Monday, April 04, 2011

Murid sekolah agama berumur 7 tahun mati dipukul guru di Perlis

Semalam seorang murid sekolah agama rakyat mati di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar-Kedah dipercayai dipukul oleh seorang guru di asrama Sekolah Agama Rakyat di Jejawi, Perlis Khamis lalu.

Laporan Bernama Online menyebut, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, disahkan meninggal dunia pada pukul 8.50 pagi semalam.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 7 malam pada hari kejadian apabila seorang guru lelaki yang berumur 26 tahun dikatakan memukul kanak-kanak tersebut selama hampir dua jam sehingga dia pengsan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt Nashir Ya, berkata suspek yang juga Penyelia Asrama sekolah berkenaan telah ditahan pada pukul 10 malam semalam.

“Polis masih menunggu laporan bedah siasat dan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ibu angkat mangsa, Hazirah Chin, 38, berkata sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, anak angkatnya yang tidak sedarkan diri itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada pukul 1.40 pagi Jumaat lalu.

“Saya dapat panggilan daripada seorang ustaz. Dia tanya sama ada Saiful ada penyakit tarik (sawan). Saya kata tak ada. Lepas tu dia kata dia nak datang ambil saya ke hospital sebab Saiful masuk hospital dan kena pindah ke hospital di Alor Setar,” katanya di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah.

Hazirah berkata dia dapat melihat kesan melecet pada pergelangan tangan mangsa selain kesan lebam di bahagian matanya.

“Saya diberitahu Saiful alami pendarahan di bahagian kepala. Pada mulanya doktor kata dia stabil tapi semalam (Sabtu) doktor beritahu dia sudah tak ada harapan untuk hidup,” katanya.

“Ketika mula-mula masuk asrama, arwah gembira sangat-sangat. Dia kerap balik sebab sekolah tak sampai satu kilometer dari rumah kami,” tambahnya.

Bapa kandung mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata anaknya dipelihara oleh keluarga angkat selepas isterinya meninggal dunia ketika Saiful Syazani baru berusia tiga tahun.

“Kali terakhir saya bertemu anak saya setahun lalu, sebab saya tinggal di Langkawi dan baru berpindah ke Jitra sebulan lalu,” katanya.

Saiful Sopfidee berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya pada pukul 8 pagi kelmarin bahawa Saiful Syazani dimasukkan ke hospital kerana dipukul orang.

Selepas melihat keadaan anaknya akibat dipukul, Saiful Sopfidee telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada petang kelmarin.

No comments:

Blog Archive