Latest News

Mantan IGP Musa Hassan-Nafi Masuk PAS

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menafikan dengan keras khabar angin yang mengatakan beliau akan menyertai Pas atau mana-mana parti.

Malah beliau juga menegaskan, keputusannya menarik balik saman ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam tiada kaitan dengan khabar angin dan spekulasi kononnya akan menyertai parti politik pembangkang termasuk Pas.

“(Khabar angin) tidak ada kaitan dengan kes semalam,” kata beliau kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Ketika ditanya dakwaan dan spekulasi di laman siber bahawa beliau akan menyertai Pas, Musa yang bersara sebagai Ketua Polis Negara akhir 2010 berkata: “Itu tidak benar."

"Kalau cerita-cerita yang keluar di Internet tu, tahu sahajalah kebenarannya.

“Lagipun sama ada Pas ataupun Umno, tidak ada sesiapa pun yang datang berjumpa saya untuk menawarkan keahlian,” kata beliau lagi.

Semalam, Musa menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, berhubung siasatan insiden 'mata lebam' pada 1998.

Keputusan itu dicapai dan diputuskan di hadapan Hakim Datuk Asmabi Mohamad semasa prosiding hari pertama perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan memutuskan kes itu dibatalkan tanpa sebarang kos.

Musa menjelaskan, sejak mula berkhidmat sebagai anggota polis, beliau tidak pernah terlibat atau menyatakan sokongan terhadap mana-mana parti politik.

Ketika ditanya sama ada beliau akan menyertai Pas jika ada tawaran, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak boleh cakaplah tentang perkara di masa depan.

“Pada diri saya, saya bebas dan undi saya adalah rahsia jika ditanya tentang parti mana yang akan saya pilih pada pilihan raya,” kata beliau yang kini mengajar secara kontrak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

0 Response to "Mantan IGP Musa Hassan-Nafi Masuk PAS"

Blog Archive