Showing posts with label Aminulrasyid Mati Ditangan Polis. Show all posts
Showing posts with label Aminulrasyid Mati Ditangan Polis. Show all posts

Thursday, May 06, 2010

Teman Aminulrasyid: Tiga 3 Kali Dipanggil Polis: Begitu Susahkah Dapat Maklumat Pada Budak 14 Tahun?

Saksi utama kes Aminulrasyid Amzah hari ini dipanggil lagi memberikan keterangan bagi kali ketiga di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

Peguam N Surendran memberitahu, Azamuddin Omar (gambar atas) - yang berada bersama arwah ketika pelajar terbabit ditembak mati oleh polis minggu lalu - dipanggil bagi menjalani proses tersebut pada jam 4.30 petang ini.

Pelajar tingkatan tiga itu bagaimanapun hanya kelihatan sampai di IPK itu pada jam 5.20 petang dan keluar kira-kira 30 minit selepas itu.

Beliau turut diiringi seorang lagi peguam Latheefa Koya, rakan-rakannya dan wakil Persatuan Ibu-bapa dan Guru (PIBG) sekolahnya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Surendran berkata kebanyakan soalan yang ditanya kepada saksi utama itu hanya mengulangi perkara yang telah ditanya sebelum ini.

Katanya, tindakan tersebut tidak diperlukan sedangkan Azamuddin telah tiga kali dirakamkan kenyataannya.

"Proses soal jawab itu profesional, bagaimanapun kita rasa ia sudah mencukupi. Apa yang pihak berkuasa patut lakukan sekarang? Mereka patut mendakwa pihak yang terlibat," katanya.

Sebelum ini, polis telah merakamkan kenyataannya Azamuddin pada 28 April dan 2 Mei lalu, tambah peguam yang terkenal memperjuangkan isu-isu hak asasi manusia itu.

Isnin lalu, Azamuddin tampil pertama kali dalam sidang media menceritakan pengalamannya berhubung insiden tragis melibatkan rakan sekolahnya itu.

Beliau dilaporkan berkata, setelah kereta yang dinaikinya bersama Aminulrasyid berlanggar dengan sebuah tembok setelah ditembak polis pada pagi 26 April lalu.

Azamuddin yang cedera pada bahagian lengan dan belakangnya juga dilaporkan mendakwa lima anggota polis kemudiannya membelasahnya selepas dia keluar dari kereta untuk menyerah diri.

Kesan kejadian tersebut, pelajar tersebut dilaporkan ketakutan dan terpaksa menjalani rawatan trauma.

Tuesday, May 04, 2010

Inkues Kematian Aminulrasyid: Terserah Pada Kerajaan: Musa Hassan

Untuk mencari penyebab sebenar pihak polis melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian seorang pemuda berumur 15 tahun, KPN menyerahkan kepada kerajaan samada menubuhkan inkues atau tidak.

Sementera itu bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar adalah antara lapan orang yang dilantik bagi menganggotai jawatankuasa khas bagi memantau siasatan polis berhubung kematian remaja 15 tahun yang ditembak mati polis 26 April lalu.

Mereka yang lain adalah bekas pesuruhjaya Suhakam Dr Denison Jayasooria, penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim, peguam Muhammad Shafee Abdullah, ketua pegawai eksekutif ASLI Dr Michael Yeoh dan naib canselor UiTM Prof Abdul Halim Sidek.

Panel berkenaan akan diketuai oleh timbalan menteri dalam negeri, Datuk Abu Seman Yusop dan dibantu oleh timbalan ketua setiausaha kementeriannya, Datuk Ahmad Fuad Aziz.

Abu Seman memberitahu pemberita minggu lalu bahawa jawatankuasa khas itu tidak boleh menjalankan siasatannya sendiri tetapi hanya boleh memantau siasatan yang dijalankan oleh polis bagi memastikan ia berjalan dengan telus dan adil kepada semua pihak.

Kematian Terpencil: Teoh Beng Hock; Sekarang Aminulrasyid: Peguam Pembangkang Yang Membela??

Secara kebetulan kah? Apabila ada kes-kes terpencil dan kebetulan pula mendapat perhatian orang ramai, para peguam pembangkang lah yang cepat-cepat tampil ke depan. Para peguam itu bukan calang-calang; mereka itu semua berstatus wakil rakyat.

