Showing posts with label JI. Show all posts
Showing posts with label JI. Show all posts

Thursday, July 19, 2012

JI, Bekas Komunis telah menyusup dalam Pakatan Rakyat: Polis

Risikan Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa terdapat pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti politik pembangkang selain cuba menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penolong Pengarah E2 (M), Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin berkata Cawangan Khas itu mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi PAS selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.

"Beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga sering berulang-alik ke Bangkok dan selatan Thailand yang dipercayai untuk mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) di sana.

"Kesannya, idea-idea berhubung politik baru yang berpotensi menjejaskan nilai teras negara telah berkembang. Gerakan ini sebenarnya mendapat sokongan daripada badan bukan kerajaan (NGO) asing yang membantu dari segi kewangan, latihan dalam dan luar negara serta pendedahan kepada kepakaran tertentu untuk menghadapi pilihan raya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan syarahannya bertajuk: "Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama" pada Konvensyen Pemimpin Muda Negara di Parlimen hari ini.

Konvensyen sehari itu dianjurkan oleh Parlimen Malaysia bersama-sama Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi, Institut Pendidikan Guru dan Majlis Belia Malaysia, di bangunan Parlimen.

Mohd Sofian berkata tindakan gerakan itu sebenarnya bertujuan untuk melahirkan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang sentiasa bersikap bermusuhan terhadap kerajaan sekaligus bermatlamat mewujudkan suasana kucar-kacir sehingga melemahkan sesiapa sahaja yang memerintah negara.

"Dalam hal ini, kita bimbang tindakan parti pembangkang dan NGO memainkan isu kontroversi yang membakar sentimen rakyat agar membenci kerajaan menjelang pilihan raya.

"Ataupun (ia) meningkatkan aktiviti demonstrasi dan juga insiden yang boleh mengalihkan tumpuan pihak polis... gerakan massa mengheret rakyat turun ke jalanan melakukan demonstrasi akan terus menjadi trend di negara kita," katanya.

Beliau berkata perhimpunan Bersih, Oren dan Hijau, yang dianjurkan pihak yang disokong pembangkang, baru-baru ini merupakan rancangan yang diatur khas sehingga pilihan raya umum akan datang.

"Tambahan pula budaya kempen sepanjang tahun yang diamalkan di negara ini menyebabkan fikiran rakyat terus terdedah dengan pelbagai maklumat yang mempunyai nilai politik,"katanya.- Bernama

Saturday, June 19, 2010

JI Kembali: Keselamatan Negara Tergugat

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini mengingatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak campur tangan dalam urusan dan masalah keselamatan negara.

Katanya, Anwar cuba memperlekeh usaha PDRM dalam mengawal dan menangani ancaman kumpulan Jemaah Islamiah (JI) di negara ini dengan mendakwa kononnya ia merupakan cerita rekaan.

Anwar pada sidang media di lobi Parlimen semalam menuduh kerajaan sengaja mereka cerita kewujudan gerakan JI yang menjadi ancaman besar terhadap negara untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu besar lain yang timbul.

Dalam pada itu, Musa berkata polis akan memberi taklimat khas kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan wakil-wakil IPTA pada Selasa ini mengenai usaha membendung penyebaran anasir pengganas di institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau berkata taklimat itu turut merangkumi usaha mengekang kegiatan kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) merekrut penuntut IPT menyertai kumpulan itu.

Diminta mengulas dakwaan adanya penglibatan tenaga pengajar IPT dalam JI, beliau berkata "Saya tidak boleh hendak beritahu apa-apa, biar kita siasat dahulu".

Musa bercakap kepada pemberita selepas Istiadat Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Suksis) Institut Pengajian Tinggi Awam 2010 di Universiti Malaya di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata PDRM memantau segala bentuk aktiviti di negara ini termasuk yang berkaitan dengan pelampau agama dan perkauman dengan dibantu rangkaian risikan.

"Apa sahaja yang boleh menyebabkan keadaan keselamatan negara tergugat, kita akan siasat dan ambil tindakan sepatutnya, sebab itu kita juga pantau melalui risikan bagi mendapatkan maklumat sebelum terjadi sesuatu.

"Kita juga sedang memantau jika ada lagi ancaman militan selain dari JI dalam negara ini...bagaimanapun saya tidak boleh beritahu semuanya," katanya kepada Bernama.

Musa berkata sehingga kini, belum ada mana-mana tangkapan terbaru melibatkan aktiviti JI tersebut.

Blog Archive