Showing posts with label Tengku Faris Kelantan dilucut. Show all posts
Showing posts with label Tengku Faris Kelantan dilucut. Show all posts

Friday, March 26, 2010

Kemelut Istana Kelantan Semakin Parah

Kemelut istana Kelantan terus meruncing apabila Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra mengumumkan Tengku Sri Utama Raja, Tengku Abdul Aziz Hamzah dilucutkan jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Perajaan Negeri (MPN) berkuat kuasa semalam, 25 Mac 2010.

Menurut perisytiharan yang dibacakan oleh Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Mohd Aiseri Alias hari ini berkata, Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Al-Haj dilantik sebagai Yang DiPertua MPN yang baru.

"Bagi menjunjung titah perintah Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra bahawa Yang Mulia Tengku Abdul Aziz Hamzah (Tengku Sri Utama Raja) dibatalkan perlantikan dan dilepaskan daripada menjadi Yang Di Pertua Majlis Perajaan Negeri berkuat kuasa 25 Mac 2010.

"Saya juga ingin memaklumkan Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra telah mengampuni perkenan dan melantik Yang Berhormat Mulia Tengku Abdul Halim Al-Haj (Tengku Laksamana Kelantan) sebagai Yang Dipertua Majlis Perajaan Negeri berkuat kuasa 25 Mac 2010," katanya sebentar tadi.

Pada sidang media sama beliau juga turut menjelaskan, majlis penganugerahan pingat kebesaran negeri pada 30 Mac ini tiada kaitan dengan sambutan hari keputeraan raja Kelantan.

Menjelas lanjut beliau berkata, ianya dibuat berdasarkan undang-undang tubuh negeri mengikut peruntukan perkara 43 (1).

Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud mengumumkan Sultan Kelantan melucutkan jawatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja dan diganti YDP MPN, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah.

Bagaimanapun Setiausaha MPN, Datuk Mohd Aiseri Alias semalam berkata, perlucutan kedudukan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhamad Faris Petra adalah tidak sah kerana didakwa tidak mewakli keputusan MPN.

Kata beliau, Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan Majlis Perajaan Negeri tidak akan menjadi sah dan terbatal melainkan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan itu.

Oleh itu, katanya, Tengku Faris kekal sebagai Pemangku Raja Kelantan.

Disebalik Perebutan Kuasa Kesultanan Kelantan

Apabila Sultan Kelantan jatuh gering tahun lepas dan terpaksa dirawat di Hospital Mount Elizabeth Hospital Singapura, maka majlis permesyuaratan negeri (MPN) terpaksa melantik pemangku raja, kerana ketiadaan Sultan.

Pada 24 Mei dengan undi 2/3 daripada MPN, maka anakanda baginda sultan Tengku Faris Petra dilantik memangku Sultan.

Selama kegeringan Sultan, pemangku Sultan kelihatan sangat akrab dengan kerajaan negeri pimpinan Nik Aziz Nik Mat.Namun ada juga yang pelik, walaupun kerajaan kelantan pimpinan Pas begitu akrab dengan Tengku Faris, namun tiada seorangpun pimpinan kerajaan negeri sudi melawat Tuanku Sultan semasa gering di Singapura. Perkara ini diakui sendiri oleh Raja Perempuan Kelantan.

Ekoran keberangkatan pulang baginda Sultan untuk tujuan mendekatkan diri dengan rakyat, berbagai spekulasi telah menyelubungi kesultanan Kelantan.

Kemelut ini berlaku apabila mantan setiausaha kerajaan negeri Datuk Wan Hashim Wan Daud "mengaku" sebagai setiausaha Sulit Sultan mengumumkan berbagai tindakan yang tidak seiringan dengan kerajaan negeri serta titah pemangku sultan.

Tindakan pertama Wan Hashim adalah pengumunanya bahawa semua istiadat pengerunian darjah kebesaran sempenana sambutan keputraan baginda Sultan yang ke-60 dibatalkan. Bagi membalas pengumuman tersebut, Pemangku Raja, menitahkan bahawa acara sambutan keputraan baginda Sultan yang ke-60 tetap diteruskan.

Tiga hari lalu, Pemangku Sultan, Tengku Faris Petra mengumumkan bahawa ayahandanya masih gering, oleh kerana itu mengikut klausa (1)(b) Artikel 22A undang-undang itu, baginda yang telah dipilih menjadi Pemangku Raja pada 24 Mei tahun lepas, kini menjalankan tugas-tugas pemerintah dan Yang Dipertuan Negeri sehingga Sultan Ismail Petra sembuh.

