Tuesday, December 15, 2009

Akhirnya Kita Terbangun: Semangat Sukarela Rupanya Perlu

Perkembangan dalam negara di akhir-akhir ini benar-benar memerlukan makna perpaduan. Ungkapan perpaduan perlu diamalkan bukan hanya sekadar retorik, impian indah dalam tulisan atau talk show di televisyen.

Apabila perpaduan semakin menipis dan terhakis dalam negara maka akan nampaklah defisit moral dan defisit empati di dalam masyarakat.

Hanya melalui kekuatan 'roh perpaduan' dapat kita lahirkan semangat patriotisme dan jiwa besar rakyat merdeka, sedang teras patriotisme pula adalah rasa keprihatinan mendalam di antara sesama warga.

Kita mestilah menyedari bahawa landasan demokrasi adalah berasaskan konsep empati, keprihatinan mendalam terhadap sesama kita dan bertindak secara bertanggungjawab.

Berdasarkan pemahaman dan kesedaran bahawa betapa perlunya kita memelihara kestabilan negara dan kemajuan generasi masa depan, maka sangat penting bagi kita menyediakan teladan yang cemerlang untuk dicontohi oleh anak cucu kita.

Prinsip kebebasan, keseimbangan dan keadilan mestilah dapat memberi nilai murni sejagat pada kehidupan kita.

Melalui konsep empati kita akan mampu dan merasai serta akan memahamikeadaan seseorang dari sudut kaca mata orang tersebut.

Justeru rasa empati sangat penting untuk disuburkan terutama di kalangan anak-anak kita. Kegagalan kita untuk mendidik rasa empati pada mereka akan melahirkan generasi yang tidak prihatin dan peduli pada orang lain kecuali diri sendiri. Ini akan melahirkan pula kerajaan atau penguasa masa depan yang tidak peduli rakyat jelata.

Atas kesedaran ini DS Najib telah memberi jaminan bahawa kepimpinannya akan memikul tanggungjawab amanah (moral mission) untuk:-

i. Melindungi rakyat jelata (protection).

ii. Memberi peranan dan tanggungjawab (empowerment) pada rakyat jelata.

iii. Meluhurkan etika kecemerlangan di kalangan rakyat. Pemberdayaan kerajaan (government empowerment) dalam bentuk kemudahan infrastruktur, pembangunan fizikal seperti jalan raya, jambatan dan lain-lain serta pembangunan mental dan rohani seperti pendidikan di sekolah dan di masjid serta institusi pendidikan lain adalah penting untuk kesejahteraan rakyat.

Melindungi rakyat daripada jenayah, kemiskinan, kejahilan dan dari segala penyakit sosial juga adalah misi moral kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.Rasa peduli atau prihatin amat penting untuk melahirkan rasa kasih sayang sesama sendiri.

Oleh itu menyuburkan semangat kesukarelaan (volunteerism) dalam setiap profesion dan di kalangan kita akan menimbulkan rasa kebersamaan (esprit de corps) yang kukuh dalam perpaduan bangsa yang kita kehendaki.

Antara isu yang mesti kita tekankan:

i. Kita perlu pada amalan sukarela (volunteer) bagi mengukur patriotisme rakyat.

ii. Kita perlu pada amalan sukarela untuk membentuk kehidupan rakyat.

iii. Kita perlu ada amalan sukarela sebagai komitmen kita kepada negara, bangsa dan agama. Kita juga akui bahawa memang terdapat hambatan dan had kepada kerajaan bagi memberdayakan dan melindungi rakyat, namun kita yakin bahawa semangat kesukarelawan inilah yang nantinya akan menyempurnakan peranan kerajaan demi manfaat kepada rakyat.

Kesukarelawan sebenarnya adalah suatu semboyan atau bentuk panggilan demi berkhidmat untuk negara. Tidak syak lagi ini dapat dilakukan di bidang pendidikan dan pembelajaran, perlindungan kesihatan, membendung penyakit yang menjalar, jenayah, fenomena keruntuhan moral dan lain-lain.

