Showing posts with label perkasa. Show all posts
Showing posts with label perkasa. Show all posts

Monday, November 29, 2010

Azizah-Azmin pelacur Politik: PERKASA

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini melabelkan presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai "pelacur politik" kerana mencadangkan konsep "ketuanan Melayu" wajar ditinggalkan.

Wira PERKASA Arman Azha Abu Hanifah juga berkata Dr Wan Azizah adalah pengkhianat sedangkan beliau dan juga timbalan presiden PKR yang baru dilantik, Azmin Ali adalah hasil yang diwujudkan dari konsep "ketuanan Melayu".

"Dr Azizah dan Azmin adalah hasil yang diwujudkan akibat kejayaan konsep itu yang juga telah banyak membantu orang Melayu,” katanya.

"Mereka seperti kacang lupakan kulit. Mereka ini seperti pelacur politik yang sanggup berbuat apa-apa sahaja demi mendapatkan sokongan orang India dan Cina,” katanya.

Arman juga menggesa Raja-raja Melayu supaya membuang daerah terhadap mana-mana pemimpin Melayu yang menyokong atau mencadangkan konsep ketuanan Melayu digantikan.

Ketuanan Melayu, katanya juga bermakna menjamin kedaulatan Raja-raja Melayu dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Wan Azizah menjatuhkan martabat raka-raja.

Arman juga memperbetulkan persepsi bahawa ketuanan Melayu tidak bermakna bangsa-bangsa lain menjadi subjek kepada orang Melayu.

“Apa yang kita mahu ialah supaya kontrak sosial dihormati dan tahu sejarah negara ini,” katanya.

Wan Azizah ketika menyampaikan ucapan dasar presiden dalam Kongres PKR, Sabtu lalu berkata konsep ketuanan Melayu wajib ditinggalkan kerana ia didakwa hanya slogan untuk memperdaya bangsa itu sendiri.

"Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri.

"Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi," katanya.
PERKASA - pelacur murahan

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin membalas bidasan PERKASA itu dengan melabelkan pertubuhan pelampau Melayu itu sebagai 'pelacur murahan' kerana menggadaikan maruah bangsa bersekongkol dengan Umno.

Menurut Shamsul yang dipetik oleh TV Selangor kenyataan PERKASA itu jelas menunjukkan kedangkalan pemikiran mereka.

"Kalau kedua-dua pemimpin PKR ini dilihat mereka sebagai pelacur politik, Saya kira PERKASA juga bakal digelar sebagai pelacur murahan kerana sanggup lacurkan bangsa sendiri demi kepentingan politik mereka.

“Perjuangan PERKASA ini ibarat tong kosong yang tidak mempunyai isi kerana gunakan istilah yang menunjukkan betapa dangkalnya pemikiran mereka bertujuan mencari publisiti murahan," kata Shamsul petang tadi.

Menurutnya, AMK bakal mengadakan beberapa siri 'dialog ilmiah' berbentuk dua hala dan intelektual bertujuan menerangkan hal itu kepada orang ramai khususnya masyarakat muda.

Shamsul yakin rakyat kini cukup matang untuk berfikir tanpa mengira batasan agama dan kaum.

Saturday, September 18, 2010

Perkasa bukan alat parti politik: Ibrahim Ali

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipimpinnya itu tidak terlibat dengan politik tetapi menyuarakan hak rakyat melalui lunas-lunas perlembagaan.

Beliau mengulangi kenyataan ini bahawa Perkasa bukan parti politik dan juga tidak mendokong mana-mana parti politik termasuk Umno tetapi berjuang atas lunas undang-undang bagi pertahankan hak rakyat.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini selepas menyampaikan taklimat kepada jentera petugas Perhimpunan Rakyat yang dijangka dihadiri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 25 September ini, katanya tafsiran pelbagai pihak terhadap perjuangan Perkasa adalah tidak tepat kalau dikaitkan dengan Umno atau Barisan Nasional (BN) tetapi apa yang diperjuangkan NGO itu adalah untuk membantu kaum Melayu.

"Ada masa kita tegur dia (kerajaan), ada masa kita kecam, ada juga kita buat laporan polis sekira perlu, semuanya ke arah menimbulkan keharmonian negara,"katanya.

