Showing posts with label Rogol. Show all posts
Showing posts with label Rogol. Show all posts

Saturday, September 07, 2013

Rogol Anak Tiri: Bekas Penyanyi R&B dipenjara 20 tahun

KAJANG - [Dikemaskini] Seorang bekas ahli kumpulan R&B terkenal tanah air dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini,  semalam, selepas didapati bersalah merogol anak tirinya yang berusia 14 tahun, tahun lalu.

Hakim Nor Hazani Hamzah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas lelaki yang berusia 38 tahun itu setelah mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.

Bapa kepada dua anak itu yang kini merupakan guru vokal di beberapa kementerian dan agensi kerajaan kelihatan tenang dan hanya menundukkan wajah ketika hakim membuat keputusan tersebut.

Dalam penghakimannya, Norhazani berkata, keterangan mangsa telah disokong saksi-saksi lain yang tampil memberi keterangan termasuk guru kaunselingnya.

"Saya percaya pada keterangan saksi pendakwaan kerana semua saksi bebas, ditambah kenyataan pegawai perubatan yang mengesahkan koyakan pada alat sulit mangsa," katanya.

Bagaimanapun menurut hakim, keterangan salah seorang saksi pembelaan mengukuhkan lagi pendakwaan, tetapi tertuduh tidak membuat sebarang laporan polis.

"Keterangan yang diberikan semasa pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah, tertuduh disabitkan dengan kesalahan," katanya.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Azmi Talib dan Mohamad Burok memohon hukuman minimum kerana dia kini menanggung dua orang anaknya yang masing-masing berusia 9 dan 7 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fazlin Abd Zawawi pula memohon mahkamah memberikan hukuman maksimum sebagai pengajaran kerana tertuduh merupakan bapa tiri kepada mangsa.

Noor Fazlin menambah, tertuduh sepatutnya menjadi pelindung dan memberikan kasih sayang kepada anak tirinya yang sedang membesar.

Hakim seterusnya mengarahkan agar mangsa dipanggil ke mahkamah untuk memberikan kenyataan berkaitan kesan kejadian tersebut terhadap dirinya.

Semasa dipanggil memberi kenyataan, sambil menangis mangsa berkata, dia kini berasa tidak selamat, fobia, dan jijik pada diri sendiri selepas kejadian tersebut.

"Saya rasakan masa depan begitu gelap. Saya takut untuk ke sekolah dan merasai tekanan setiap hari.

"Malah saya jadi takut pada ayah kepada rakan-rakan saya dan guru lelaki," katanya yang kini ditempatkan di rumah perlindungan.

Mangsa turut menyatakan dia kini hilang kepercayaan pada orang lain meskipun pada ahli keluarga sendiri.

Berdasarkan kertas pertuduhan, bekas ahli kumpulan R&B itu didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah rumah, di Taman Gombak Jaya, jam 9 pagi pada 9 Februari tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat jika disabit kesalahan.

Peguam tertuduh, Azmi Talib memohon mahkamah menangguhkan hukuman penjara tersebut kerana tertuduh mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu.

Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman, bagaimanapun, jaminan ditingkatkan kepada RM80,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Sepanjang perbicaraan, seramai lapan saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Friday, September 06, 2013

Rogol: Bekas ahli kumpulan Ruffedge dipenjara 20 tahun

Teka sendiri Yang mana bekas Penyanyi itu. Namanya disembunyikan bagi melindungi anak tirinya
KAJANG 6 Sept. - Seorang bekas ahli kumpulan Ruffedge yang popular sekitar tahun 2000, dihukum penjara 20 tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol anak tirinya yang berusia 14 tahun, Februari tahun lalu.

Hakim Nor Hazani Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 38 tahun itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sehingga selesai rayuan di Mahkamah Tinggi.

Jaminan ke atas tertuduh dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM80,000 berserta syarat tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga rayuan selesai.