Kes terkini adalah kematian budak 15 tahun ditangan polis malam isnin lalu, dibela oleh Karpal Singh, seorang wakil rakyat dan pemimpin DAP.

Menurut Karpal, dia diminta oleh ibu mangsa untuk menjadi peguam keluarga itu bagi mengetengahkan kematian Aminulrasyid.

Kes terpencil serupa yang telah mengisi media massa dan media baru sejak tahun lalu adalah kematian Teoh Beng Hock, dimana mayatnya dijumpai di luar tingkat 5 Plaza Masalam Shah Alam. Hingga kini inkues kematian Teoh Beng Masih berjalan.

Kes Teoh Beng Hock di bela oleh anak Karpal Singh sendiri, Gobind Singh Deo.

Apabila ada kes terpencil begini, biasanya para peguam yang ada hubung kait dengan kerajaan tidak mengambil berat, malah terlalu sukar bagi mereka untuk tampil ke depan. Apa kah halangan bagi mereka? mereka sahaja yang tahu.

Apabila pihak pembangkang mengambil alih sesuatu kes jenayah atau kematian maka pihak kerajaan terpaksa menjawab berbagai dakwaan. Melalui jawapan dan dakwaan itu lah, rakyat jelata akan terpengaruh, mungkin sokongan akan bertambah kepada pihak kerajaan ataupun sokongan akan berkurang.

Jika pada awal-awalnya para peguam yang ada hubungan dengan kerajaan lebih awal tampil ke depan, maka satu persepsi yang amat besar kepada rakyat, bahawa kerajaan mengambil tahu tentang rakyat dan juga membela rakyat.

Persepsi sekrang ini adalah, kerajaan atau para peguam yang ada hubungkait kait dengan kerajaan tidak mengambil tahu atau tidak membela rakyat.

Dalam perkembangan lain Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mengingatkan orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tidak mempertikaikan tugas polis berikutan insiden seorang remaja Aminulrasyid Amzah yang mati akibat terkena tembakan polis pada Isnin lalu.

Beliau berkata, polis mempunyai tugas dan tanggungjawab bagi menjaga keamanan dan keselamatan negara dalam membanteras jenayah.

"Apa yang mereka (NGO) nak cakap itu hak mereka dan tunggu sehingga siasatan kita selesai. Saya mahu menjalankan siasatan secara adil untuk mencari keadilan," katanya.

Musa berkata demikian kepada pemberita selepas melawat anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Sarjan Roslan Bachik, 49, di Hospital Serdang yang patah kaki kanan akibat dirempuh penunggang motosikal yang cuba melarikan diri dalam sekatan jalan raya petang kemarin.

Beliau berkata, kes yang membabitkan anggota polis sehingga mengalami kecederaan atau kematian dalam menjalankan tugas tidak mendapat perhatian daripada NGO atau masyarakat.

"Sebagai contoh kes yang melibatkan seorang anggota trafik kita kelmarin sehingga patah kaki kanan, ini disebabkan oleh anak orang yang 'baik-baiklah' sehingga jadi macam ni," katanya.

Katanya, walaupun polis berjaya melaksanakan tugas dengan baik namun ia tidak pernah dipuji dan dihargai masyarakat.

"Jangan perlekehkan tugas polis kerana kita mempunyai tanggungjawab dalam menjaga keselamatan negara.

"NGO yang campur tangan dalam tugas polis tidak prihatin dengan tugas kita melainkan pihak kerajaan yang mengambil berat terhadap anggota polis yang cedera atau maut dalam menjalankan tugas," katanya.

Musa berkata, kertas siasatan berhubung kes Aminulrasyid, 15, akan diserahkan semula kepada pihak Peguam Negara dalam masa terdekat selepas siasatan kes tersebut lengkap.

Jumaat lalu, pihak Peguam Negara menyerahkan semula kertas siasatan itu dan mengarahkan polis melakukan siasatan lebih lanjut.

Semalam tiga saksi utama, Azamuddin Omar, 15, rakan kepada Allahyarham Aminulrasyid serta kakak dan abang iparnya iaitu Tuty Shaninza Anom Amzah, 36, dan Muzafar Mahali, 36, dipanggil semula untuk memberi keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Dalam kejadian 2 pagi itu, Aminulrasyid mati terkena tembakan yang dilepaskan polis yang mengejar kereta yang dipandu remaja itu sepanjang enam kilometer pada kadar kelajuan tinggi sebelum terbabas di Seksyen 11, Shah Alam, Selangor.