Mengenai dakwaan anggota parti komponen BN bahawa Perkasa adalah pertubuhan yang disokong Umno, Ibrahim berkata pihaknya tidak pernah sekali pun bertemu dengan pemimpin Umno untuk apa-apa tujuan.

Beliau juga menegaskan belum bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti politik tetapi menumpukan perjuangan mempertahankan hak orang Melayu, raja-raja Melayu, agama Islam dan perlembagaan negara.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas melahirkan perasaan dukacita dengan teguran beberapa individu dalam Umno yang menganggap Perkasa boleh menjejaskan matlamat konsep 1Malaysia. -- BERNAMA

Wednesday, June 30, 2010

Perkasa Akhirnya Ada Akhbar Sendiri

Edisi sulung akhbar Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dilihat bermula 'garang' dengan tajuk muka depannya berjudul "Tahan Ka Siong bawah ISA: Didesak minta maaf atau letak jawatan".

Dengan terbitnya Suara Perkasa, hasrat NGO itu untuk memilik akhbar sendiri menjadi kenyataan apabila akhbar yang memfokuskan suara NGO Melayu itu akan berada dalam pasaran mulai esok.

Timbalan presiden PERKASA, Datuk Abdul Rahman A Bakar berkata akhbar bersaiz tabloid dua kali sebulan itu akan menjadi wadah bagi mengetengahkan masalah dan kepentingan Melayu selaras dengan matlamat perjuangan mereka.

"Ia bukan seperti akhbar politik," katanya dalam sidang media di pejabat akhbar itu di Danau Kota, Kuala Lumpur.

Buat permulaan sebanyak 25,000 dicetak dan diedarkan di seluruh Malaysia. Ia dijual dengan harga RM2 di semenanjung dan RM2.50 di Sabah dan Sarawak.

Sunday, May 02, 2010

Anti Melayu dan Bumiputra saja Kata Perkasa RASIS

Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi berkata adalah tidak adil untuk melabelkan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) sebagai sebuah pertubuhan yang rasis hanya kerana ia mempertahankan kedaulatan perlembagaan.

Katanya apa yang diperjuangkan pertubuhan itu bukanlah bertujuan untuk menjatuhkan atau 'mencuri' hak mana-mana pihak sebaliknya memperjuangkan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

"PERKASA bukan rasis...tidak ada rasis dalam kamus budaya orang Melayu, rasis hanya berlaku di barat kerana kita tidak pernah melakukan penghapusan etnik.

"Bila PERKASA mempertahankan ketuanan Melayu, ia sebenarnya soal megah bangsa, soal maju bangsa dan bangga bangsa," katanya semasa berucap melancarkan Tabung Pendidikan dan Kebajikan Jaguh Care di ibunegara malam tadi.

Penubuhan tabung tersebut oleh Kelab Jaguh bertujuan membantu penduduk Pasir Mas, Kelantan yang bermastautin di luar negeri itu, terutama dalam soal pendidikan dan kebajikan.

Puad yang juga timbalan menteri pelajaran berkata terdapat juga pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) lain yang mempertahankan dan memperjuangkan apa yang mereka kehendaki, namun tiada pihak yang melabelkan pertubuhan tersebut sebagai rasis.

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis pelancaran itu, Puad (foto) berkata tuduhan yang dilemparkan sesetengah pihak mengatakan Umno sebuah parti rasis sehingga menyebabkan peratusan pengundi Cina menurun dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor pada 25 April lalu, adalah tidak tepat.

Katanya keadaan itu berlaku kerana mereka lebih banyak terpengaruh dengan isu-isu perkauman yang banyak dibangkitkan oleh parti DAP.

"Barangkali kerana kekeliruan tersebut banyak pengundi Cina beralih kepada (calon) Parti Keadilan Rakyat (PKR), iaitu (Datuk) Zaid Ibrahim," katanya.

Thursday, April 29, 2010

Perkasa Bukan Ultra Melayu!: Presiden Perkasa

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali hari ini memfailkan saman terhadap akhbar berbahasa Inggeris The Sun, ketua pengarang dan wartawan yang didakwa menyiarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya dan Sultan Selangor.

Samannya itu difailkan oleh peguamnya, Datuk Salehudin Saidin di Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini.

