Thursday, September 07, 2023

PENGAMPUNAN MENERUSI PROSES UNDANG-UNDANG

SEBENARNYA tindakan pengampunan bukan tindakan luar biasa, kerana di tahun-tahun 70-an apabila berlaku perubahan kepimpinan sesebuah negara akan ada pengampunan besar-besaran.

Di negara kita, pengampunan bukan atas perintah atau dekre (decree) akan tetapi proses undang-undang.

Maksud mengambil jalan sebegini agar tidak terbeban pada mana-mana pemimpin atau mana-mana pihak kerana ianya menerusi proses undang-undang.

Misalnaya seseorang yang dituduh di mahkamah boleh dilepaskan atau dibebaskan menerusi kuasa Peguam Negara dalam Perkara 145(3) Perlembagaan. Demikian juga seseorang yang dituduh dimahkamah boleh dilepaskan dan dibebaskan apabila mahkamah mendapati pertuduhan cacat.

Sejak tahun 2018, selepas sahaja BN tumbang, ramai pemimpin parti itu telah dihadapkan ke mahkamah, semuanya berkaitan rasuah, pecah amanah, pengubahan wang haram.

Setakat ini hanya seorang yang disabitkan kesalahan, iaitu Datuk Seri Najib Razak,manakala yang lain dibebaskan atau dilepaskan.

Terbaru, seorang telah dilepaskan dan seorang lagi dibebaskan.

Oleh kerana yang dibebaskan atau dilepaskan menerusi proses undang-undang, maka sewajarnya tiada lagi yang mempertikaikan, kerana perlu menghormati perundangan negara seperti mana dalam RUKUN Negara rukun ke-5 KEDAULATAN UNDANG-UNDANG.

Jika ada sesiapa yang meragui proses undang-undang, bermakna tidak menghayati atau bahasa kasarnya tidak menghormati rukun ke-5 RUKUN NEGARA.

Bermula daripada sekarang jangan lagi berlaku dalam politik untuk mendapatkan sokongan rakyat menerusi memalitkan imej buruk pada seteru atau mereka yang tidak sealiran, sebaliknya pemimpin politik perlu memasarkan idea masing-masing pada rakyat untuk mendapatkan sokongan atau mandat.

Idea bagai mana memajukan rakyat,membangun negara.

Sungguh malang bagi rakyat dan negara apabila kuasa diperolehi menerusi cara kotor seperti pembunuhan karakter pihak lawan bukannya kuasa yang diperolehi kerana bersandar kepada idea yang lebih baik.

Di lain pihak pula, semua pemimpin politik perlu menjauhkan diri daripada melanggar undang-undang, terutama berkaitan jenayah, terutama jenayah rasuah.

Para pemimpin terutama pemimpin kerajaan jangan asyik menuding jari atau membuat dakwaan rambang, bahawa seteru politik adalah kaki “sakau”, penyangak, penyamun, sebaliknya jika berlaku perbuatan demikian, maka secara “senyap” pihak yang diberi tugas perlu menjalankan siasatan rapi, telus, profisional seperti cara Singapura membongkar ratusan juta dollar Singapura berkaitan pengubahan wang haram di negara itu, tiada angin tiada ribut menangkap beberapa individu yang terlibat, dengan bukti-bukti yang jelas dan terang, sehinggakan para individu itu tidak dibenarkan untuk ikat jamin, untuk memastikan pihak berkuasa tidak kehilangan jejak.

Cara kita di Malaysia, belum apa-apapun, mereka yang hanya mula dituduh atau disasat mendapat liputan luar biasa, sebagai tindakan pembunuhan karakter, tetapi malangnya, termasuk mereka yang diperintah membela diri, boleh dilepaskan.

Cara seperti seekor ayam bertelur sebiji riuh sekampung perlu dihentikan, sebaliknya perlu mengikuti rasmi ubi diam tapi berisi.

Kalau kita mengimbas kembali bagai mana pemimpin politik mempengaruhi rakyat pada PRU15, dengan bersenjatakan untuk menghantar pemimpin ini pemimpin itu ke Penjara Sungai Buloh, mencipta lagu HOI HOI Ya HOI akan tetapi akhirnya terpaksa berkawan, terpaksa bergabung, terpaksa saling membantu untuk menjadi kerajaan.

Bagi pemimpin yang mahu mempertahankan prinsip, untuk tidak berkawan dengan mereka yang “terpalit” imej buruk walaupun belum didapati bersalah, perlu mempertimbangkan pendirian itu, supaya jangan berlaku menjatuhkan hukuman seseorang itu bersalah sedangkan belum dijatuhi bersalah oleh undang-undang. Fikir-Fikirkan

No comments:

Blog Archive