Showing posts with label Altantuya. Show all posts
Showing posts with label Altantuya. Show all posts

Friday, January 30, 2015

Boleh Kah Sirul Di Bawah Pulang?

BOLEHKAH Koperal Sirul Azhar Umar bekas anggota polis yang dijatuhi hukuman mati kerana membunuh model Mongolia Altantuya Shaaribu di bawa pulang?

Australia di mana Sirul ditahan kerana masalah imigrasi pada 21 Januari lalu, telah lama memansukan hukuman mati. Negara itu tahu, bahawa hukuman gantung menunggu bekas anggota polis itu, jika dihantar pulang ke negara asalnya.

Malaysia berusaha agar banduan itu di bawa pulang, namun harapan untuk itu amat tipis.

Seseorang yang mengetahui bahawa dia berdepan dengan tali gantung, adalah sukar bagi seseorang itu menyerah diri, kecualilah seseorang yang berada dalam keadaan itu, seseorang yang redha.

Masih ada kah manusia redha? selain mereka yang menyertai kumpulan berani mati IS dan Al-Qaeda? atau seperti Marwan yang terbunuh pada 25 Janurai lalu di selatan Filipina?

Sehubungan dengan itu, ramai yang mendesak agar Anwar Ibrahim dilarang keluar daripada negara, malah ada yang mendesak agar passport beliau dirampas. 10 Februari depan merupakan hari penghukuman bagi Ketua Pembangkang itu, samaada sabitan penjara 5 tahun pada 7 Mac 2014 kekal atau sebaliknya. Kalau kekal, maka terpaksa kembali ke Sungai Buloh. Redha kah Anwar di penjara??

Thursday, January 29, 2015

Mengapa Masih Ada Yang Percaya Pembunuhan Altantuya Atas Arahan Seseorang?

MENGAPA masih ada yang percaya, bahawa pembunuhan Altantuya adalah atas arahan? Di Mahkamah tinggi melalui 159 hari perbicaraan, akhirnya membuat keputusan bahawa pembunuhan itu adalah pembunuhan biasa dan mendapati dua anggota polis melakukan pembunuhan tanpa sebab. Dapatan itu, menghampiri keadaan apabila tahanan reman mati semasa dalam tahanan, di mana tidak berlakupun sebarang arahan.

Altantuya didapati dibunuh pada tahun 2006, di sebuah kawasan di Pinggir Shah Alam, di mana pembunuhannya cukup mengerikan, kerana dipercayai menggunakan sejenis bom c-4.

Dua anggota UTK polis yang terlibat adalah Ketua Inspektor Azilah Hardi dan kopral Sirul Azhar Umar, telah didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati, meskipun sempat menghidup udara segar selepas mahkamh rayuan membebaskan mereka pada tahun 2013. Atas sebab pembebasan itu, salah seorang daripada mereka, iatu Sirul lari ke Australia, dan sudah menyatakan tidak akan kembali ke Malaysia semata-mata untuk menjalankan hukuman gantung. Kerajaan Malaysia berusaha untuk membawa Sirul pulang ke tanah air. Sirul kini ditahan di satu penjara di Austarlia, selepas polis antarabangsa memberi alert merah kepada beliau.

Meskipun Mahkamah Persekutuan telah meutuskan hukuman mati, namun hukuman itu mungkin hanya dapat dijalankan kepada Azilah, jika Malaysia gagal membawa pulang Sirul.

Umum memang menunggu untuk mengetahui, siapa yang mengarah pembunuhan Altantuya?. Altantuya adalah bekas kekasih penganalisa Politik Razak Baginda. Razak dibebaskan daripada tuduhan bersubahat pada awal perbicaraan.

Apa kah Sirul, akan muncul dengan cerita lain??? dan merungkai persoalan sebab musabab pembunuhan model Mongolia beranak satu itu??? Episode kematian Altantuya sebenarnya belum berakhir.

Sunday, January 18, 2015

Sirul Di Australia: Lekanya Para Pegawai Najib

TERSERLAH lekanya para pegawai Najib, sehingga salah seorang pembunuh paling kontraversi Koperal Sirul Azhar Umar terlepas ke Australia.

