Friday, May 15, 2009

Pemansuhan ekuiti Bumiputera: Satu lagi dilema Bangsa Melayu

Bumiputera atau kaum Melayu yang secara keseluruhannya masih ketinggalan dalam bidang ekonomi tiada kekuatan untuk menahan desakan kaum lain yang mahukan ekuiti 30 peratus dimansuhkan segera.

Pemimpin Negara yang kebetulan kaum Melayu menghadapi tekanan yang kuat untuk memenangi semula kepercayaan kaum lain dan terpaksa mengambil tindakan yang popular walaupun mendatangkan risiko kepada bangsanya.

Keputusan memansuhkan syarat khas ini dibuat kerana orang Melayu atau bumiputera sudah berpecah-belah dan menyebabkan kuasa politiknya telah terhakis.

Desakan kaum bukan melayu dan petualang melayu, malah termasuk orang asing yang mengisyaratkan bahawa syarat khas ini telah membantut perkembangan ekonomi dan menghalang negara daripada maju ke hadapan.

Pengumuman Datuk Najib bahawa pihak kerajaan meliberalisasi 27 subsektor perkhidmatan (lebih tepat pemansuhan syarat pegangan 30 peratus ekuiti Bumiputera) disambut baik oleh akhbar, terutama media cetak bukan bahasa Melayu, seolah-olah kerajaan telah melakukan yang terbaik kepada negara. Manakala para pemimpin bukan melayupun yang ada bersama-sama kerajaan menyambut baik tindakan ini.

Sambutan ini mengambarkan seolah-olah syarat istimewa ini yang menjadi asas kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak itu tidak memberi sebarang kebaikan kepada rakyat dan negara. Usaha Tun Abdul Razak itu- seolah-olah telah membawa malapetaka kepada negara.

Apabila syarat ekuiti ini dimansuhkan, adakah kita yakin kaum lain dan juga bangsa asing yang mempunyai tradisi berniaga yang jitu dan jaringan yang mantap akan berkongsi pengalaman dan peluang perniagaan dengan bangsa Melayu?

Adalah menghairankan kerana sebelum ini semua pihak dikatakan bersetuju bahawa inisiatif yang dianjurkan oleh DEB itu adalah perlu bagi mengagihkan kekayaan negara supaya dinikmati secara adil oleh semua kaum demi perpaduan rakyat di negara ini.

Mereka dikatakan cuma tidak berpuas hati kerana dasar tersebut telah disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan. Jika itulah pendirian ikhlas semua kaum, kenapa pula perlu dimansuhkan syarat ekuiti tersebut sekarang?

Adalah dikhuatirkan dengan sikap pihak tertentu, setelah berjaya mendesak pemansuhan kuota Bumiputera, mereka akan menggandakan tekanan kepada kerajaan untuk terus meliberalisasi bukan sekadar sektor ekonomi tetapi juga semua aspek kehidupan termasuk bidang pendidikan, pertahanan dan agama.

Perkara ini tidak mustahil kerana telah kedengaran suara-suara sumbang berupa tuntutan untuk memenuhi matlamat tersebut.

Walaupun secara rasional dan mengambil kira dan memahami bahawa negara ini perlu mematuhi syarat keahlian dalam Komuniti Ekonomi ASEAN, Pertubuhan Perdagangan Dunia dan tidak boleh lari daripada persaingan dalam era globalisasi dan pasaran terbuka sekarang, adalah diperkirakan bahawa pemansuhan syarat ekuiti tersebut akan membawa lebih banyak kesan kepada bangsa Melayu sekarang.

Bukankah lebih baik pihak yang bertanggungjawab memperbetulkan kesilapan lepas dan mengambil tindakan yang pragmatik termasuk memberi fokus kepada pemantauan yang rapi bagi memastikan kuota 30 peratus Bumiputera itu tercapai?

Bagi mengatasi keadaan ini, orang Melayu wajar bersatu semula sebagai satu bangsa yang teguh dan berjuang secara ikhlas dengan berpaksikan agama Islam.

Bangsa Melayu menjadi lemah kerana terdapat ramai yang tamak serta malas bekerja dan rela menjadi sleeping partner sahaja. Tindakan mereka yang mengaibkan itu telah menyebabkan orang Melayu gagal memenuhi aspirasi DEB walaupun ia sudah dilaksanakan hampir 40 tahun.

Sewajarnya golongan yang mengkhianati bangsa ini dihukum agar mereka insaf atas kesalahan yang dilakukan. Bagaimanapun, bukan semua orang Melayu perlu dipersalahkan kerana kesilapan golongan tersebut.

Adakah orang Melayu yang masih kekurangan dalam segenap aspek perniagaan terutama keperluan untuk mengadakan modal kewangan, mampu bersaing diatas gelanggang dengan bangsa lain?

Orang melayu bukan takut pada bayang-bayang atau menolak perubahan tetapi orang melayu atau bumiputera perlu realistik mengenai kekuatan diri dalam keadaan semasa. Janganlah terbuai oleh kata-kata manis dan janji kosong oleh pihak yang berkepentingan tanpa menganalisisnya dengan terperinci.

Pengalaman silam telah mengajar orang Melayu supaya sentiasa berhati-hati, bekerja keras, bersatu padu dan memberi perhatian khas kepada pendidikan generasi muda agar kita menjadi satu bangsa yang bermaruah dan dihormati.

Diharapkan para pemimpin negara akan mengkaji dengan sehalus-halusnya keputusan mengenai ekuiti ini dan melaksanakan inisiatif-inisiatif lain yang lebih konkrit agar orang Melayu tidak terus ketinggalan di tanah airnya sendiri.

No comments:

Blog Archive