Latest News

Apabila Merdeka Yang Tidak Merdeka

1. Dalam suasana menyambut Hari Kebangsaan, satu keadaan yang tidak dapat dinafikan yang masih berlaku dalam negara adalah kemerdekaan daripada segi kehidupan yang berkaitan dengan sara hidup.

2. Apabila pendapatan tidak cukup menampung sara hidup, pada keadaan itulah timbul pengertian, bahawa seseorang itu belum merdeka.

3. Sara hidup pada masa ini, bukan sahaja berlegar-legar pada sesuatu yang masuk ke mulut, akan tetapi juga turut mengaitkan apa yang meyelimuti tubuh badan, sesuatu yang dapat melindungi daripada panas terik atau hujan, sesuatu yang berkaitan dengan pengetahuan, malah sesuatu yang berkaitan dengan kemudahan, samada keperluan asas atau gaya hidup.

4. Rakyat yang berhadapan dengan keadaan demikian, bukan lah malas, seperti takrifan mudah bagi mereka yang bernasib baik, akan tetapi mereka yang tergolong dalam kumpulan demikian, tidak diberi peluang mendapatkan apa yang seharusnya mereka dapat, sesuai dengan usaha, tenaga serta fikiran yang mereka curahkan.

5. Sebagai contoh mudah, tanah lima ekar yang ditanami padi atau tanaman kontan, musnah kerana di landa banjir. 

6. Memangpun banjir itu merupakan fenomena alam, akan tetapi banjir yang berlaku itu bukanlah banjir kerana impak fenonema alam, akan tetapi akibat perbuatan manusia, kerana telah berdekad, tanah 5 ekar itulah sumber kehidupan si pulan itu. Kemusnahan yang disebabkan banjir itulah yang dikatakan menafikan pendapatan seseorang yang telah mencurahkan tenaga dan masa, serta pengorbanan, demi memenuhi keperluan kehidupan.

7. Pada keadaan demikian, bagi si pulan itu, suasana Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan, bukanlah hari yang perlu disambut dengan kesyukuran, akan tetapi hari yang disambut dengan kedukaan.

8. Contoh di atas adalah contoh kecil yang dihadapi sebahagian rakyat negara ini, khususnya mereka yang tinggal di luar bandar. 

9. Sementara para pemimpin bangga dengan mengibarkan bendera Jalur Gembilang di padang-padang sambutan, tidak sedikit rakyat sedang bergelut dengan keadaan yang tidak menjadikan mereka merdeka dalam negara yang merdeka.

10. Kemerdekaan, memang satu rahmat bagi setiap rakyat, kerana kemerdekaan membuka peluang bagi setiap rakyat mengisi dan mencatur negara yang dimiliki sesuai dengan keperluan yang diinginkan. Namun, terdapatnya golongan rakyat yang menafikan peluang rakyat lain, sehinggakan ada pihak yang teranaya.

11. Tindakan para peniaga menaikkan harga sesuka hati, sehinggakan menyebabkan pendapatan yang terhad terpaksa digunakan untuk mendapat keperluan harian. Selain itu, tarif keperluan asas seperti elektrik, jika dahulunya, bayaran purata berlegar-legar pada jumlah kurang daripada RM100, kini purata pada angka RM400, walaupun kadar penggunaan yang sama.

12. Memang secara makro, perekonomian negara dapat dibanggakan. Pertumbuhan negara pada suku pertama tahun 2017 adalah pada kadar 5.6%, kedua tertinggi di dunia selepas Negara China. Memang Devisa Negara telah melepasi angka USD100bilion (RM431bilion). Memang pendapatan perkapita negara telah meningkat, namun di lain pihak, peningkatan pendapatan perkapita itu tidak merata, sehinggakan kerajaan terpaksa mengolongkan rakyat, ada yang berada pada kumpulan B40 dan M40. 

