Sunday, September 13, 2009

Inkues Kematian Teoh Beng Hock: T.Sivanesan Alibi Kuat Gobind kaitkan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendapatkan pandangan pakar dalam usaha menentukan kesan ‘lebam’ pada perut saksi ke-20 inkues, T. Sivanesan seperti ditunjukkan dalam gambar, benar-benar akibat kecederaan.

Peguam Datuk Abdul Razak Musa yang mewakili SPRM pada prosiding inkues siasatan kematian Teoh Beng Hock memberitahu Mahkamah Koroner hari ini, pihaknya khuatir lebam yang didakwa Sivanesan hanyalah warna ubat yang disapu sebelum dia pergi ke kedai untuk mengambil gambar.

Selain ketiadaan gambar asal, laporan perubatan untuk mengesahkan kesahihan kecederaan dialami Sivanesan juga belum diperoleh SPRM untuk dijadikan asas dan panduan menyoal saksi berkenaan.

Sehubungan itu, Abdul Razak yang sepatutnya menyoal balas Sivanesan hari ini memohon supaya prosiding inkues tersebut ditangguhkan.

Permohonan Abdul Razak bagaimanapun dibantah oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga mendiang Setiausaha Politik Exco Selangor itu. Kata Gobind, gambar-gambar ‘kecederaan’ yang dikemukakannya merupakan salinan yang dicetak daripada gambar asal yang tulen. Beliau turut membantah permohonan Abdul Razak supaya inkues ditangguhkan memandangkan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang bersidang di Petaling Jaya semalam memerintahkan prosiding hari ini diteruskan seperti biasa.

Koroner Azmil Muntapha Abas yang membenarkan permohonan Abdul Razak kemudian menangguhkan inkues sehingga 17 September ini. Menurut Azmil, penangguhan itu dibuat untuk memberi peluang kepada SPRM mendapatkan salinan gambar asal dan laporan perubatan yang diperlukan bukan sahaja untuk peguam bahkan bagi kegunaan mahkamah.

Terdahulunya, Abdul Razak memaklumkan, pihaknya telah memfailkan notis rayuan dan sijil perakuan segera di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Yeoh Wee Siam yang menolak permohonan semakannya semalam.

Wee Siam memutuskan, Azmil tidak terkhilaf ketika membenarkan Sivanesan memberi keterangan sebagai saksi dalam inkues tersebut.

Mahkamah Tinggi mendengar permohonan semakan itu setelah SPRM tidak berpuas hati dengan keputusan koroner bahawa keterangan Sivanesan adalah relevan kepada inkues tersebut.

Inkues tersebut diadakan berikutan kematian Beng Hock, 30, yang mayatnya ditemui pada pukul 1.30 petang, 16 Julai lalu di Plaza Masalam, telah menimbulkan banyak persoalan. Ini kerana beberapa jam sebelum itu, mendiang baru selesai ditemu duga di ibu pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 plaza itu sebagai saksi berhubung dakwaan penyalahgunaan wang kerajaan negeri melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

No comments:

Blog Archive