Saturday, June 01, 2019

SEKALI AIR BAH SEKALI PANTAI BERUBAH

RUPANYA dalam permainan politik, benar lah pengertian peribahasa, sekali air bah sekali pantai berubah.

PRU-14, baru setahun berlalu, namun implikasinya dalam permainan politik Sabah bukan sahaja besar akan tetapi mendekati gargantuan.

Rupanya, "kestabilan" politik selama 24 tahun selepas Sabah mencapai kemerdekaan, tidak menggambarkan kestabilan yang sebenarnya, kerana terbukti "ikatan" politik selama 24 tahun itu, begitu rapuh sekali.

Kerapuhan ikatan itu, didasari oleh ketamakan yang melahirkan pengkhianatan, sehinggakan berentetan, menjadikan pemimpin politik mengikut erti peribahasa bagaikan enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

24 tahun kebersamaan dalam politik, rupanya, bukan kebersamaan yang sebenarnya, akan tetapi kebersamaan yang dipaksa kerana kedudukan dan kuasa.

Melihat kepada senario itu, kerjasama politik yang terlihat hari ini, juga bukan kebersamaan yang sebenar. Kebersamaan itu adalah kebersamaan yang penuh dengan kepura-puraan yang berpaksi kepada kedudukan dan kuasa.

Adalah benar, apabila asas politik didasari kepura-puraan, ianya akan berulang-ulang.

Penulis sebenarnya telah berpendapat, selepas kestabilan politik Sabah selama 24 tahun, maka telah berakhir politik kepura-puraan, kerana sebelum itu, sebagai impak kepada politik kepura-puraan, maka setiap 9 tahun, kerajaan Sabah bertukar kerajaan. Rupanya, pendapat penulis itu berkecai semasa PRU-14.

Kini politik kepura-puraan semakin subur, dengan berkiblatkan kepada falsafah politik itu sendiri, tiada lawan dan kawan yang kekal selamanya.

Apa yang pasti, implikasi politik kepura-puraan ini, akan sentiasa menguntungkan pemain politik, dan pada masa sama, rakyat akan terus menjadi mentimun, mengolek atau digolek tetap sahaja menjadi bahan uji cuba atau kuda tunggangan.

No comments:

Blog Archive