Friday, November 20, 2009

Nizar News: Santapan JUMAAT: 7 Kekuatan Membangun

SEORANG ulama terkenal, Sayyid Sabiq menyatakan, terdapat tujuh kekuatan yang perlu ada pada setiap orang Islam jika ingin membangun.

Kekuatan pertama ialah akidah yang merangkumi keimanan mutlak kepada Allah SWT. Kedua, kekuatan ilmu iaitu yang merupakan penegak peribadi manusia, penyingkap hakikat kewujudan sesuatu benda atau perkara di alam nyata. Ketiga, kekuatan budi pekerti iaitu dengan cara menyucikan jiwa sehingga dapat berkembang di jalan yang lurus menuju kemuliaan dan keluhuran rohani.

Keempat, kekuatan ekonomi iaitu memperoleh kekayaan, kemakmuran bumi, memperkembangkan kekuatan alam dan mengambil kemanfaatan daripada sumber alam. Kelima, kekuatan ikatan masyarakat iaitu menggerakkan masyarakat atas dasar kemerdekaan, keadilan dan kesamarataan. Juga mengikut asas-asas syariat Islam, bekerja kuat, pergaulan yang baik dan undang-undang yang jujur menuju kebahagiaan.

Keenam, kekuatan susunan perdamaian iaitu melaksanakan perdamaian umum yang berteraskan kepada hormat-menghormati antara sesama manusia, menjamin hak manusia dan melindungi semua perjanjian. Yang terakhir pula iaitu ketujuh, kekuatan jihad iaitu memberi pengorbanan nyata demi membela hak, memperoleh kehidupan yang merdeka dan memperoleh kehidupan manusia.

Asas-asas kekuatan yang digariskan oleh Sayyid Sabiq itu bersesuaian dengan pandangan Imam al-Ghazali bahawa pembangunan insan harus menekankan peningkatan dua perkara penting. Iaitu kekuatan intelektual dan kekuatan taharah (penyucian).

Berlandaskan kekuatan di atas, dapat difahami bahawa agenda pembangunan merupakan satu proses berterusan. Kerana ia terikat dengan kehidupan manusia sejak dijadikan sehinggalah kehidupannya di hari akhirat. Ini kerana pembangunan atau kehidupan di dunia merupakan alat untuk mendapat keredaan Allah (mardatillah) sebagai ganjaran kebahagiaan kehidupan di akhirat kelak.

Pembangunan insan dalam konteks Islam membawa manusia ke arah satu tamadun yang seimbang iaitu tamadun yang mementingkan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Umumnya, matlamat-matlamat pembangunan dalam Islam boleh dilihat dalam beberapa konteks di bawah.

Pembangunan peribadi dan keupayaan manusia tercetus apabila seseorang itu patuh sepenuhnya kepada ajaran Islam dan menjadikan Islam sebagai pegangan hidup. Ini kerana Islam mengajar manusia ke arah membentuk watak dan sikap yang betul menerusi pendidikan, kepimpinan dan sebagainya yang berdasarkan nilai-nilai Islam.

Sumber pengeluaran berguna dan bermanfaat yang dimaksudkan dalam Islam adalah makanan dan benda-benda asasi yang lain. Juga keluaran untuk pertahanan Islam dan barang-barang untuk kegunaan sendiri.

Satu perkara yang dititikberatkan oleh Islam terhadap bahan keluaran yang dihasilkan itu ialah ia mesti mampu dibeli oleh orang-orang miskin dan berpendapatan rendah. Bersesuaian dengan firman Allah SWT menerusi surah Fussilat ayat 7.

Islam mementingkan kesejahteraan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial mahupun politik. Kesejahteraan ini adalah gambaran kualiti kehidupan umat Islam.

Kualiti kehidupan yang dimaksudkan boleh dicapai dengan tiga cara. Iaitu mewujudkan peluang pekerjaan; mewujudkan jaminan sosial secara meluas khususnya kepada golongan yang tidak dan kurang berupaya contohnya melalui pengagihan zakat.

Juga pengagihan pendapatan dan harta wajib dilakukan secara adil supaya boleh merapatkan jurang ketidaksamaan di kalangan masyarakat. Islam juga mementingkan pembangunan teknologi. Teknologi yang ingin dibangunkan mestilah sesuai dengan persekitaran tempatan iaitu selari dengan keperluan atau aspirasi negara Islam.

Islam menggalakkan reka cipta, memperbaiki, dan mengubahsuai teknologi yang ada kepada teknologi yang lebih canggih. Jelaslah bahawa agama Islam melarang sebarang pembangunan yang mendatangkan kesusahan kepada manusia.

Pembangunan jenis ini sebenarnya berasaskan kepada kuasa dan kebendaan semata-mata. Pembangunan sedemikian termasuklah yang memberi kezaliman kepada manusia, mengancam kesejahteraan sejagat dan menjadikan manusia lupa tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.

Oleh itu, setiap pembangunan mestilah mendatang manfaat kepada kehidupan manusia. Kejadian manusia sebagai khalifah di muka bumi dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan mentadbir urusan dunia demi kebahagiaan kehidupan di dunia dan akhirat.

Dalam konteks yang lebih besar, manusia merupakan agen perubah yang dinamik dan progresif. Ini kerana kejadian manusia itu pada dasarnya adalah baik, tetapi kerana dorongan nafsu dan bisikan syaitan, manusia disesatkan sehingga pembangunan dilihat daripada aspek keduniaan semata-mata.

Hakikat ini difirmankan Allah SWT menerusi surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud: ''Telah timbul berbagai kerosakan dan bala' bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat),''.

Dalam erti kata lain, kehidupan manusia di muka bumi ini berasaskan kepada elemen perhubungan yang penting. Sekiranya elemen perhubungan itu diamalkan dengan sebaik-baiknya, manusia akan dapat menunaikan tanggungjawabnya dan memberi manfaat dan kebahagiaan.

Hubungan yang dimaksudkan itu ialah hubungan di antara Allah SWT dan manusia (hablul minallah) yang terjalin menyatakan bahawa manusia adalah hamba Allah SWT. Pada masa sama manusia ialah khalifah dan penguasa di muka bumi dalam konteks perhubungan sesama makhluk dan ciptaan tuhan yang lain (hablul minnas).

Inilah konsep yang sering dipinggirkan dalam memahami konsep pembangunan. Pembangunan dalam konteks Barat hanya dikaitkan kepada urusan duniawi semata-mata. Walhal kita mengetahui hakikat yang mana manusia sebagai agen perubah dalam masyarakat, mempunyai pertalian atau perhubungan rapat dengan penciptaNya.

Allah SWT sebagai Maha Pencipta meletakkan amanah kepada setiap manusia di muka bumi ini untuk membuat kebaikan dan menghindarkan kemungkaran.

Sebagaimana firman Allah SWT menerusi surah al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud: ''Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persedian yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan".)

Setiap negara mengimpikan pembangunan yang menjamin keadilan dan kesejahteraan hidup. Keagungan dunia Islam suatu ketika dulu musnah apabila umat meminggirkan hubungan mereka dengan Allah SWT dan sesama manusia. Kemusnahan ini disebabkan oleh kerakusan manusia yang terlampau mengejar pembangunan dunia sehingga melupakan pembangunan akhirat.

Oleh itu, setiap dasar pembangunan yang hendak dibuat haruslah dimulai dengan kekuatan akidah, intelek, dan kemasyarakatan. Apabila ini berlaku maka kesan pembangunan yang diambil akan mendatangkan manfaat dan kesejahteraan kepada manusia itu sendiri.

No comments:

Blog Archive