Showing posts with label Hakim Plagiat-Tiada merit. Show all posts
Showing posts with label Hakim Plagiat-Tiada merit. Show all posts

Thursday, January 05, 2012

Plagiat: Hakim Singapura nafi dakwaan Karpal Singh

Seorang hakim Singapura telah menafikan beliau menuduh seorang hakim Malaysia memplagiat keputusan penghakimannya, kata pejabat Ketua Hakim Negara hari ini.

Pegawai khas I, Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria - Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, berkata dalam satu kenyataan berkata hakim Singapura GP Selvam yang telah bersara dalam sepucuk suratnya ke pejabat itu telah menafikan beliau membuat dakwaan berkenaan.

Menurut Che Wan Zaidi, Selvam menulis surat bertarikh 2 Nov lalu, atas kehendaknya sendiri dan tanpa diminta untuk berbuat demikian oleh mana-mana pihak.

"Adalah tidak benar bahawa saya membuat aduan kepada kerajaan tentang plagiarisme. Tidak ada apa-apa alasan bagi saya untuk mengadu berhubung plagiarisme ataupun secara langsung kepada kerajaan jiran ....

"Saya ulangi saya tidak membuat aduan dan tidak ada sebab untuk mengadu tentang plagiarisme terhadap hakim Malaysia."

Che Wan Zaidi berkata berdasarkan surat itu dan dokumen lain, Ketua Hakim Negara membuat keputusan pada 30 Dis, 2011, untuk menolak aduan terhadap hakim Mahkamah Rayuan.

Dokumen-dokumen lain adalah seperti berikut:

Surat peguam Karpal Singh bertarikh 29 Sept, 2011;

Jawapan surat Karpal bertarikh 27 Okt, 2011;

Surat Hakim Datuk Abdul Malik Ishak, bertarikh 29 Dis, 2011;

Penghakiman bertulis Abdul Malik berhubung kes Pet Far Eastern (M) Sdn Bhd vs Tay Young Huat &; ORS [1999] 5 MLJ 558;

Penghakiman bertulis Selvam berhubung kes Star Cruise Sdn Bhd vs Overseas Union Bank Ltd (1999).
Justeru, kata Che Wan Zaidi, adalah diharapkan agar semua pihak dapat meneliti kedua-dua penghakiman di atas terlebih dahulu dan tidak membuat spekulasi dan tohmahan yang tidak berasas.

"Perlu dingatkan bahawa kebebasan dan integriti Badan Kehakiman adalah suatu perkara yang penting untuk dipertahankan oleh semua pihak demi keadilan," katanya.

Karpal, yang juga pengerusi kebangsaan DAP dan ahli parlimen Bukit Gelugor, sebelum ini menuntut Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Malik supaya meletakkan jawatan atas dakwaan plagiarisme.

Dakwanya, secara ironinya, penghakiman yang diciplak dari bekas hakim Singapura GP Selvam itu adalah mengenai kes isu hak cipta.

Friday, December 30, 2011

Hakim plagiat: Dakwaan Karpal Singh tiada merit: Ketua Hakim Negara

Siasatan yang dijalankan oleh Ketua Hakim Negara mendapati dakwaan peguam Karpal Singh bahawa seorang hakim Mahkamah Rayuan telah memplagiat penghakiman seorang hakim mahkamah Singapura pada 2000 tidak mempunyai merit.

Berikutan itu, aduan tersebut ditolak, kata pegawai khas 1 kepada Ketua Hakim Negara, Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Dalam satu kenyataannya hari ini, beliau berkata Karpal telah dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara itu melalui surat dari pejabat Ketua Hakim Negara.

Menurut Che Wan Zaidi, Ketua Hakim Negara telah menerima satu surat aduan bertarikh 29 September 2011 dari Karpal yang mendakwa seorang Hakim Mahkamah Rayuan telah memplagiat penghakiman seorang hakim mahkamah Singapura pada tahun 2000.

"Satu siasatan telah dijalankan oleh YAA Ketua Hakim Negara.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan dan setelah berbincang dengan Presiden Mahkamah Rayuan menurut Seksyen 13 (1) Kod Etika Hakim 2009, YAA Ketua Hakim Negara berpendapat bahawa dakwaan plagiarisma oleh Hakim Mahkamah Rayuan seperti yang dibangkitkan oleh YB Encik Karpal Singh adalah tidak mempunyai merit dan aduan tersebut ditolak.

"YB Encik Karpal Singh telah juga dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara ini melalui surat daripada Pejabat Ketua Hakim Negara.," tambahnya.

Sebelum ini, Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor menggesa Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hakim Abdul Malik Ishak supaya meletakkan jawatannya berikutan dakwaan plagiarisme.

Pada 4 Oktober lalu, Karpal mengemukakan usul mengikut Perintah-Perintah Tetap 27 yang dibaca bersama dengan 36 (8) dan Perkara 127 perlembagaan persekutuan, yang mahu dibentangkannya di Dewan Rakyat.

Menurut Karpal yang juga pengerusi DAP, beliau sendiri telah menulis kepada hakim kanan itu pada 22 Ogos lalu dan memberi beliau masa selama tujuh hari untuk menjawab dakwaan berkenaan.

Karpal kemudiannya menulis sepucuk lagi surat pada 29 September lalu dan memberitahu hakim itu bahawa sekiranya tiada jawapan diberikan beliau akan mengandaikan ia sebagai pengakuan salah laku.

Blog Archive