Ditemui pemberita, Salahudin berkata anak guamnya menuntut gantirugi yang akan ditentukan mahkamah, permohonan maaf secara terbuka dan perintah injuksi bagi melarang pihak tersebut daripada terus menyiarkan berita seumpama itu.

Katanya, akhbar The Sun pada 17 Mac menyiarkan laporan yang didakwa berunsur fitnah bahawa Ibrahim dan PERKASA tidak mendapat perkenan Sultan Selangor bagi merasmikan mesyuarat agung NGO itu pada hujung bulan lalu.

"Tulisan itu juga menggambarkan anak guam saya chauvinis Melayu dan kuat perkauman," katanya.

Selain laporan berita itu, Ibrahim sebelum ini juga pernah mendakwa satu lagi laporan dalam akhbar yang sama, mendakwa Sultan Selangor telah menasihatkan presiden PERKASA itu supaya jangan bersikap melampau.

Dalam laporan tersebut, The Sun memetik sumber-sumber yang menyatakan bahawa Sultan Selangor, Tuanku Sharafuddin Idris Shah tidak komited sama ada baginda akan merasmikan AGM PERKASA selepas menerima mengadap Ibrahim selama 40 minit di Istana Mastika.

AGM PERKASA berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu dengan dirasmikan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

'PERKASA lebih semangat'

Sementara itu, Ibrahim yang hadir sama di Mahkamah Tinggi Shah Alam mendakwa akhbar berkenaan mungkin berniat jahat dengan menyiarkan laporan itu memandangkan tiada media lain yang melaporkan berita sebegitu.

Beliau juga mengesyaki terdapat pihak-pihak tertentu di belakang media terbabit yang mahu menggagalkan AGM PERKASA.

"Laporan itu amat serius kerana membabitkan Sultan Selangor dan nama baik PERKASA.

"Kita tak pernah pun bersifat perkauman dan ultra Melayu," katanya.

Ditanya tentang tindakan sesetengah media baru yang didakwa menggambarkan PERKASA sebagai perkauman, Ibrahim menegaskan pihaknya hanya memperjuangkan kepentingan Melayu berdasarkan ruang lingkup perlembagaan negara.

"Dong Ziong, suatu masa Su Qiu juga membuat pelbagai tuntutan kepada kerajaan. Tak ada siapa pula sebut mereka perkauman," katanya.

Justeru tambahnya, label yang diberikan kepada PERKASA tidak adil.

"'Kita tidak tertekan, bahkan kita jadi lebih bersemangat," katanya.

Beberapa pemimpin kanan PERKASA turut hadir menemani Ibrahim memfailkan tuntutan hari ini.

Friday, March 26, 2010

Perkasa Tetap Perkasa: Esok AGM Pertama

Mesyuarat agung tahunan pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) esok akan berlangsung penuh dengan adat istiadat Melayu termasuklah (membawa) sireh junjung dan pulut kuning.

Mesyuarat PERKASA esok di Dewan Tun Razak, PWTC mendapat perhatian banyak pihak ekoran populariti NGO pimpinan ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, yang melonjak dalam masa yang singkat.

Pertubuhan itu terkenal dengan kelantangannya mereka, antaranya apabila terlibat dalam demonstrasi membantah pentadbiran Lim Guan Eng di Pulau Pinang yang didakwa “meminggirkan Melayu” di negeri itu.

Esok sebelum ucapan dasar presiden, mesyuarat agung PERKASA itu akan turut diserikan dengan persembahan silat.

Kira-kira 200 orang  pesilat akan membuat persembahan silat sebelum acara bermula.

Mesyuarat sulung PERKASA - yang kini masih dalam penajaan - dijadual bermula dari jam 9 sehingga 5 petang, melibatkan sekurang-kurangnya 8,000 anggotanya di seluruh negara.

Mesyuata akan dimulakan dengan ucapan Ibrahim dan perasmian oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga jam 12.30 tengah hari.

Bermula jam 2 petang, sesi tertutup dan seterusnya akan memilih anggoata jawatankuasa yang baru.Sabah diwakili oleh Musli Oli sebagai YDP Perkasa Sabah.


Dalam Mesyuarat juga akan membincangkan empat usul berkaitan agama, keselamatan, ekonomi dan pendidikan.

Blog Archive