Showing posts with label Pas bergolak. Show all posts
Showing posts with label Pas bergolak. Show all posts

Saturday, December 24, 2011

Negara Kebajikan: Hassan Ali mengaku kalah

Bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali hari ini memohon maaf berhubung kritikannya terhadap konsep negara kebajikan yang dianjurkan parti itu dan menarik balik kenyataannya berhubung perkara itu.

Sebagai ahli PAS dan ahli jawatankuasa pusat, katanya, beliau mengakui terdapat unsur-unsur yang keterlaluan apabila beliau mengulas perkara itu.

Dengan itu, katanya, beliau menarik balik komennya tentang negara kebajikan dan memohon maaf kepada kepimpinan PAS kerana keterlaluannya itu.

Hasan sebelum ini mengecam golongan bukan ulama dalam PAS dan menuduh parti itu telah menyeleweng daripada perjuangan Islam.

Hasan, dalam sidang akhbar yang diadakan di kediamannya pagi ini berkata, konsep negara kebajikan telahpun diputuskan dalam muktamar parti itu dan disahkan oleh majlis syura, maka beliau akan mematuhinya.

Bagaimanapun, tambahnya, beliau terpaksa menyuarakan pandangan sebahagian besar penyokong PAS tentang butir-butir teknikal - bukan dasar - mengenai negara kebajikan.

Hasan mengakui bahawa "mungkin" intipati sebuah negara Islam dan negara kebajikan adalah serupa tetapi menegaskan bahawa kedua-duanya perlu diteliti jika mereka benar-benar sama dari segi kandungan, hujah dan penyampaiannya.

Hasan menambah beliau secara peribadi lebih suka istilah "negara Islam" daripada "negara kebajikan".

Mustafa Ali berbohong: Dr Hassan

Bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menafikan mengenai dakwaan Setiausaha Agung parti, Datuk Mustafa Ali mengenai pertemuan beliau bersama tiga individu yang mempunyai kaitan dengan Umno.

Mustafa pada Khamis mendakwa beliau mempunyai bukti untuk mengaitkan Hasan dengan Umno yang merujuk kepada satu pertemuan dengan individu-individu terbabit di sebuah hotel di ibu negara pada bulan Ramadan lalu.

Dr Hasan bagaimanapun berkata: “Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai pertemuan saya dengan mereka sama ada pimpinan Umno di peringkat bawahan, pertengahan atau atasan pada masa dan tempat yang dinyatakan,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini, Sabtu.

Hasan yang juga merupakan Exco Kerajaan Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia bagaimanapun enggan mendedahkan identiti tiga individu yang temuinya.

“Saya tidak dapat menjelaskan sebab saya berasa mereka juga tidak selesa untuk dijelaskan. Cukup saya menafikan sekeras-kerasnya.

“Tiada pertemuan dengan mana-mana orang Umno dan tiada langsung berkaitan dengan Pas dan Umno,” katanya.

Hasan berkata, Mustafa sekali lagi terperangkap dengan prasangka buruk dan fitnah sesama muslim.

Menurut beliau, Mustafa sebagai setiausaha agung kepada sebuah parti yang berteraskan Islam, tuduhan-tuduhan liar dan serkap jarang seperti itu tidak selayaknya keluar dari mulut seorang yang berwibawa.

“Setahu saya yang ada ialah pertemuan yang sebahagiannya berulang kali antara setiausaha agung dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno.

“Bahkan terdapat permohonan daripada setiausaha agung sendiri untuk bertemu dengan seorang pemimpin Umno yang sehingga kini setakat yang saya maklum belum dapat diadakan,” katanya lagi.

Dr Hasan meminta pemimpin tertingi parti untuk membuat siasatan secara terperinci berhubung perkara tersebut termasuk dakwaan pertemuan beliau dengan orang-orang yang mempunyai kaitan dengan Umno.

Dalam pada itu, Hasan mempersoalkan tindakan Mustafa sambil meminta pengesahan daripada setiausaha agung parti berhubung dakwaan berkenaan.

“Sejak bila pejabat setiausaha agung menubuhkan unit risikan dan intipan di pejabat agung Pas? Saya juga ingin tahu mengenai keperluan tugas merisik dan mengintip dalam konteks menjaga kesatuan dan perpaduan dalam parti,” katanya.

Wednesday, December 21, 2011

Parti PAS semakin bergolak


PERTEMBUNGAN antara Naib Presiden dan SU Agong PAS disebelah pihak melawan dan Dr Hassan Ali dan Ustaz Masharuddin Mat Isa dipihak yang satu lagi walaupun dari parti yang sama, telah mengundang pergolakan dalam parti itu.

