Saturday, May 16, 2009

Kuasa Media Alternatif

Semalam saya sempat simbang-simbang dengan pemuda Kg Rampayan Ulu Kota Belud. Topik dan pokok simbang-simbang tidak menentu, kadang mengarah kepada perkembangan politik, kadang beralih kepada perkara-perkara pembangunan, kadang bertukar kepada keinginan dan kecenderungan para pemuda. Manakala kedudukan pengangguran juga salah satu penekanaan dalam simbang-simbang itu.

Telah lama saya tidak bersimbang-simbang bersama pemuda, kalau pun saya ke kampung, biasanya bertemu dengan kawan-kawan sebaya atau yang lebih tua.

Lawatan kali ini, sengaja bertemu para pemuda. Kenapa pemuda? Apabila melihat keputusan PRU-12, saluran 3 peti undi- dimana sebahagian besar adalah pemuda dan pengundi-pengundi baru, secara umumnya memilih parti bukan barisan nasional.

Dalam simbang-simbang yang memakan waktu yang agak lama- sebab saya sempat menghabiskan tiga cangkir alicafe, walaupun dihirup secara santai sambil menikamti rokok yang mengiklankan punca penyakit kanser mulut, leher dan kelahiran bayi pra matang. Batangan rokok yang habis terbakar hampir 60 batang, bayangkan lamanya simbang-simbang itu.

Pemuda memang punya sifat agresif, mengeluarkan pendapat yang tiada basah basi, membuat kesimpulan yang tiada kompromi, membuat andaian yang sifatnya tergantung, keinginan memaparkan perkara-perkara pihak ketiga, dan berkenderungan dengan berita-berita sensasi.

Maklumat utama mereka, bukan lagi berpaksi kepada surat-surat khabar,kerana mereka tidakpun membeli atau membaca surat khabar. Bukan juga berpunca daripada berita-bertia TV, kerana mereka jarang menonton siaran berita.

Mereka hafal nama-nama bloger, mereka suka masuk halaman-halaman media alternatif. Mereka mengikuti secara on-line apa yang terjadi- misalnya kejadian kekecohan DUN Perak 7 Mei yang lalu. Mereka tidak lagi terikat dengan berita jam 8 TV3, berita TV1 atau berita TV Bernama, atau Awani. Mereka mengetahui berita langsung- hanya melalui klik. Terima kasih mereka kepada broadband yang tidak terhingga, kerana jangkauannya yang luarbiasa luas.

Sumber utama maklumat mereka adalah melalui media alternatif, melalui para bloger. Dalam simbang-simbang itu secara jelas pemikiran dan anutan mereka berpaksi kepada yang terbaca, apa yang ternampak, apa yang disaksikan.

Ingatan manusia biasanya berpaksi kepada“FIFO” First in first out, ertinya masukan pertamalah yang menjadi panutan. Mengubah fahaman kepada “LIFO” Last in first out, sukar diterima dan dicerna.

Media alternatif yang dimanafaatkan oleh pihak pembangkang maupun pro pembangkang seawal 1998 telah tersilap pandang dan tersilap menilai kekuatan media alternatif ini oleh kerajaan. Pihak penyokong kerajaan termasuk para pemimpin politiknya baik di peringkat nasional maupun peringkat negeri apa lagi daerah telah alfa dan tidak terfikirkan bahawa kekuatan media alternatif ini mempunyai impak dan dampak yang sangat berkesan kepada generasi celik ICT- yang umumnya dimiliki oleh kaum pemuda.

Pihak kerajaan maupun mereka-mereka yang pro kerajaan terlalu ketinggalan jauh dalam penggunaan media alternatif. Kalaupun ada diantara mereka yang memanafaatkan media alternatif ini, adalah mereka-mereka yang telah kedaluwarsa, kerana telah luput pendayagunaannya kepada kerajaan, seperti Datuk Ruhanie Ahmad (kuda kepang), A Kadir Jasin dan yang lain-lain, kemudian disusuli oleh Dr Mahathir melalui chedet.com, kemudian chedet. cc. Akibat ketinggalan dalam penggunaan media alternatif ini, pada suatu ketika dahulu ada ura-ura bahawa kerajaan Datuk Abdullah Ahmad Badawi akan mengharamkan penggunaan media ini, walaupun ura-ura itu tidak menjadi.

