Friday, May 14, 2010

Akhirnya Wee Choo Keong Keluar PKR Juga

Ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Cho Keong hari ini mengumum keluar dari PKR dan menjadi ahli Bebas.

Dalam sidang media yang diadakan secara tergesa-gesa di pusat khidmatnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Wee berkata tindakannya itu berkuat-kuasa hari ini.

Menurut Wee, beliau meninggalkan PKR kerana kecewa dengan cara parti itu dan kerajaan negeri Selangor dalam menangani skandal pasir menerusi Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Wee juga mengumumkan meletakkan semua jawatan partinya, termasuk ketua PKR Wilayah Persekutuan.

Sejak 21 April lalu, khabar angin yang bertiup kencang bahawa Wee adalah pemimpin PKR yang bakal melompat tetapi beliau enggan mengulas apabila diajukan soalan berkenaan.

Beliau tidak mengesahkan ura-ura itu mahupun menafikannya tetapi sebaliknya berkata wartawan lebih mengetahui perkara berkenaan.

“Anda tahu segala-galanya. Kenapa perlu bertanya lagi? Anda lebih mengetahui, mengapa tidak anda siarkan berita itu terlebih dahulu?” katanya.

Beliau juga menyerang media baru yang dilabelkannya sebagai tidak bertanggung-jawab.

“Saya akan hanya bercakap dengan media tertentu kerana sesetengah media adalah tidak bertangung-jawab,” katanya.

Menurut Wee sesetengah portal berita tidak boleh dipercayai kerana “mereka akan hanya memutar-belitkan kata-kata saya...mereka akan tukar B ke A dan A ke B”.

No comments:

Blog Archive