Monday, May 03, 2010

Pengakuan Rakan Aminulrasyid Menggambarkan Kebrutalan Polis

Aminulrasyid Amzah tidak pernah merempuh kereta peronda tetapi mereka ditembak dari belakang oleh anggota polis pada hari kejadian minggu lalu, kata rakannya Azamuddin Omar (gambar)  yang menemaninya pada hari kejadian.

Bercakap kepada pemberita di sini petang ini, Azamuddin berkata Aminulrasyid cuba melepasi beberapa motosikal yang mengejarnya selepas keretanya tergesel sebuah kereta lain di Seksyen 7 sebelum itu.

Selepas rakannya ditembak, menurut Azamuddin, dia ditendang dan ditumbuk berkali-kali oleh beberapa anggota polis selepas keluar dari kereta dipandu Aminulrasyid.

“Mereka tembak dia di kepala (dari belakang) dan dia rebah di riba saya. Tetapi kakinya kekal pada pedal minyak dan kereta pula terus bergerak,” katanya.

Kata Azamuddin, polis terus-menerus menembak kereta sehingga ia terlanggar tembok sebuah rumah di Seksyen 11.

Sunday, May 02, 2010

Kertas Siasatan Penembakan Remaja 15 Tahun Isnin Lepas Banyak Loophole

Polis memanggil semula saksi utama dalam insiden remaja 14 tahun - Aminulrashid Amzah - yang ditembak mati oleh polis awal pagi Isnin lalu, untuk memberi keterangan hari ini.

Polis juga turut memanggil seorang lagi kakak mangsa - Tuty Shaninza Anom Amzah - untuk memberi keterangan hari ini.

Mereka dipanggil memberi keterangan di ibupejabat polis kontinjen (IPK) Selangor, di Seksyen 9, Shah Alam mulai jam 11.30 pagi ini.

Perkara tersebut disahkan oleh peguam saksi, Farhana Abdul Halim yang turut menemani mereka.

Rabu lalu, polis mengambil keterangan daripada ibu Aminulrasyid - Norsiah Mohamad - kakak arwah - Norazura Amzah - dan suaminya Muzaffar Mahali.

Ini merupakan kali kedua saksi utama insiden itu memberi keterangan kepada polis. Kali pertama saksi tersebut berbuat demikian adalah Rabu lalu.

Kelmarin, Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail, menyerahkan semula kertas siasatan kepada polis bagi meneruskan lagi siasatan berhubung insiden tersebut.

Sementara itu, Farhana berkata turut hadir menemani beliau adalah dua lagi lagi peguam - Fadiah Nadwa Fikri dan N Surendran.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Farhana berkata, beliau bersama rakannya, akan sentiasa bersama saksi tersebut sehingga siasatan lanjut itu habis dijalankan.

Wednesday, April 28, 2010

Mangsa Tembakan Rambang Polis Terkejut Kejadian Sama Berulang Semula

Mangsa tembakan rambang polis pada 16 April 2009, Shahril Azlan Ahmad Kamil melahirkan rasa terkejut yang amat sangat ekoran kejadian yang pernah menimpa ke atas dirinya setahun lalu berulang lagi kepada pelajar, Aminulrasyid Amzah, 15, pada 26 April lalu juga di Shah Alam.

Beliau yang mengucapkan takziah kepada anggota keluarga pelajar itu turut menyifatkan kejadian itu sebagai satu tindakan yang sangat tidak profesional kerana tanpa sebarang komunikasi sebelum menembak sehinggakan terasa seperti suasana di negara ini berada di dalam keadaan darurat.

"Mereka langsung tidak bertanya apa-apa terus sahaja menembak tanpa usul periksa," tegasnya ketika ditemui oleh wartawan dari sebuah akhbar mingguan politik, Siasah hari ini.

(Gambar: Selepas setahun, parut masih ada pada badan Shahril. Kesan tembakan itu menyebabkan paru-parunya bocor, sukar tidur malam, kaki dan tangannya kebas selalu dan tidak boleh memandu jauh)

Menurutnya, sehingga kini sudah setahun beliau menderita menanggung segala sengsara zahir dan batin tanpa sebarang pembelaan paling wajar dari mereka yang bertenggungjawab melakukan tindakan sangat tidak adil itu.