Australia, meskipun nampak punya hubungan baik dengan Malaysia, akan tetapi ramai pemimpin negara itu sangat sekeptikal pada kerajaan, malah diperburuk dengan sokongan setengah pemimpin negara itu kepada Anwar Ibrahim.

Menurut Laporan selepas sahaja Koperal Sirul bersama Cif Inspektor Azilah Hadri dijatuhi hukuman sampai mati pada Selasa lalu, Surat Khabar Australia telah menulis, kemungkinan besar negara itu, tidak akan menghantar pulang Sirul ke Malaysia.

Apa yang dibimbangkan, jika ada pihak-pihak tertentu dapat mempengaruhi Sirul, untuk membuat versi baru berkaitan pembunuhan Model Mongolia Altantuya Shaaribu yang didapati dibunuh dengan kejam di Shah Alam sedekad lalu.

Sudah tentunya cerita versi baru itu akan diwar-warkan di seluruh dunia, dan paling dikhuatiri jika mengaitkan Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak, di mana pada masa kematian Altantuya merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Friday, August 23, 2013

Pembunuhan Altantuya: Keputusan Hakim Membebaskan Sirul dan Azilah

Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Tiga anggota panel hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan mereka terhadap pensabitan dan hukuman.

Bagaimanapun, pihak pendakwa akan mempunyai peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi di negara ini.

Penghakiman itu dibacakan oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang memutuskan berlaku penyalaharahan yang serius oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam mensabitkan mereka.

Ia termasuk tidak memanggil DSP Musa Safri, dan kegagalan untuk mengemukakan diari balai polis yang menyatakan bahawa Azilah (kiri) berada di Bukit Aman pada masa berkenaan.

Pada April 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaki Md Yassin telah mensabitkan dua anggota polis itu atas tuduhan bunuh. Manakala penganalisis politik Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan pembunuhan itu.

Azilah diwakili oleh peguam Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar, manakala peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican mewakili Sirul.

Timbalan Peguamcara Negara 11, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengetuai pasukan pendakwaraya yang turut dianggota DPP Manoj Kurup dan Noorin Badaruddin.

Altantuya telah dibunuh di hutan Puncak Alam dekat Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Sementara itu, Bernama melaporkan Hakim Tengku Maimun berkata mengenai alibi pembelaan Azilah Hadri, mahkamah tidak menemui mana-mana dalam alasan penghakiman hakim perbicaraan yang beliau telah menimbangkan sama ada diari stesen menunjukkan atau cenderung menunjukkan tentang kehadiran Azilah pada masa berkenaan dan dia tidak akan boleh atau tidak mungkin berada di tempat kejadian jenayah.

"Melihat kepada keadaan keseluruhan kes ini, pertimbangan kami ialah kesan kumulatif bukan arahan oleh hakim perbicaraan yang bijaksana itu menjadikan sabitan perayu tidak selamat. Kami sebulat suara membenarkan kedua-dua rayuan ini," kata Hakim Tengku Maimun.

Kedua-duanya disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2009 kerana membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Sebagai langkah segera, pihak pendakwa diketuai Peguam Cara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memberitahu pemberita Pejabat Peguam Negara akan memfailkan rayuan terhadap pembebasan dua anggota polis itu.

Dalam penghakiman, mahkamah mengemukakan lapan alasan bagi pembebasan Azilah dan Sirul Azhar.

Hakim Tengku Maimun berkata mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yasin tidak membuat sebarang dapatan mengenai sama ada pihak pendakwa telah membuktikan mengenai kewujudan perancangan awal oleh dua anggota polis itu untuk melakukan pembunuhan dan pembunuhan itu dilakukan rentetan daripada perancangan awal itu.

"Dalam penghakiman kami, ketiadaan dapatan sebegitu oleh hakim perbicaraan yang bijaksana mengenai ramuan niat bersama yang membawa kepada penyalaharahan dengan cara tanpa arahan," katanya.

Mengenai log panggilan dan ramalan liputan, beliau berkata mahkamah mendapati keterangan oleh tiga saksi daripada beberapa syarikat telekomunikasi telah membawa kepada isu kebolehpercayaan dan ketepatan log panggilan dan ramalan liputan.

