Saturday, March 23, 2019

SENARIO PENDEKATAN UMNO SABAH- PIHAK MANA DAPAT MANAFAAT?

DILIHAT perkembangan politik Sabah, nampaknya kecenderungan lebih mengarah kepada politik individu, apabila serangan bertali arus kepada mereka yang termasuk wakil rakyat dan pemimpin yang bertukar parti.

Serangan Datuk Bung Moktar kepada mereka ini, tanpa menyebut nama parti, menunjukkan serangan peribadi kepada mereka-mereka itu.

Di kalangan pemimpin pertengahan Umno Sabah, serangan dijuruskan kepada individu bukan kepada parti yang disertai. Mereka ini mempertikai bahawa para wakil rakyat itu tidak akan menjadi wakil rakyat tanpa sokongan parti termasuk dana parti pada PRU lalu.

Penulis melihat cara para pemimpin Umno Sabah di semua peringkat adalah pembunuhan karakter khususnya kepada mantan-mantan wakil rakyat Umno.

Sebagai rekod, sebaik sahaja PRU-14, 4 ADUN parti itu melompat, kemudian disusul ADUN Pitas dan Sugut. Pada 12/12/2018, 4 MP dan 2 Senator bersama-sama 9 ADUN telah keluar beramai-ramai menjadi wakil rakyat bebas.

Parti Warisan Sabah disertai 7 ADUN, manakala PPBM disertai 4 MP, 2 Senator dan 8 ADUN.

Melihat cara para pemimpin Umno Sabah menyerang mereka-mereka ini, menggambarkan bahawa musuh utama mereka adalah para individu, bukannya parti.

Penulis terfikir, bahawa dengan menyerang para individu itu, menerusi pembunuhan karakter, maka parti yang disertai mantan-mantan pemimpin Umno itu tidak mendapat sokongan rakyat. Mereka bertindak pukul anak kerana menyindir menantu.

Para pemimpin Umno khususnya mereka yang tiba-tiba mendapat kedudukan dalam parti, kerana para pemimpin utama secara berjemaah meninggalkan parti, memilih menyerang mantan-mantan pemimpin mereka, berbanding pemimpin parti yang telah menyebabkan parti mereka kehilangan kuasa. Melihat cara mereka itu, seolah-olah musuh mereka adalah mantan-mantan pemimpin mereka.

Bagi hemat penulis, memilih pembunuhan karakter kepada mantan-mantan wakil rakyat ini, tidak akan pergi jauh, kerana mereka ini juga mempunyai kebolehan memberi penerangan kepada rakyat amnya dan pengikut mereka khasnya.

Para pemimpin Umno Sabah perlu mengambil iktibar pengalaman dua ADUN Sabah yang pernah bertukar parti pada tahun 1994, iaitu Datuk Rubin Balang dan Datuk Lajim Haji Ukin, yang terus diterima pengundi mereka selama 24 tahun, sehinggalah pada PRU-14 lalu. Malah Datuk Shafie Apdal semasa meninggalkan Umno masih merupakan MP Semporna atas tikit Umno/Bn dan Naib Presiden Umno. Jika benarlah tomahan para pemimpin Umno Sabah kepada mantan-mantan pemimpin parti dan wakil rakyat parti, dengan dakwaan tiada intgeriti, tidak bermaruah, penakut dan sebagainya, maka Shafie tidak akan menang di parlimen Semporna dan DUN Senallang pada PRU-14 lalu.

Serangan  Ghazalie Ansing Pengarah Komunikasi dan Strategik UMNO Sabah/Pemangku Ketua Bahagian Tawau kepada Datuk Ronald Kiandee, kerana MP Beluran itu menyifatkan perbahasan Datuk Bung Moktar Radin di Parlimen yang menghamburkan berbagai dakwaan terhadap mantan-mantan wakil rakyat yang bertukar parti sebagai kenyataan politik, menunjukkan bahawa pemimpin Umno Sabah lebih berminat kepada serangan kepada perorangan, bukannya menyerang saingan utama mereka itu parti.

Menyerang perorangan bukan caranya untuk memperkuat sebuah parti. Para pemimpin sebuah parti perlu menunjukkan kepada rakyat arah tuju perjuangan mereka, apa yang mereka boleh lakukan membela rakyat dan negeri, berikan alternatif kepada rakyat, mengapa parti mereka perlu disokong,kerana cara itu lebih menggamit sokongan rakyat, kerana rakyat faham, bahawa pemimpin hilang berganti. Bukti kan kepada rakyat, mereka yang mengambil alih kepimpinan jauh lebih baik daripada semua segi. 

Pada hemat penulis, jika cara kepimpinan Umno Sabah tidak menukar kaedah untuk memperkuat parti, parti itu akan terus dilupakan, seperti mana dialami oleh parti di Sabah dahulu, apabila hilang kuasa tidak pernah bangkit lagi. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Blog Archive