Sunday, October 16, 2011

Perwakilan Gerakan minta Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berdepan Lim Guan Eng di P.43 Bagan

DEMI maruah parti, tiga perwakilan Gerakan menggesa presiden parti itu, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bertanding di P.43 Bagan, di Pulau Pinang pada PRU-13 akan datang.

Pada PRU-12 lalu, Dr Koh bertanding di P.46 Batu Kawan dan kalah kepada calon DAP P.Ramasamy A/L Palanisamy dengan majoriti 9,485. Dr Koh mendapat undi 13,582; manakala calon DAP itu mendapat 23,067 undi.

Sementara Lim Guan Eng bertanding di P.43 Bagan melawan calon BN Song Choy Leng. Setiausaha Agung DAP itu mendapat undi 33,748 sementara lawannya 11,678. Guan Eng menang dengan majoriti 22,070.

Diperingkat DUN pula, semua DUN di P.43 dimenangi calon DAP.

Disebabkan mahu menegakkan maruah parti, salah seorang perrwakilan dalam mesyuarat Gerakan ke-40 semalam, Teng Koh Keng-wakil Johor, berkata, kalah menang adalah soal lain; yang penting semangat keseluruhan ahli-ahli gerakan akan marak semula, apabila Presiden menentang Lim Guan Eng.

Gerakan telah memerintah kubu kuatnya Pulau Pinang selama hampir 39 tahun tetapi tumbang dalam pilihan raya umum lepas selepas ia kalah semua kerusi di negeri itu.

Perwakilan Kedah, Ngooi Ah Fatt juga bersetuju bahawa Koh harus kekal di Pulau Pinang jika beliau memilih untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Turut bersetuju ialah wakil Terengganu, Feng Swee Heng yang berkata terdapat perdebatan hangat sama ada Koh patut bertanding di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau secara berseloroh berkata nama Koh bermaksud "anak Jantan" dalam bahasa Melayu, bagi menangkis kritikan bahawa dr Koh tidak berani berdepan dengan musuh politiknya.

Bagaimanapun, perwakilan Pulau Pinang Lee Boon Tien mengingatkan hadirin "jika Koh boleh menang di Pulau Pinang, ia adalah baik, tetapi bagaimana jika beliau kalah?"

Bercakap pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu, Dr Koh berkata beliau mengambil maklum sentimen para perwakilan parti.

"Saya dengar apa yang mereka katakan, tetapi di mana saya akan bertanding, saya akan membuat pengumuman tidak lama lagi."

No comments:

Blog Archive