Monday, October 29, 2018

UMNO WUJUD DI ATAS KERTAS?

UMNO mencatit rekod tersendiri, bahawa parti itu dilemahkan hanya oleh seorang pemimpin, iaitu Tun Dr Mahathir Mohammad.

Dr Mahathir juga mencatit rekod, tiga kali di luar parti, 2 kali keluar sendiri dan sekali dipecat.

Tahun 1987, Umno terpecah dua, iaitu antara Team A dan Team B. Team B menubuhkan parti S-46 yang diketuai Tengku Razalegh Hamzah.

Tahun 1998, Umno bergolak lagi, apabila Datuk Seri Anwar dipecat dan seterusnya menubukan Parti KeAdilan (ADIL) kemudian menjadi Parti KeAdilan Rakyat (PKR) selepas bergabung dengan Parti Sosialis pimpinan Syed Hussein Ali.

Pada 8 September, 2016 Tun Dr Mahathir menubuhkan PPBM bersama Tan Sri Muhiyiddin Yassin dan Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Ekoran penubuhan PPBM dan bergabung dengan PKR, DAP dan Amanah selain berkolaborasi dengan Parti Warisan Sabah, maka telah menumbangkan Bn yang diterajui Umno pada PRU-14.

Pada PRU itu, Umno hanya menang 54 kerusi daripada 88 yang dimenangi pada PRU-13. Kini MP Umno hanya berbaki 49, kerana 6 telah keluar daripada parti, 5 masih MP bebas, manakala seorang masuk PPBM.

Pukulan terakhir Tun Mahathir supaya Umno hilang tanpa nisan adalah menangkap para pemimpinnya dengan tuduhan rasuah. Pada masa yang sama beliau mendesak sekurang-kurangnya semua MP parti itu menyertai PPBM, kecuali Datuk Seri Najib Razak, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Tajuddin Rahman dan Datuk Azeez Rahim dan Khairy Jamlauddin Abu Bakar.

Tun Mahathir sebelum meninggalkan dunia ini, mahu memastikan, bahawa Umno akan musnah, seperti musnahnya Usno selepas ketiadaan Tun Mustpaha. Beliau tidak rela Umno akan terus wujud sepeninggalan beliau.

Berasaskan senario semasa, kehadiran Umno hanya di atas kertas. Keadaan itu berlaku, bukan sahaja tindakan Tun Dr Mahathir secara berterusan, akan tetapi juga dibantu oleh para pemimpin Umno sendiri, kecuali pemimpin Umno yang tidak dikehendaki dalam PPBM.

Datuk Hishamuddin yang dikenali dengan mencium keris semasa Ketua Pemuda, adalah pemimpin pertama yang hilang semangat, selepas PRU-14. Kini, MP Semberong itu, dikatakan mempengaruhi para MP Umno secara enblok menyertai PPBM. Kenyataan beliau, berkaitan kesanggupannya membawa Jho Low balik ke Malaysia, adalah indikasi, bahawa beliau sanggup bertindak apa sahaja untuk memastikan Umno terkubur.

Di Sabah pula, Umno yang dikenali sebagai Umno Sabah, hanya membawa nama Umno sahaja, namun semangat parti itu yang mula bertapak di negeri di bawah bayu itu atas permintaan Tun Mustpaha bagi mengambil alih peranan parti Usno, hanya kenangan, apabila para pemimpin "umno Sabah" mahukan autonomi dalam erti kata, tidak lagi terikat dengan Umno Induk.

Apa kah senario yang sedang berlaku akan mendorong Umno wujud di atas kertas sahaja dan seterusnya pada PRU-15 akan terkubur selamanya? Keadaan ini hanya dapat diautakan oleh para pejuang parti.. kata peribahasa.. patah tumbuh hilang berganti. Para pemimpin yang bakal bersama parti, dengan semangat luar biasa, pasti dapat menidakkan tindakan Tun Dr Mahathir dan para pemimpin yang dikira intan, rupanya hanya kaca.

No comments:

Blog Archive