Wednesday, April 28, 2010

Trend Pembangkang: Apabila Kalah Maka Cipta Tuduhan: Kali Ini Beli Undi Pula

TREND di kalangan pemimpin pembangkang adalah menghamburkan tuduhan-tuduhan melulu setiap kali tewas pada mana-mana pilihan raya, mungkin ada benarnya.

Tetapi Barisan Nasional (BN) kena mengambil sikap bertenang dalam menerima ‘lontaran batu-batu’ itu daripada pembangkang.

Jangan diikut rentak dan gaya politik pembangkang yang tidak boleh terima kekalahan. Apabila tewas maka bermacam-macam cerita rekaan akan keluar. Inilah hakikat yang berlaku sekarang selepas Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, Ahad lalu.

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim menerima kekalahannya tetapi mendakwa sistem pilihan raya di negara ini tidak adil dan bersih. Beliau mendakwa, BN menang kerana membeli sokongan pengundi di kawasan itu.

Pemimpin pakatan pembangkang dakwa BN guna dana awam bagi memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen itu.

Tuduhan yang dilakukan oleh PKR itu adalah tidak berasas dan boleh mengelirukan rakyat. Kalau pemimpin-pemimpin BN berani seperti pemimpin pembangkang, mereka juga boleh mengambil tindakan saman atas dakwaan itu.

Tetapi kita percaya pemimpin BN tidak kalut hingga perlu ambil tindakan sedemikian.

Barangkali penjelasan Perdana Menteri sudah cukup menepis tuduhan itu. Apa yang dilakukan dalam kempen pilihan raya kecil itu, kerajaan tidak membeli undi tetapi menyelesaikan masalah sebenar rakyat yang tidak ditangani dalam sesuatu tempoh masa yang lama.

Ia adalah masalah besar yang dihadapi penduduk Hulu Selangor. Contohnya projek pembinaan persimpangan bertingkat dekat Sungai Buaya. orang ramai mahukan projek itu dan ia dilaksanakan oleh PLUS (PLUS Expressways Bhd), bukannya dana awam.

Tak cukup dengan penjelasan Datuk Seri Najib Tun Razak, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga ada pendedahannya.

Kita mungkin tertanya-tanya kenapa PKR mengagihkan wang RM200 selain barangan keperluan seperti beras kepada beberapa pengundi di kawasan berkenaan, kalau bukan beli undi namanya?

Kerajaan negeri juga melakukan pelbagai cara untuk menarik pengundi sehingga mengagihkan borang 5A iaitu borang untuk memohon tanah. Tetapi ada syaratnya, kalau PKR kalah, borang 5A akan ditarik balik dan tanah tidak akan diberikan kepada rakyat.

Kepada pemilik premis perniagaan yang tidak diduduki misalnya di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, kerajaan negeri dikatakan membuat keputusan mengecualikan bayaran cukai pintu.

Begitu banyak peruntukan kerajaan negeri diturunkan untuk menurap jalan, memberi bantuan kepada orang miskin dan juga menyampaikan cek-cek sumbangan kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Tidakkah ini juga ‘gula-gula’ untuk menarik sokongan pengundi. Inilah taktik dan strategi alih perhatian rakyat yang bijak dimainkan oleh PKR. Begitu bijak mereka menuduh BN membeli undi, sedangkan perbuatan itu yang dilakukan oleh mereka.

Bukankah itu semua merupakan satu sogokan? Nampaknya sekarang pakatan pembangkang kena menelan ludah sendiri. Janganlah sudah lempar batu, sembunyikan tangan.

No comments:

Blog Archive