Tertuduh yang kini bekerja sebagai guru vokal di beberapa kementerian kerajaan dibawa ke Penjara Kajang pada pukul 4 petang selepas gagal membayar jaminan.

Dalam penghakimannya Nor Hazani berkata, mahkamah mendapati keterangan pengadu mempunyai kredibiliti.

Menurut beliau, selepas kejadian, pengadu memberitahu perkara itu kepada dua guru kaunselingnya yang turut memberikan keterangan di mahkamah.

"Mahkamah mempercayai keterangan kedua-dua guru itu, masing-masing saksi pendakwaan keenam dan ketujuh yang merupakan saksi bebas.

"Selain itu, keterangan doktor juga mengesahkan terdapat koyakan pada alat sulit pengadu," kata beliau.

Menurut beliau, pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah sebaliknya telah mengukuhkan kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Gombak di sini pada pukul 9 pagi, 9 Februari 2012.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Saturday, September 08, 2012

Rogol Lagi: Kali ini Remaja 15 Tahun jadi mangsa

TAPAH - Perkenalan singkat melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang baru menjangkau tiga hari mengundang padah buat seorang calon Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) di salah sebuah sekolah di Bidor apabila dia menjadi  mangsa rogol secara bergilir-gilir tiga pemuda.

Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa berusia 15 tahun itu baru berkenalan dengan salah seorang suspek dan diajak keluar untuk beraya di rumah rakan suspek di sekitar Tapah sebelum makan malam bersama.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak a/l Din Keliaw berkata, setelah selesai makan, suspek pertama tidak membawa mangsa pulang sebaliknya memberitahu mangsa, dia mahu mengambil dua rakannya.

"Kereta yang dipandu suspek kepunyaan bapa saudaranya dan mereka menuju ke rumah milik salah seorang suspek di Kampung Muhibbah, Batu 33, Tapah.

“Mangsa dibawa masuk ke dalam rumah sebelum dirogol oleh tiga orang suspek bergilir-gilir dan pihak kami juga percaya, perbuatan itu dilakukan dari lewat malam sehingga awal pagi,” kata dalamsidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah, Asisten Superitenden Md Nasri Fadzir

Tambahnya, ketika suspek pertama cuba mengulangi perbuatannya sekali lagi terhadap pelajar terbabit, mangsa berjaya mengunci pintu bilik sebelum melarikan diri daripada rumah tersebut.

"Ketika mangsa cuba melarikan diri, mangsa telah membuat panggilan 999 dan meminta bantuan daripada pihak polis.

"Mangsa berjaya diselamatkan sepasukan polis daripada IPD Tapah dan dibawa ke balai polis  sebelum dihantar ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan pakar di sana dan satu laporan polis dibuat.

“Mangsa juga dapat mengecam dua daripada tiga suspek iaitu Mohd Shahril Kamaruddin , 23 daripada Kampung  Rebai, Jalan Pahang, Tapah, dan Musa Shaharum, 38, Kampung Bermin, Jalan Pahang, Tapah dan pihak kami sedang dikesan suspek bagi membantu siasatan.

“Kami juga sedang mengesan seorang lagi suspek yang hanya dikenali sebagai ‘Mok’ dan dipercayai terlibat dalam kes ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Suspek yang dikenali sebagai Musa bekerja sebagai mekanik di salah sebuah bengkel di sini, mempunyai isteri dan anak turut mempunyai dua rekod jenayah iaitu pecah rumah dan curi kenderaan manakala Mohd Shahril  masih dalam siasatan pihaknya.

“Pihak kami sedang giat mencari ketiga-tiga suspek yang dipercayai melarikan diri selepas kejadian itu dan menyedari mangsa membuat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat kejadian jenayah serta lain-lain maklumat boleh berhubung terus di hotline IPD Tapah 05-4015222 atau SMS Rakan Cops 32728 ataupun balai-balai polis berdekatan,” katanya.

Blog Archive