Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyendir beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat yang bercita-cita ingin menguasai Putrajaya jika berjaya mendapat dua pertiga majoriti parlimen pada pilihan raya umum akan datang.
Antara pemimpin yang menjadi mangsa sindirannya adalah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh DAP Lim Kit Siang.
Berucap dalam majlis Perhimpunan Selamatkan Selangor hari ini, tanpa menyebut nama Anwar, Dr Mahathir menyindir pemimpin PKR itu yang bercita-cita ingin menjadi perdana menteri dan bukannya untuk memajukan negara ini.
"Sepatutnya negara kita ada 100 perdana menteri. Kita boleh beri satu jawatan kepada dia. Kalau di Putrajaya, kita boleh beri dia satu bilik untuk dia.
"Dia boleh jadi PM, sebab beliau minat sangat jadi PM. Dia bukan mahu menjadikan negara kita maju," katanya berseloroh diringi sorakan hadirin.
Berucap di hadapan kira-kira 3,000 hadirin di Shah Alam, Dr Mahathir turut menyindir Nik Aziz yang didakwanya bukan sebagai 'tok guru' tetapi 'pemimpin politik yang mahukan kuasa'.
'Nik Aziz, awak dah nyanyuk'
Mahathir turut mendakwa Nik Aziz sebagai 'nyanyuk' kerana didakwanya bercakap "haru-biru dan tanpa asas agama termasuk dakwaan memecah-belahkan umat Islam".
"Dah kata kepada semua orang, dia kata, kalau saya berhenti, dia akan berhenti. Tapi saya berhenti, dia tak berhenti. Dia nak bertanding lagi. Sudahlah, awak tu dah nyanyuk. Cakap haru-biru.
"Tidak ada asas agama sama sekali. Ini bukan tok guru, ini orang mengutamakan diri, tamak dan yang suka memecahbelahkan orang Islam," katanya sambil menambah sebaliknya ajaran Islam adalah menganjurkan persaudaraan dalam Islam.
Dr Mahathir menempelak dakwaan terhadap Umno bahawa anggotanya menjadi kafir, sembahyang dua imam, ditanam mayat dengan kubur berasingan dan menceraikan isteri yang menjadi ahli Umno.
"Daripada mana datangnya ajaran ini, Apakah datang daripada Islam atau datang daripada keingingan Nik Aziz nak jadi perdana menteri?
"Tapi sekarang ini diberikan kepada Anwar. Tapi Hadi pun teringin juga," sindir Dr Mahathir sambil diiringi dengan gelak ketawa hadirin.
Bakar semangat kecinaan
Sambil berseloroh Dr Mahathir berkata beliau mengakui beliau 'tersilap' kerana membina pejabat perdana menteri di Putrajaya "cantik sangat".
"Dulu nak lelong Putrajaya. Kalau kami menang, kami akan lelong Putrajaya. Sekarang ni hendak sangat pergi ke Putrajaya... Lelonglah, awat tak lelong.
"Cakap berlainan... Macam mana kita bagi bilik dekat Anwar Ibrahim. Kita juga boleh beri satu kerusi kepada Nik Aziz atau Hadi.
"Boleh duduk situ...(Duduk) asing-asing. Dalam bilik yang tebal. Orang ni kuat tau. Sebab tu kena ada dinding yang tebal," kata Dr Mahathir berseloroh yang diiringi dengan sorakan daripada hadirin.
Dr Mahathir juga membidas ahli parlimen Ipoh Timur yang didakwanya enggan bersara sepertinya, dan memberi peluang kepada muka baru untuk membuat perubahan.
"Sebab itu dia berpindah bertanding di kawasan Cina. Tak berani bertanding di kawasan Melayu. Sedangkan kita (BN) bertanding di semua kawasan.
"Mereka bergantung kepada orang Cina dan membakar semangat kecinaan rakyat Malaysia," dakwa Mahathir lagi.
No comments:
Post a Comment