Untuk rekod, kejadian itu menyebabkan paru-paru anak sulung dari sembilan beradik berasal dari Sabak Bernam dan kini tinggal bersama keluarga di Kapar ini bocor; sukar tidur malam, kebas kaki kiri dan tidak boleh memandu jauh.

Baru-baru ini, seorang pelajar berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah meninggal dunia akibat terkena tembakan polis pada kepalanya selepas lari dengan kereta keluarganya.

Ekoran itu, pelbagai pihak mendesak pihak polis jangan menutup kes ini dan membuat penyiasatan dan memberikan hukuman yang sewajarnya ke atas anggotanya yang terlibat.

Peguam keluarga mangsa, N Surideran menyifatkan kes ini sebagai satu pembunuhan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula meminta polis supaya melindungi dua saksi utama kes yang membabitkan empat pegawai polis, pagi kelmarin.

"Salah seorang saksi utama adalah anak polis sendiri, saya harap pihak polis beri jaminan dia ini dilindungi," jelas beliau di Pusat Khidmat Masyarakat di Parlimen Shah Alam baru-baru ini.

Beliau turut meminta polis supaya tidak melakukan sebarang inisiatif untuk mengubah laporan kedua-dua saksi terbabit supaya selari dengan dakwaan polis sebelum ini iaitu mangsa ditembak kerana suspek kumpulan samun bersenjata.

"Jangan ada usaha-usaha nak mempengaruhi saksi ini supaya ubah atau mereka-reka cerita (supaya) sealiran dengan polis," jelas beliau sambil memberitahu media bahawa beliau sendiri bertanggungjawab membawa saksi utama terbabit pergi membuat laporan polis.

Aminulrasyid (15) Panik Kerana Tiada Lesen Memandu: Rakan

Ahli keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah (gambar), 15, yang mati ditembak polis dalam satu kejadian di Seksyen 11 di sini awal pagi semalam, mahu pasukan itu melakukan siasatan secara telus dan adil serta tidak melindungi sesiapa bersalah.

Ibu mangsa, Norsiah Mohamad, 60, yang masih lagi sedih dengan kejadian menimpa anaknya itu, juga menegaskan bahawa anaknya bukan penjenayah seperti dilaporkan oleh media.

Sebagai seorang ibu, dia lebih arif tentang sikap dan tingkah laku Allahyarham yang bersopan santun serta menghormati orang lebih tua.

"Malah kami bukan daripada keluarga penjenayah. Saya akan berbincang dengan ahli keluarga lain bagi melantik peguam untuk tindakan selanjutnya agar anak saya mendapat pembelaan sewajarnya.

"Saya juga mahu pihak polis menjalankan siasatan telus dan tidak melindungi anggota-anggota polis peronda yang terlibat dalam insiden tersebut," katanya pada sidang akhbar di rumahnya di sini hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Seksyen 9 itu, terbunuh apabila terkena tembakan polis setelah mangsa dan rakannya yang menaiki kereta Proton Iswara cuba ditahan polis kira-kira pukul 2 pagi semalam.

Norsiah berkata, dia mendapat tahu anaknya keluar rumah secara senyap menggunakan kereta kakaknya untuk menonton perlawanan bola sepak di Seksyen 7 di sini.

Namun katanya, rakan kepada anaknya yang berada di dalam kereta itu memberitahu, dalam perjalanan pulang mereka sempat membantu rakan yang kerosakan motosikal di Seksyen 2.

Katanya lagi, malangnya selepas itu, kereta mereka terlanggar pula sebuah kereta Mercedez-Benz.

"Mereka panik kerana tiada lesen memandu lalu terus memecut laju menyebabkan beberapa buah motosikal mengejar kereta anak saya hingga bergesel dengan salah sebuah motosikal tersebut.

"Tiba-tiba mereka bertembung dengan sebuah kereta polis... Disebabkan takut mereka terus memecut laju dan enggan berhenti apabila diarahkan berbuat demikian," katanya.

Tambahnya, polis yang mengejar kereta itu telah melepaskan tembakan dan mengenai salah satu tayar manakala satu das lagi menembusi cermin dan belakang kepala anaknya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan anaknya melepaskan stereng kereta dan rebah ke pangkuan rakannya di sebelah, lalu menyebabkan kereta itu terus bergerak sebelum terbabas di dalam longkang.