DS Najib merasakan bahwa sudah sampai masanya kita suburkan semangat kesukarelawan dan kita buka peluang seluasnya untuk rakyat turut ikut serta dalam mengamalkan usaha-usaha baik ini.

DS Najib yakin dengan misi tersebut yakni tanggungjawab moral kerajaan dan digabung pula dengan semangat kesukarelawan rakyat maka kita akan dapat mencipta nilai bangsa yang gilang-gemilang dan membangun tamadun kemanusiaan yang disegani.

Sering juga diperkatakan orang bahawa kesejahteraan hidup akan bertambah baik jika pendidikan, kesihatan, lingkungan serta pendapatan rakyat semakin baik.

Jika ini berlaku, bermakna amanah (trust) telah terlaksana, tanggungjawab sosial (social responsibility) telah berjaya merentasi tanggungjawab individu (individual responsibility).

Inilah semangat dan arah yang ingin DS Najib jadikan pedoman untuk perpaduan negara melalui nilai-nilai yang murni. Inilah gagasan 1Malaysia yang cuba kita jadikan satu kenyataan bahawa hanya dengan perpaduanlah maka kita mampu cipta keamanan dan kestabilan.

Namun bagi DS Najib, beliau sangat sedar bahawa rakyat terpaksa berhadapan dengan kegawatan pemikiran yang bersimpang-siur kerana terlalu banyak pembohongan, kepalsuan, fitnah, pengkhianatan, keruntuhan adap sopan dek lantaran salah guna kebebasan, mengkhianati tanggungjawab dan salah guna hak sehingga mengorbankan nilai luhur kemanusiaan dan kewarganegaraan yang baik.

Akibatnya keharmonian sosial tergugat, kestabilan negara terancam, kesejahteraan hidup menurun. Malah kesan daripadanya timbul pula berbagai kegelisahan yang meruncing yang sebenarnya tidak patut berlaku.

Atas pemahaman inilah timbul pernyataan seperti "In the cultural war the battle field is in the brain." Di era ini adalah penting untuk kita memiliki kemahiran berfikir, bertutur dan bertindak (think, talk and act).

Amalan demokrasi yang 'juling' pada hari ini kian menjadi bahaya jika berakar pada sikap kegelojohan merebut wang, kuasa dan tempat dalam struktur sosial malah fakta sejarah sanggup diselewengkan.

Semua kegelojohan dan kegawatan ini adalah bersumber dalam otak dan pemikiran manusia-manusia atau kelompok manusia yang rakus dan tidak bertanggungjawab.

Sebenarnya kita sebagai rakyat tidak hanya menghadapi dilema dalam jurang kebendaan atau sentimen suku kaum atau agama atau siapa yang menguasai kuasa, tetapi paling teruk kita tenggelam dalam jurang pemikiran (Brain Divide).

Dari pandangan sains kognitif, tingkah laku kita ditentukan oleh pemikiran bawah sedar (subconscious). Kita terlalu dipengaruhi oleh saduran kepalsuan maklumat yang tersimpan dalam pemikiran bawah sedar (deep narrative frames) yang dibuat secara berulang kali, merasuk kita sehingga terjadi banyak sekali kepalsuan yang telah dianggap sebagai kebenaran!

Sebagai alasan rapuh kita sendiri katakan bahawa amat sukar untuk mengurus persepsi orang lain walhal kitalah yang membentuk persepsi buruk dan dihidang pula kepada masyarakat.

Sebab itulah peranan penulis apakah penulis blog, wartawan, penulis buku, pakar motivasi , para pembicara agama dan sebagainya sangat penting dalam membimbing pemikiran khalayak ramai (massa).

Apabila MEDIA disalahgunakan untuk menyebar maklumat yang merosakkan (wrong narrative) nilai-nilai murni yang sebutkan di atas, maka akan berlakulah gejala-gejala yang tidak diingini.

No comments:

Blog Archive