Thursday, February 10, 2011

Suami Zakiah Anas dinasihat lapaz cerai

PETALING JAYA: Kegagalan Jawatankuasa Pendamai untuk memujuk personaliti TV3, Zakiah Anas (gambar) dan suaminya, Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taib meneruskan kehidupan sebagai suami isteri menyebabkan Mahkamah Rendah Syariah di sini, memilih untuk menasihatkan lelaki itu supaya melepaskan ikatan perkahwinan tersebut.

Hakim Syarie Ghazali Ahmad berkata demikian dalam prosiding sebutan yang diadakan untuk mengetahui perkembangan jawatankuasa terbabit yang dianggotai oleh wakil kedua-dua pihak dan dipengerusikan oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ghazali berkata, beliau akan menasihatkan Mohamad Yusof, 49, untuk melafazkan talak terhadap Zakiah secara baik dengan persetujuan bersama iaitu mengikut peruntukkan Seksyen 47(14) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Bagaimanapun, perkara tersebut tidak dapat dilaksanakan pada Rabu, memandangkan Mohamad Yusof yang pernah bekerja dalam industri media tidak menghadiri prosiding mahkamah.

Ketidakhadiran itu membawa padah selepas Ghazali membenarkan permohonan peguam syarie Zakiah, Abdullah Anuar Sahri agar satu waran tangkap dikeluarkan terhadap lelaki tersebut.

Ghazali seterusnya menetapkan kes itu disebut semula pada 9 Mac depan untuk Mohamad Yusof hadir ke mahkamah.

Zakiah yang pernah mengacarakan rancangan berbentuk kepolisan, 999, memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik pada Januari 2010, selepas menarik semula permohonan untuk bercerai secara taklik yang difailkan di Mahkamah Syariah Shah Alam, dekat sini pada 1 September 2009.

Ekoran permohonan tersebut, mahkamah memerintahkan pembentukan jawatankuasa pendamai dilakukan dan Zakiah diwakili oleh anak saudaranya, Affendi Yusof manakala Mohamad Yusof diwakili sepupunya, Md Hairi Mad Salleh.

Zakiah, 44, dan Mohamad Yusof mendirikan rumah tangga sejak 18 tahun lalu da hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang anak, Aiman Muzammil, 17, dan Amir Muzhaffar, 15.

No comments:

Blog Archive