Saturday, January 05, 2019

BELANJAWAN SABAH TAHUN 2019 PERLU DISEMAK?

Kerajaan Sabah besar kemungkinan akan menyemak bajet bagi tahun ini, ekoran penurunan harga komoditi seperti kelapa sawit yang akan mempengaruhi hasil cukai yang dianggarkan bagi tahun ini sebesar RM1.25bilion.

Selain itu, penerimaan daripada royalti minyak juga yang dianggarkan sebesar RM1.6bilion tidak akan dicapai ekoran penurunan harga minyak di pasaran antarabangsa.

Sebagai impak kepada penurunan harga komiditi dan minyak, hasil akan berkurang dalam lingkaran RM853juta. Penurunan hasil itu menyebabkan anggaran hasil tahun 2019 yang berjumlah RM4.27bilion, yang bakal terealisasi hanya RM3.417bilion. Jika anggaran hasil tersebut dipadankan dengan perbelanjaan RM4.16bilion, maka Sabah akan mengalami defisit sebanyak RM743juta.

Untuk mengatasi defisit itu, kerajaan mempunyai 3 pilihan. Memperkenalkan cukai ke atas petrolieum seperti mana Kerajaan Sarawak atau menggunakan sumber hutan atau menggunakan simpanan kewangan negeri.

Kerajaan tidak digalakan mengurangkan perbelanjaan, kerana ianya berkait rapat dengan aktiviti ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar. Tiada cara mengekalkan pertumbuhan di kawasan ini, selain perbelanjaan oleh kerajaan. Kerajaan perlu berbelanja, bagi menghalang kadar kemiskinan di kawasan ini kembali semula.

Pada pemerintahan lalu, kadar kemiskinan dapat diturunkan kerana perbelanjaan kerajaan, antaranya menerusi pembangunan perkampungan mini sejahtera (MESEJ) atau pembangunan tanah-tanah rakyat yang termasuk dalam geran komunal. Walaupun geran komunal telah dimansuhkan, kerajaan perlu meneruskan pembangunan kawasan-kawasan seumpama itu.

Kerajaan negeri, perlu meneruskan penyediaan kemudahan asas di kawasan luar bandar, menerusi projek-projek kecil, samada menerusi Kementerian Pembanguan Luar Bandar, Peruntukan Khas Kementerian Kewangan mahupun daripada Jabatan Ketua Menteri, yang dikawal selia oleh pejabat-pejabat daerah.

Walaupun projek-projek itu bersifat kecil samada di bawah RM500ribu, atau RM350ribu atau di bawah RM100ribu, ianya banyak membantu aktiviti ekonomi di peringkat daerah.

No comments:

Blog Archive