Hakim Tengku Maimun berkata amat penting untuk hakim perbicaraan menumpukan pada cabaran dibangkitkan oleh pihak pembelaan mengenai eksibit dan untuk membuat dapatan sama ada terdapat pindaan atau gangguan terhadap data dan sama ada ketulenan data boleh dipersoalkan atau tidak.

"Apa yang dikesalkan, hakim mahkamah tinggi gagal berbuat demikian, yang dalam penghakiman kami adalah penyalaharahan yang serius sehingga tidak boleh bergantung kepada eksibit itu yang dikatakan tidak kukuh," kata hakim.

Bagi alasan lain, mahkamah memutuskan hakim perbicaraan juga tidak memberi perhatian dan tidak memeriksa sama ada wujud percanggahan dan ketidakkonsistenan keterangan saksi-saksi pendakwa.

Katanya hakim perbicaraan juga tidak memeriksa kredibiliti saksi-saksi pendakwa dan tidak memberi perhatian sama ada Azilah dan Sirul Azhar telah menimbulkan keraguan mengenai ketepatan kenyataan mereka mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan 1950.

Hakim Tengku Maimun juga berkata hakim perbicaraan tidak memikirkan sama ada penemuan tempat jenayah dan barangan kemas si mati adalah hasil daripada maklumat diberikan oleh dua anggota polis itu dan bukannya daripada sumber lain.

Beliau berkata mahkamah mendapati berlaku keadaan tanpa arah oleh hakim perbicaraan apabila gagal menilai keterangan sebelum menerima kenyataan itu mengikut Seksyen 27. 

Bagi alasan lain, Hakim Tengku Maimun berkata mahkamah mendapati tiada sebarang keterangan untuk menunjukkan sebarang kaitan antara selipar dengan kesan darah Altantuya yang ditemui dalam jip Sirul Azhar, dengan beliau (Sirul Azhar).

Beliau berkata pihak pendakwa tidak menutup jurang dalam kesnya dalam isu itu.

Serupa juga, kata hakim, dengan katrij yang ditemui dalam kereta Sirul Azhar yang merupakan tertuduh kedua, mahkamah mendapati wujud jurang dalam kes pendakwa di mana hakim perbicaraan gagal memberikan perhatian.

Akhir sekali, mahkamah memutuskan kegagalan pihak pendakwa memanggil atau menawarkan pemeriksaan balas ke atas DSP Musa Safri yang ketika itu pengawal Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, mungkin mencetuskan inferens berbeza di bawah Seksyen 114 (g) Akta Keterangan, terhadap pihak pendakwa.

"Ingin dinyatakan, dengan tidak memanggil DSP Musa, mengenai fakta kes ini, sedangkan keterangan DSP Musa amat penting untuk mendedahkan naratif bahawa kes pendakwa berdasarkan apa," kata hakim.

Sunday, April 08, 2012

PRU-3 diambang pintu-Scorpene dan Altantuya muncul kembali

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memanfaatkan kejayaan NGO Suaram membicarakan pembelian kapal selam Malaysia daripada Syarikat Perancis, DCNS pada tahun 2002.

Pembelian dua kapal selam Malaysia yang dinamakan KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak, menjadi isu pembangkang kerana kononnya semasa pemeblian itu, syarikat Broker Perimekar yang dikaitkan dengan Abdul Razak Banginda telah menerima kickback sebesar RM750 juta.

Ekoran kickback tersebut, dikatakan ada kaitan dengan pembunuhan Penterjemah berbangsa Mongolia- Altantuya Sharibuu pada tahun 2006, di hutan Shah Alam Selangor.

Pembunuh wanita Mongolia itu telahpun didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati (Hukuman belum dijalankan setakat ini).

Pembelian dua kapal selam Malaysia itu dimuktamadkan semasa Perdana Menteri sekarang menjawat Jawatan Menteri Pertahanan Malaysia.

Apakah siasatan ke atas pembelian kapal selam Scorpene yang dibangkitkan di mahkamah Perancis akan membongkar semula kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Sharibuu?.

Blog Archive