Hari ini Naib Presiden PAS-Mahfuz Omar telah menuduh Dr Hassan telah mengistiharkan "perang" dengan Parti sesuai dengan kenyataan exco kerajaan Selangor itu, bahawa beliau tidak bersetuju pertukaran ideologi Pas daripada negara islam kepada negara berkebajikan.

Sebelum ini, SU Agong Parti itu,Mustafa Ali mendakwa bahawa kedua-dua mantan pemimpin kanan parti itu telah masuk perangkap Umno.Malah Harakah menyiarkan kartun, yang menyindir Ustaz Nasha.. dengan perkataan "Kena Dahh".

PAS terpaksa menguggurkan perjuangan negara islamnya, semata-mata memenuhi keinginan DAP. Selain itu, PAS juga menubuhkan sayap penyokongnya daripada kalangan bukan islam, hanya untuk mendapatkan sokongan bukan islam.

Pas dan Umno ini sama-sama mengorak langkah untuk mendapatkan sokongan bukan islam, demi mendapatkan kerusi sebanyak mungkin dalam PRU-13.

Pas dan Umno tahu, bahawa jumlah kerusi kaum melayu yang hanya sebanyak 120 di Semenanjung, akan terbagi tiga antara Umno-PAS-PKR. Kedudukan pada tahun 2008; Umno:78; Pas:23; PKR:18.

PAS membuat percaturan, jika kaum bukan islam menyokong PAS, maka setidak-tidaknya 65 kerusi kawasan majoriti melayu akan dikuasainya. Untuk itu, dasar parti perlu dikorbankan hanya semata-mata untuk mendapatkan kerusi, dan seterusnya kuasa.

Perubahan PAS inilah yang ditentang oleh Dr Hassan, kerana mantan Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata, kemasukkannya dalam PAS kerana Perjuangan asal parti itu.

Sejauh manakah pergolakan Parti Pas? Apakah pergolakan ini, akan membawa padah pada parti itu?

Saturday, December 17, 2011

Pas bergolak: Dr Hassan dan Ustaz Nasha dianggap pemimpin gunting dalam lipatan

PAS kini siap 'menguruskan' dua pemimpin kontroversinya exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan bekas timbalan presidennya Nasharudin Mat Isa yang dianggap merugikan parti, terutama dalam keadaan menjelang pilihan raya umum.

Antara tindakan itu dengan giat menggunakan organ parti - media cetak dan internet - untuk menjawab kenyataan kontroversi kedua-dua pemimpin itu yang tidak disenangi.

Bermula dengan kritikan terbuka setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali dalam akhbar web PAS Harakahdaily semalam, beberapa lagi siri dijangka berterusan, sekurang-kurangnya sehingga minggu depan.

Malah, Harakah edisi Isnin depan akan memuatkan wawancara khas dengan Mustafa yang mendakwa Hasan kini cuba mempengaruhi beberapa lagi pemimpin parti supaya 'tidak lagi yakin dengan perjuangan PAS', dengan tindakan itu, kedua-dua pemimpin itu adalah seperti gunting dalam lipatan.

Malah Mustafa dilaporkan menyatakan Hasan mahupun Nasharudin 'bakal tidak kekal lama' dalam perjuangan PAS.

"Saya dimaklumkan dan saya boleh mengesahkan Hasan ada menemui orang tertentu termasuk beberapa tokoh dalam PAS untuk meyakinkan mereka supaya bersama dengan dia kerana PAS sudah tidak boleh diyakini lagi.

"Saya tak nak dedahkan lagi siapa orang ini, cuma saya mahu sebutkan apa yang dilakukan Hasan ini dalam ruang-lingkup agenda musuh politik PAS," beliau dipetik sebagai berkata kepada Harakahdaily dan Harakah.

Tulisan itu bagaimanapun sudah boleh dibaca dalam blog seorang wartawan Harakah yang mewawancara Mustafa kerana sudah dimuatkan sejak semalam.

Pada hari yang sama, sebahagian kecil daripada rakaman wawancara kira-kira 30 minit itu juga dimuatkan dalam Harakahdaily.

Tindakan agresif itu jarang berlaku dalam PAS yang sering menekankan konsep penyelesaian secara dalaman dalam pelbagai isu.

Sumber Pas juga mendakwa bahawa disiplin kedua-dua pemimpin itu amat merunsingkan kepimpinan tertinggi PAS sehingga memaksa mereka mengambil langkah itu.

Dr Hasan baru-baru ini dilaporkan berkata bahawa beliau bersedia membantu perdana menteri menyatupadukan Melayu-Islam, termasuk PAS dan Umno.

Blog Archive