Monday, November 15, 2010

Zaid sah keluar PKR-Penjelasannya 19 November ini

Bekas ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan hari ini beliau akan meninggalkan parti itu.

Teka-teki mengenai pengundurannya dari parti itu terjawab bila beliau membuat penjelasan menerusi blognya (http://www.zaiduntukrakyat.com).

Dalam pos terbarunya Zaid berkata, pengundurannya dari parti akan dianggap selesai, sebaik saja beliau menyerahkan surat rasmi kepada sekretariat parti.

"Saya merujuk kepada tajuk harian The Star hari ini. Adalah benar saya akan meninggalkan parti itu tetapi saya belum menyerahkan surat pengunduran rasmi dari parti.

"Semuanya akan dijelaskan menerusi siaran akhbar Jumaat ini, 19 November ini," katanya.

Akhbar itu melaporkan bahawa Zaid, yang telah menarik diri dari bertanding untuk jawatan timbalan presiden PKR, memutuskan untuk keluar parti, atas sebab beliau tidak dapat menerima perkembangan dalam parti itu akhir-akhir ini.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengumumkan pada 8 November bahawa beliau menarik diri dari bertanding untuk jawatan timbalan presiden PKR dan meletakkan semua jawatannya dalam parti.

Zaid berkata dalam blognya bahawa kepimpinan PKR tidak berusaha mengatasi manipulasi dan penyelewengan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung walaupun isu berkenaan telah beberapa kali ditimbulkan.

Sehari selepas pengumuman itu, Zaid mendesak Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan naib presiden Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan, kerana Zaid mendakwa kedua-dua mereka adalah punca segala masalah dalam parti.

No comments:

Blog Archive