Wednesday, July 05, 2023

TERUKNYA PEMIMPIN NEGARA?

MENURUT Perdana Menteri ke-10, SUKAR mencari pemimpin yang bersih, kerana kebanyakkannya terpalit “sakau”, namun era kepimpinannya, dijamin perbuatan “sakau” tidak berlaku.

Kalaupun ada pemimpin terlibat sakau pada masa lalu, itu semua kisah lalu. Peluang ke-2 perlu diberikan untuk memperbaiki dan muhasabah diri.

Apabila ada hujah, sukarnya mencari pemimpin bersih, ianya membawa erti, sekian lama, negara ini dipimpin mereka yang tidak bersih. Jika berpandukan pada kes-kes mahkamah yang membabitkan pemimpin negara ini, hujah itu memang betul.

Kata peribahasa bapa borek anak rintik, bapa kencing berdiri, anak kencing berlari. Kerana kepimpinan lalu begitu bobrok sekali, maka merebak, bukan sahaja pada peringkat pemimpin akan tetapi melibatkan kakitangan agensi kerajaan, dan yang hangat akhir-akhir ini melibatkan kakitangan imigresen di pintu masuk negara, KLIA1.

Benar lah kata peribahasa,kerana nila setitik susu sebelanga rosak binasa, kerana seekor kerbau membawa lumpur semua terpalit.

Bepandukan kes-kes mahkamah yang membabitkan pegawai kerajaan, umapamanya kes watergate Sabah, yang membabitkan bekas kakitangan Jabatan Air Sabah yang melibatkan ratusan juta ringgit wang negara, hujah Perdana Menteri ke-10 tidak dapat disangkal.

Apabila timbul hujah sukarnya mencari pemimpin bersih, maka ianya bukan sahaja dilema, akan tetapi masalah besar, atas sebab rata-rata pemimpin yang ada pada hari ini adalah produk kepimpinan lampau. Rata-rata mereka ini adalah pemimpin utama parti masing-masing, dan parti yang dipimpin kalaupun tidak disokong majoriti rakyat,akan tetapi masih menang sejumlah kerusi dalam pilihan raya.

Perdana Menteri ke-10 menerima kritikan bahawa mereka yang dilantik menganggoti kabinet atau mereka yang sebahagian daripada kerajaan, terpalit dengan isu rasuah dan integriti. Menurut Perdana Menteri itu lah kualiti atau status kepimpinan negara yang ada, atas sebab itu, beliau tiada pilihan, melainkan perlu juga bekerjasama dengan mereka, kerana mereka itu adalah wakil rakyat parti masing-masing, dan kerusi/kedudukan mereka diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Apa yang mustahak dan penting, perbuatan yang diwarisi tidak berlaku pada era Kerajaan Madani. Dan yang mengembirakan Perdana Menteri, mereka yang terpalit isu negatif di masa lalu, sanggup bersama beliau untuk mengelak perbuatan keji berulang semula.

Kata orang, jika iltizam pemimpin utama memandu ke arah betul atau menunjukkan tauladan yang baik, maka dengan sendirinya mereka yang mengikutinya daripada belakang turut patuh dan akur.

Diharapkan di masa akan datang, rakyat negara ini, tidak lagi melihat, pemimpin apabila mendapat kedudukan dan kuasa, sekelip mata berubah status, berubah gaya hidup, daripada kategori orang biasa menjadi kelompok kayangan, seperti mana berlaku semasa era kerajaan Parti Warisan, hanya 26 bulan, ramai sungguh pemimpin parti itu menjadi kelompok kayangan. Namun, selepas hilang kuasa, kembali semula pada kategori rakyat biasa, kembali memandu kereta-kereta kecil, hilang sudah Lexus Lx570, Alphard, Vellfire atau Toyota Super King atau sewaktu denganya.

Hakikatnya, semua terpulang kepada rakyat, apa kah mengangkat mereka yang ada beban intergriti dan moral. Kerana mereka yang terpalit itu masih mendapat sokongan rakyat semasa pilihan raya, masih mempunyai kerusi dan berstatus wakil rakyat.

Rakyat tahu, sebahagian daripada mereka itu, apabila bertanding dalam pilihan raya mempuyai kes yang dihadapi di mahkamah, pun demikian, pengundi di kawasan yang ditandingi masih memberi mandat. Menerusi sokongan rakyat itu, maka mereka ini masih boleh mengaku, bahawa mereka tidak bersalah, selagi mahkamah belum mendapati mereka bersalah.

Apapun hujah Perdana Menteri ke-10, berkaitan sukarnya mencari pemimpin bersih, hanya satu anggapan/persepsi, kerana hanya undang-undang yang boleh menentukan mereka itu bersih atau kelompok “sakau”.

Akan tetapi, hujah Perdana Menteri ke-10 membawa beban psikologi yang berat, bukan sahaja dikalangan rakyat negara ini, akan tetapi di mata rakyat/pemimpin negara asing, bahawa rata-rata pemimpin negara begitu teruk sekali.

Memulihkan imej “teruk” ini bukan mudah, memerlukan masa yang panjang, seperti mana berlaku di Indonesia, selepas berganti-ganti Presiden, hanya era Jokowi, menghampiri memadam imej negara itu di masa lalu.

No comments:

Blog Archive