Ketua Penerangan UMNO yang baru dilantik Haji Ahmad Maslan, telah mengeluarkan kenyataan bahawa dalam usaha menarik semula rakyat, maka penggunaan media alternatif oleh pihak kerajaan akan ditingkatkan, pendapat beliau ini bagi menyokong ajakan Datuk Najib sebelum ini yang menginginkan wakil-wakil rakyat dan pemimpin-pemimpin barisan nasional digalakan menjadi bloger sebagai media dan saluran untuk menyampaikan pesanan kerajaan kepada rakyat jelata.

Tidak mengapa terlambat, tidak mengapa ketinggalan, yang penting perjalanan 1000 batu itu dipahami yang bermula daripada langkah pertama.

Sebagai “infant” dalam penggunaan media alternatif ini, kerajaan maupun pro kerajaan kenalah berlagak sebagai “infant” misalnya halaman blog 1malaysia.com. yang hanya dilancarkan April lalu.

Persaingan dalam penggunaan media alternatif ini dalam suasana sekarang memang sangat ketara. Fokus pelayar untuk sementara adalah kepada bloger-bloger dan halaman-halaman tertentu yang tersiar di alam maya yang mereka telah layari dan ikuti dari awal-awal lagi dan sebahagian besar mereka adalah peminat-peminat dan pengikut-pengikut, ertinya jenama para bloger dan halaman-halaman tertentu telah mendapat kedudukan dihati peminat dan pengikut masing-masing.

Rupanya peperangan mengguna media telah melanggar negara. Jika dahulu media konvesional menjadi rebutan maupun cemohan, mutakhir ini, media alternatif menjadi rebutan dan juga media yang tidak disenangi.

Suatu ketika mantan perdana menteri Dr Mahathir semasa masih berkuasa pernah melahirkan kebimbangannya terhadap kuasa media alternatif ini, kerana sifat . penggeraknya yang lebih licik, agresif, cerdik, pintar dan berkesan.

Parti politik Malaysia yang tidak mempunyai stesen televisyen kini beroperasi di alam maya menggunakan enjin yang tersedia ada. Ia beroperasi melalui tapak video percuma, YouTube atau Metacafe atau tapak-tapak yang lain. Klip video mengenai apa yang berlaku di merata dunia atau negara boleh disaksikan selari dengan Buletin Utama di TV3 atau Warta Perdana di RTM pada jam 8 malam. Siaran itu juga bukannya bisu, tapi dengan ulasan yang panas dan pedas.

Menonton -dengan penuh asyik. Mereka ini terdiri daripada eksekutif-eksekutif muda yang masih hang-up di pejabat-pejabat masing-masing sebelum pulang ke rumah, atau pun berada dalam zon Wi-Fi masing-masing. Mereka tertarik melihat sesuatu yang luar biasa. Bukan sesuatu yang menghairankan jika kumpulan ini akan menyambar notebook mereka dengan teruja apabila tercetus sesuatu ‘drama’ seperti di Perak bagi mendapatkan analisis dan klip video terkini. Oleh itu, tidak hairanlah, perangkaan orang yang melihat tapak-tapak sesawang ini (view) menjangkaui puluhan hingga ratusan ribu penonton.

Kumpulan yang memuat naik (upload) video-video ini ke tapak-tapak maya itu begitu agresif, dedikasi dan sistematik. Yang pasti mereka ini bekerja untuk organisasi-organisasi NGO atau parti-parti politik yang tidak sehaluan dengan kerajaan - yang tidak mempunyai saluran tapak yang sah untuk beroperasi. Yang pasti juga ulasan-ulasan mereka tidak mengambil kira soal etika atau keluhuran perlembagaan seperti yang ‘terpaksa’ diikuti media konvensional.

Peperangan merebut minda dan menyebar maklumat kini, tidak lagi boleh berpaksi kepada media konvensional, sebaliknya peranan menyebar maklumat terutama isu-isu politik telah diambil alih oleh media alternatif dan para bloger yang dianggap oleh sebahagian rakyat belum tercoreng, seperti TV3 atau media milik UMNO yang dianggap dari dahulu kala yang condong kepada barisan nasional.

No comments:

Blog Archive