2bilion setahun. Selain itu, ekonomi Sabah tidak sampaipun RM40bilion. Malah menjelang tahun 1994, Sabah hampir muflis, kerana simpanan kewangan negeri dalam keadaan negatif.

Selepas USNO dibubarkan dan berpindah ke perahu UMNO pada tahun 1991, dan seterusnya membentuk kerajaan pada tahun 1994, bermula lah saluran peruntukan daripada Persekutuan mengalir ke Sabah, selain peningkatan aktiviti perdagangan, sehinggakan kek ekonomi Sabah berkembang maju sehingga mencapai RM80bilion pada Tahun 2017 dengan purata pertumbuhan 8% setahun.

Simpanan kewangan Sabah daripada negatif terus berkembang, sehingga mencecah RM3.74bilion pada Tahun 2017. Peningkatan simpanan kewangan Sabah sentiasa bertambah bermula pada tahun 2003, sebaik Sabah melantik Datuk Musa Aman (kini Tan Sri) sebagai Ketua Menteri ke-14 Sabah.

Pencapaian Musa selain disokong oleh pengalaman beliau dalam dunia perniagaan akan tetapi juga kerana sokongan kerajaan Pusat, sehinggakan Sabah dapat membentangkan Bajet di atas RM4bilion pada tahun 2012, dan bajet itu merupakan rekod bajet Sabah sejak merdeka pada tahun 1963.

Kerana Sabah diterajui parti yang juga parti tunjang kerajaan Persekutuan sehingga Mei, 2018, maka kemajuan dan pembangunan Sabah begitu pesat sekali, termasuk lah pembinaan infrastrukur canggih seperti jambatan-jambatan bertingkat di Kota Kinabalu, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, sehinggakan menjadi Lapangan terbang tersibuk di negara ini selepas Kuala Lumpur International Airport (KLIA).

Juga semasa Sabah diterajui UMNO, pemimpin Umno Sabah diberi kedudukan yang tinggi di peringkat Nasional, dilantik sebagai Menteri yang disalurkan dana yang cukup besar untuk memajukan dan membangun Sabah, akan tetapi sayang sekali, pemimpin itu tidak menjalankan amanah yang diberikan, sehinggakan dana yang begitu besar, tiada dampak atau tidak kelihatan kesannya di lapangan, walaupun para kroni pemimpin itu menjadi kaya raya, termasuk lah pemimpin itu.

Sejarah pembangunan dan kemajuan Sabah perlu direkodkan dengan betul, itulah yang mendorong penulis untuk mencatit fakta sebenar, kerana tindakan menyembunyikan fakta seperti mana hujah Junz Wong merupakan satu pembohongan. 

Menafikan sumbangan Umno/Bn adalah satu tindakan tidak adil, walaupun kehilangan kuasa selepas PRU-14, bukan kerana penolakan rakyat terhadap sumbangan parti yang menerajui negara sejak merdeka, akan tetapi rakyat terpesona dengan fitnah dan janji-janji bulan bintang.

No comments:

Blog Archive