Namun semalam, Wan Hashim Wan Daud membuat kejutan dengan pengumuman pelucutan jawatan Pemangku raja dengan sertamerta.

Ekoran daripada pengumuman tersebut Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri itu, Datuk Wan Hashim Wan Daud telah ditahan polis di rumahnya di Taman Seri Aman, Kubang Kerian di Kota Bharu, malam semalam.

Penahannya itu pada jam 8.40 malam semalam itu, dipercayai berhubung pengumumanya berhubung pelucutan jawatan Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra sebagai Pemangku Raja.

Beliau kemudiannya dibawa dengan kenderaan polis ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Wan Hashim semalam yang mendakwa dirinya sebagai `Setiausaha Sulit' Sultan telah membuat pengumuman rasmi pagi semalam dengan mendakwa Sultan Kelantan telah menitahkan pemecatan pemangku raja

Menurut Bernama yang memetik sumber polis, Wan Hashim akan disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu melakukan penipuan.

"Kita telah menahannya pada malam semalam untuk mengambil keterangan," katanya ketika dihubungi.

Laporan awal semalam menyatakan bahawa Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Yahya Petra didakwa melucutkan jawatan anakandanya, Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa serta-merta.

Titah tersebut didakwa disampaikan baginda kepada Pengerusi Majlis Perajaan Negeri Tengku Abdul Aziz Hamzah dan dibacakan oleh Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud di Istana Mahkota .

Bagaimanapun, susulan daripada pengumuman itu yang dihebahkan di laman web media utama, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN) Datuk Mohd Aiseri Alias berkata Tengku Muhammad Faris Petra kekal sebagai Pemangku Raja kerana pelantikannya mengikut dua pertiga daripada 17 anggota majlis MPN pada 29 Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, berita itu disambut tenang oleh Tengku Muhammad Faris Petra apabila tiba dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Ismail, di Kota Bharu.

Thursday, March 25, 2010

Tengku Muhammad Faris dilucut Pemangku Raja Kelantan


KOTA BARU, 25 Mac — Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra dilucutkan daripada jawatan baginda sebagai Pemangku Raja negeri itu berkuat kuasa hari ini.

Keputusan mengejutkan itu, yang dilihat merumitkan lagi krisis Istana Kelantan, diumumkan oleh Setiausaha Sulit baru Sultan Kelantan Datuk Wan Hashim Wan Daud pada sidang media di sini sebentar tadi.

Wan Hashim, yang pelantikannya dipertikaikan minggu lalu berkata keputusan itu diambil selepas baginda mengingkari arahan Sultan Kelantan agar tidak meneruskan sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan yang dijadual 30 Mac ini.

“Berikutan daripada keingkaran Yang Maha Mulia Pemangku Raja mematuhi titah perintah Sultan Kelantan agar tidak meneruskan sebarang bentuk perayaan termasuk penganugerahan darjah-darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan rasmi ke-60 baginda Sultan Kelantan serta di atas kegagalan Yang Maha Mulia Pemangku Raja memelihara, melindungi dan mempertahankan kehormatan diri dan Perlembagaan Negeri Kelantan, maka Duli Maha Mulia Sultan Kelantan dengan ini menamatkan pelantikan Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja,” kata beliau pada sidang media di Istana Mahkota, Kubang Kerian.

Malah keputusan ini diumumkan sehari selepas Tengku Muhammad Faris Petra mengumumkan bahawa Sultan Kelantan masih gering dan tidak boleh menjalankan tugas berhubung hal ehwal negeri mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan.

Semalam Tengku Muhammad Faris Petra bertitah bahawa mengikut klausa (1)(b) Artikel 22A undang-undang itu, baginda yang telah dipilih menjadi Pemangku Raja pada 24 Mei tahun lepas, kini menjalankan tugas-tugas pemerintah dan Yang Dipertuan Negeri sehingga Sultan Ismail Petra sembuh.

Dalam satu titah yang disampaikan oleh Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad pada satu sidang akhbar di Istana Balai Besar semalam, baginda menegaskan bahawa sebarang kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak tanpa terlebih dahulu mendapat laporan perubatan daripada panel doktor pakar yang telah dilantik adalah tidak tepat, tidak sah dan tidak terpakai.sumber disini

Blog Archive