"Oleh itu, saya meragui dengan kenyataan polis bahawa tembakan dilepaskan kerana kereta itu mengundur dan cuba merempuh anggota polis berkenaan," ujar beliau.

Seorang ahli kariah surau Seksyen 11 yang hanya ingin dikenali sebagai Abdullah berkata, kejadian tersebut memang mengejutkan penduduk kerana arwah kerap mengunjungi surau tersebut

"Dia kawan anak saya dan bukan budak rempit. Apabila polis mengesyaki arwah penjenayah, kami mengenali arwah sangat terluka dengan kenyataan itu kerana dia budak yang sangat baik, bukan seperti didakwa," ujarnya pula.

Guru Aminulrasyid yang enggan dikenali berkata, anak muridnya itu seorang pelajar ceria, mesra dan menghormati guru-guru serta aktif dalam kegiatan kokurikulum selain mewakili daerah Petaling Jaya dalam pertandingan bola sepak.

Tuesday, April 27, 2010

Baru 15 Tahun Aminulrasyid Mati Ditembak: Apa Kata KPN???

Kakak kepada remaja lelaki yang ditembak mati oleh anggota peronda polis dalam kejadian awal pagi ini, bingung mengapa adiknya ditembak malah yakin mangsa bukan penjenayah seperti yang didakwa.

Norazura Amzah, 39, yang ditemui di perkarangan masjid di kawasan perumahan Seksyen 11 di sini berkata beliau hanya mengetahui adiknya Aminulrashid, 15,(gambar atas) yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mati ditembak ketika ingin membuat laporan kehilangan adiknya yang tidak pulang sejak malam tadi.

“Ibu telefon pagi tadi memaklumkan adik tidak pulang ketika keluar dengan sebuah kereta Proton Iswara milik seorang lagi kakaknya.

“Saya mula tidak sedap hati dan terus bergegas ke rumah ibu kemudian kami sekeluarga membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini dan dimaklumkan terdapat kejadian tembak membabitkan seorang remaja berdekatan rumah ibu di Seksyen 11,” katanya di sini hari ini.

Kejadian tembak itu juga dipercayai berlaku pada kira-kira pukul 2 pagi tadi hanya kira-kira 100 meter dari rumah mangsa.

Norazura yang beberapa kali terhenti bercakap kerana menahan sebak berkata mereka bergegas ke bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dekat sini namun tidak dibenarkan masuk.

Beliau berkata seorang daripada pegawai bertugas di bilik mayat itu kemudiannya mengesahkan mayat remaja berkenaan menyamai paras rupa adiknya yang merupakan anak bongsu daripada lapan adik-beradik dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 di sini.

“Maaf, saya sangat kecewa dan sedih, apalah salah seorang remaja seperti adik saya, jangan membuat tuduhan melulu dan cuba fikirkan apa rasanya andai dia berlaku kepada kita,” katanya.

Tinjauan Bernama di perkarangan masjid di Seksyen 11 di sini mendapati lebih 200 rakan Allahyarham dan saudara mara berkumpul untuk menunaikan solat jenazah dan memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.

Turut kelihatan Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin, timbalannya Supt M. Chandara serta Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad.

Van jenazah polis turut disediakan bagi membawa jenazah ke tanah perkuburan yang diiringi unit kawalan motosikal polis.

Jenazah Aminulrashid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini selepas solat Maghrib tadi.

Sementara itu, Khalid berkata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar memberikan jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian itu.

“Allahyarham seorang remaja yang dikenali di kawasan ini dan kemungkinan melakukan jenayah adalah tidak mungkin sama sekali,” katanya.

Seorang pemilik kafe siber, yang dikenali sebagai Amin berkata Allahyarham ialah seorang remaja yang mudah didekati dan penyayang serta sering mengunjungi premisnya.

“Kali terakhir saya menemuinya petang semalam ketika dia melayari Internet di sini dan bergurau dengan anak-anak saya, kemudian selepas bermain bola di padang berhampiran dia sempat melambaikan tangan ke arah saya dan isteri,” katanya sebak.

Pada kejadian itu, Aminulrashid mati terkena tembakan polis manakala rakannya berjaya melarikan diri ketika terserempak dengan kereta peronda polis di kawasan seksyen 11 di sini.

Sementara itu Datuk Noh Omar akan membawa kes ini kepada jemaah menteri esok untuk tindakan.

Apa kah komen ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai kejadian ini

Blog Archive