13. Memang kerajaan bersimpati pada golongan B40 dengan memberikan berbagai bantuan, termasuk BR1M dengan purata RM3.29 sehari untuk sebuah keluarga, di mana jumlah itu bersamaan dengan kos seorang banduan yang sedang menghuni penjara di berbagai penjara di negara ini.

14. Sesebuah kerajaan, memang dalam jangka masa panjang tiada kemampuan memberikan bantuan secara langsung dalam bentuk kewangan, namun kerajaan yang bijak, perlu mengutamakan pengadaan aktiviti ekonomi yang membuka peluang kepada rakyat mendapat pendapatan. 

15. Peluang ekonomi yang menyeluruh yang berbentuk penyediaan peluang kepada rakyat, sebenarnya satu pendekatan yang jitu bagi mempraksa rakyat yang berada dalam negera merdeka untuk merasa erti kemerdekaan.

16. Sesebuah negara yang benar-benar menyediakan erti kemerdekaan kepada rakyatnya, apabila sebarang usaha rakyatnya, boleh menyumbang kepada pendapatan, tidak kiralah seseorang itu sebagai buruh, kakitangan awam, swasta, penulis, pelakon, penyanyi, nelayan , petani atau penoreh.

17. Kesenjangan pendapatan antara rakyatlah, yang mempengaruhi mereka dalam menentukan pilihan pada pesta demokrasi di negara ini. Sebab itu, setiap pilihan raya, seolah-olah wakil rakyat yang duduk di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, dibezakan oleh status rakyat yang menyebabkan mereka wakil rakyat. 

18. Wakil rakyat yang menyebelahi kerajaan ditentukan oleh mereka yang kurang bernasib baik, manakala mereka yang menentang kerajaan ditentukan oleh mereka yang mempunyai kelebihan. 

19. Mengapa demikian keadaannya, seolah-olah, rakyat yang mempunyai kelebihan cenderung menolak parti kerajaan? sebabnya, mereka yang menolak kerajaan telah menyedari, bahawa terdapatnya penafian peluang sama rata antara rakyat. Perasaan serupa ini, telah berakar umbi, dan terlalu sukar lagi untuk mengubahnya. 

20. Apabila perasaan seumpama ini berakar umbi, sebab itulah parti Bn, sukar menembus kawasan-kawasan sedemikian. Sebagai fakta, pada PRU-12 dan 13, kebanyakan kerusi yang dimenangi pembangkang tertumpu di kawasan-kawasan sedemikian, sehinggakan parti Bn kehilangan undi popular.

21. Sejauh mana perasaan rakyat bandar merebak di kawasan luar bandar? Keadaan inilah yang menjadi taruhan parti Barisan Nasional pada PRU-14. Pada PRU-14 nanti, apa kah parti Bn akan dihukum oleh rakyat yang berada dalam negara merdeka, akan tetapi tidak merasa merdeka? Fikir-Fikirkan Lah.

1 Response to "Apabila Merdeka Yang Tidak Merdeka"

Anonymous said...

Saya kira zaman 22 tahun yg lepas lagi susah kot. Waktu bekerja sebagai penoreh getah, pakai basikal atau berjalan kaki ke kebun. Jalan yg kecil, semak dan berlumpur. Apa pun banyak faktor yg mempengaruhi susah senang hidup seseorang. Antaranya ialah gaya hidup yg tidak mengukur baju di badan sendiri dan besar pasak dari tiang. Walaupun pendapatan tak seberapa ramai yg suka bergaya, berkereta, hp mahal dan canggih, beli barang berjenama, suka berpoya, ambil kad kredit dan macam2 lagi. Kalau hidup cara sederhana, berjimat, rajin menabung, tidak membazir, pendek kata sekiranya beringat seperti pantun 'berakit2 kehulu, berenang2 ketepian, bersakit2 dahulu, bersenang2 kemudian', inshallah tak susah sangat.

Blog Archive