Thursday, November 16, 2023

TIADA KEPERLUAN PRN17 SABAH DIAWALKAN

WALAUPUN kerajaan yang memerintah boleh menyerahkan kuasa kepada rakyat menerusi PRN17 awal atau sebelum tamat penggal, akan tetapi menurut pandangan penulis ianya tiada keperluan memandangkan kerajaan GRS-PH PLUS cukup stabil untuk meneruskan kerajaan sehingga tamat penggal, iaitu pada Oktober 2025.

Ramai yang berspekulasi bahawa PRN17 mengejut bakal diadakan memandangkan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Presiden Gagasan Rakyat beberapa kali meminta parti-parti dalam gabungan memperkemas jentera parti masing-masing seolah esok adalah pilihan raya.

Pada Isnin selepas ucapan dasar Presiden sempena Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di SICC Kota Kinabalu, Ketua Menteri apabila diberi soalan berkaitan PRN17, secara tidak langsung, menjawab, kemungkinan itu ada, akan tetapi memandangkan tempoh tamat penggal ke16 DUN Sabah berbaki kurang 2 tahun, penulis melihat daripada gerak badan Ketua Menteri itu, PRN17 Sabah akan diadakan apabila penggal ke16 Sabah lengkap 5 tahun.

Visi memajukan dan membangun Sabah menerusi Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan pada 2021, untuk tempoh 2021-2025, akan terlihat pecapaian sepenuhnya tahun 2025.

Menerusi pencapaian itu, maka memudahkan rakyat yang mengundi semasa pilihanraya, menilai rekod itu sebagai asas atau panduan mengadili kerajaan.

Selain itu meneruskan pemerintahan sehingga lengkap 5 tahun, memberi peluang pada jentera kerajaan menyampaikan rekod pecapaian kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Tempoh 5 tahun membolehkan rakyat menilai pencapaian setiap wakil rakyat di kawasan masing-masing, memberi masa yang secukupnya kepada rakyat di peringkat akar umbi, mengenali wakil-wakil rakyat yang perlu diberi mandat semula, parti yang perlu diberi mandat.

Mandat rakyat pada PRN17 sangat mustahak, agar momentum memajukan dan membangun negeri tidak terganggu, ertinya meneruskan mandat kepada kerajaan hari ini membolehkan kemajuan dan pembangunan berterusan.

Jangan berulang lagi, perubahan kerajaan seperti yang berlaku selepas PRU14 tahun 2018, hanya dalam tempoh 26 bulan, perekonomian Sabah hampir musnah, apabila pertumbuhan merudum sehingga negatif 9.2 peratus.

Rakyat Sabah amat beruntung, apabila Kerajaan Negeri dapat diambil alih semula pada September 2020. Kesan pengambil alihan tersebut, ekonomi Sabah memulih, pertumbuhan ekonomi positif semula, nilai perdagangan meningkat dengan ketara, sehingga melepasi RM100 bilion, iaitu RM118.1 bilion pada tahun 2022, suatu angka yang tidak pernah direkodkan.

Nilai kutipan hasil hasil menghampir RM7 bilion, juga suatu rekod yang belum pernah dicapai sejak kemerdekaan. Juga, rezab kewangan negeri yang terus bertambah, kesan belanjawan yang sentiasa surplus.

Perekonomian negeri terus dipacu laju menerusi kemasukan pelaburan, sehingga banyak sudah dapat dituai hasilnya, antaranya pengeluaran kerajang tembaga, kaca solar, bukan sahaja menyumbang hasil kutipan cukai kepada kerajaan, juga telah menyediakan ribuan peluang pekerajaan pada rakyat Sabah.

Kejayaan dan pencapaian kerajaan adalah hasil kerja keras para pemimpin kerajaan yang berpengalaman, bertolak belakang anggapan sesetengah pemimpin Umno dan Warisan, bahawa pemimpin yang telah berumur, tiada keupayaan memajukan dan membangun negeri. Mereka itu terlupa, kebolehan menghasilkan kejayaan dan pencapaian, sangat bergantung pada pengalaman, komitmen, kebolehan mengurus dan mentadbir, bukannya berpandukan pada tenaga kekuatan, seperti mana anggapan Pengarah Jentera Pilihan Raya Umno Sabah, Jeffery Nor Mohammed.

Pun demikian, kerajaan juga berhadapan dengan isu-isu yang menyelubungi agensi/GLC yang beroperasi dalam keadaan rugi, kesan perubahan polisi yang berlaku kerana berubahnya kerajaan. Apabila polisi berubah, ianya menerlukan tempoh yang panjang untuk mencapai kejayaan. Keadaan ini lah yang ditekankan Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam Ucapan Dasar Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat pada Isnin 13 November 2023 di SICC Kota Kinabalu.

Perubahan kerajaan akan mengubah polisi, sehingga memberi kesan pada rentak atau momentum pembangunan.

Berpaksi pada kesan perubahan polisi, maka menjadi iktibar pada rakyat Sabah untuk mengekalkan kerajaan yang berkeupayaan memajukan dan membangun negeri, dan jangan sesekali terperangkap dengan janji-janji bulan bintang, apatah lagi meneruskan “budaya” menukar kerajaan sepantas menukar baju.

Kepada rakyat jangan berlaku mendengar guruh dilangit lalu air di tempayan dicurahkan, seperti mana terpengaruh dengan ucapan Datuk Shafie Apdal yang berdegar-degar semasa PRU14, sehinggakan Parti Warisan menafikan penguasaan parti kerajaan, kesannya, Sabah terpaksa bermula semula pada September 2020.

Bernasib baik, rakyat dan negeri mendapat pemimpin seperti Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang penuh dengan pengalaman, bersama pemimpin yang dikatakan berusia, akan tetapi hasilnya pada kemajuan negeri luarbiasa.

No comments:

Blog Archive